5 Mindset Baru Yang Anda Perlukan Untuk Tahun Baru
Tahun baru selalunya datang bersama semangat dan harapan baru. Semangat untuk berubah dan lebih kuat berusaha. Kita ibarat memasuki gerbang ke rumah yang lebih baru dan cantik.
Jika tidak ada azam baru sekalipun, paling tidak kita ingin memperbaharui semangat untuk azam yang lama. Apapun azam yang telah anda gariskan, lima ‘mindset’ di bawah dapat membantu anda dalam menguruskan azam anda yang sedia ada.
#1- Tidak Malu Untuk Belajar
Proses mencari ilmu tidak mengira peringkat umur. Orang yang mempunyai kekuatan diri tidak akan mengangggap belajar adalah suatu perkara yang membosankan. Mereka sentiasa dahagakan ilmu tidak kiralah suatu yang formal atau tidak. Terdapat banyak platform yang boleh anda pilih untuk mengkaji sesuatu ilmu seperti kelas ‘online’ percuma, bengkel, seminar atau semudah mencari apa-apa informasi di YouTube.
Beberapa hari lepas juga satu cerita inspirasi dilaporkan oleh akhbar tempatan tentang seorang anak remaja yang sangat sukakan ilmu. Kerana rasa cintanya yang mendalam terhadap ilmu, akhirnya dia membuka kelas untuk kanak-kanak di kawasan tempat tinggalnya yang tidak berpeluang untuk ke sekolah.
Dialah pengetua, dan dialah pengajar di tempat tersebut. Dia tidak menunggu hingga benar-benar dikenali atau menjadi seorang yang hebat untuk mengajar orang lain. Cintanya kepada ilmu membuatkan dia hanya ingin berkongsi ilmu yang dia ada kepada orang lain.
#2- Boleh Menyesuaikan Diri Dengan Perubahan
Kita akan cepat berasa senang dan selesa dengan persekitaran yang kita sukai. Namun, apa yang perlu kita ingat, perubahan boleh berlaku secara tiba-tiba. Apabila sesuatu berubah, kita perlu menyesuaikan diri untuk kekal hidup. Ia bukan bermakna kita perlu mengubah seratus peratus siapa diri kita. Perubahan diperlukan sebagai satu teknik ‘survival’ untuk kita tetap bertahan dalam dunia yang semakin mencabar.
#3- Menjadi Seorang Yang Suka Memberi
Untuk memberi kita tidak perlu menjadi kaya. Kita tidak perlu tunggu sehingga dapat mencapai tahap tertentu dalam hidup. Kita boleh beri apa yang kita ada sekarang. Mungkin ianya dalam bentuk kemahiran, kelebihan, otak yang bijak, atau badan yang sihat.
Kudrat setiap orang itu berbeza. Saya sentiasa percaya bahawa setiap orang dilahirkan dengan fungsi tertentu yang perlu disampaikan kepada orang lain. Tidak semua orang perlu melakukan perkara yang sama. Cuma syaratnya, lakukanlah yang terbaik dalam perkara yang telah kita pilih tersebut. Sesungguhnya muslim yang bermanfaat kepada orang lain itu lebih dicintai Allah.
#4- Usah Mengharapkan Hasil Yang Segera
Kejayaan memerlukan proses. Kita tidak boleh mengharapkan hasilnya dalam masa semalaman. Larian anda ialah larian maraton bukan lari pecut. Akan ada halangan di sepanjang jalan. Jika kita telah belajar cara untuk mengelak dan menguruskan halangan tersebut terlebih dahulu, maka kita akan lebih bijak membaca dan menguruskan halangan yang akan datang di masa hadapan. Anda juga akan lebih menghargai setiap usaha yang dilakukan sepanjang jalan untuk mencapai kejayaan.
#5- Bertanggungjawab Dengan Apa Yang Dilakukan
Apabila saya menyebut soal tanggungjawab, ia tidak semestinya suatu perkara yang besar sahaja. Bertanggungjawab dengan apa yang dilakukan bererti kita bertanggungjawab dengan setiap pilihan yang dilakukan dan tidak menyalahkan orang lain.
Semakin kita dewasa, kehidupan seharusnya tidak lagi perlu ditentukan oleh orang lain. Orang mungkin boleh memberi pandangan dan nasihat, namun yang akhirnya memilih adalah diri sendiri.
Jika anda membuat pilihan atas nasihat orang lain sekalipun, anda juga harus bertanggungjawab- bererti anda sedar mengapa anda memilih keputusan tersebut dan anda sedar apa pun akibatnya, yang akan menanggungnya diri anda sendiri dan bukan orang yang memberi pandangan.
Semoga lima ‘mindset’ yang telah digariskan di atas dapat membantu anda untuk lebih positif menyambut kedatangan tahun baru!
Sumber: tzkrh.com
The post 5 ‘Mindset’ Baru Yang Anda Perlukan Untuk Tahun Baru appeared first on Islam Itu Indah.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://www.islamituindah.my/5-mindset-baru-yang-anda-perlukan-untuk-tahun-baru/