5 Makanan Untuk Disimpan Semasa Lockdown
Perintah Kawalan bergerak ataupun ‘lockdown’ sudahpun diumumkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Yang Amat Berhormat Tan Sri Dato’ Muhyiddin Yassin, sebentar tadi.
Sebelum anda mula panik dan bergegas ke pasar raya terdekat, jangan terburu-buru! Tarik nafas dalam-dalam, tenangkan diri dan buat senarai barang yang anda perlu.
Maksud Perintah Kawalan Bergerak
Ramai yang menyangkakan bahawa negara akan berada dalam ‘lockdown’. Jangan panik!
Keadaan kita masih tidak begitu parah. Oleh itu, perintah kawalan bergerak dikuatkuasakan. Perintah kawalan bergerak bermaksud anda perlu kekal berada di dalam rumah selama 24 jam dalam tempoh perintah kawalan bergerak ini.
Ha! Salah faham beginilah yang membuatkan semua orang berasa panik dan menjadi tak tentu arah hingga melakukan gejala yang dipanggil ‘pembelian panik’.
Jadi, apa yang patut kita lakukan?
Buat Senarai dan Bajet
Pembelian panik berlaku apabila anda membeli barangan lebih daripada keperluan semasa anda. Gejala ini membuatkan ketakcukupan bekalan makanan akibat perbuatan orang yang tak peka dengan keperluan orang lain.
Dalam situasi begini, kita hendaklah bersikap prihatin dan tidak mementingkan diri. Jawapan untuk mengelakkan gejala ‘pembelian panik’ ini berlaku adalah dengan buat belanjawan dan senarai membeli barangan.
Anda mungkin berasa penyelesaian ini mungkin bukanlah penyelesaian terbaik tapi percayalah, anda dapat membeli barangan yang cukup untuk seisi keluarga dan tak mengambil lebih daripada keperluan anda.
Meskipun Yang Berhormat Perdana Menteri sudah pun mengumumkan bahawa kedai-kedai runcit dan pasar raya masih lagi dibuka sepanjang perintah kawalan bergerak ini, tapi sejujurnya, anda tak nak ambil risiko itu, kan? Jadi, marilah kita sama-sama bersikap tenang dan rasional.
Apa Yang Nak Dibeli?
Jadi, apa yang boleh kita beli sebagai bekalan sepanjang perintah kawalan bergerak ini dikuatkuasakan?
Kalau anda yang ada bajet anda sendiri dan mungkin tak dapat sediakan makanan secukupnya, jangan risau! Mungkin artikel saya ini dapat membantu anda membeli barangan dengan bajet sekurangnya RM 50 bagi individu bujang dan RM 150 bagi individu berkeluarga.
Makanan Kering
Makanan kering seperti ikan bilis, ikan masin, ikan kering, bihun dan segala barangan yang sewaktu dengannya adalah makanan yang sesuai untuk dijadikan sebagai bekalan makanan semasa situasi genting seperti yang kita hadapi sekarang ini.
Makanan kering boleh disimpan lama dan yang paling penting sekali tak rosak. Meskipun, mi segera juga termasuk dalam kategori makanan kering tapi gunakan kesempatan anda terperap di dalam rumah untuk menyediakan makanan ala kadar yang menyihatkan.
Perintah kawalan bergerak ini bukan untuk anda suka-suka bercuti tapi untuk anda jaga kesihatan.
Makanan Tin
Makanan dalam tin ialah makanan waktu genting yang wajib. Hal ini demikian kerana makanan dalam tin selalunya murah dan mengenyangkan.
Namun begitu, membeli makanan dalam tin tak bermaksud ia sedia dimakan begitu saja. Jadi, jangan buat diri anda bosan! Kreatifkan diri dan sediakan makanan baru dengannya seperti murtabak sardin dan sambal.
Kita mungkin perlu terperap di dalam rumah selama 2 minggu. Tapi, itu tak bererti kita kena makan makanan yang tak sedap. Betul tak?
Makanan Ruji
Kalau anda tak simpan makanan ruji seperti beras, anda takkan senang duduk sepanjang tempoh kawalan bergerak ini.
Makanan ruji ialah makanan asasi atau makanan harian bagi sekelompok individu. Bagi masyarakat di Timur seperti Malaysia, makanan ruji kita ialah nasi. Kalau kita tak makan nasi sehari, memang tak sah!
Jadi, untuk elakkan anda jadi resah, tak tenang dan susah hati kerana terlupa beli beras, pastikan anda tulis beras sebagai barang nombor satu dalam senarai anda. Selain itu, beras boleh disimpan lama dan dapat dicatu dengan mudah, jika perlu,
Sayur-Sayuran Berumbi
Ramai yang tak nak simpan sayur apabila berita tentang kemungkinan /’lockdown’ berlaku tersebar kerana sayur tak tahan lama dan cepat rosak.
Memanglah membeli sayur segar lebih berkhasiat dan sihat. Namun begitu, ada pilihan sayuran sejuk beku ataupun sayuran berumbi seperti kentang dan bawang untuk anda pertimbangkan.
Snek
Meskipun anda disyorkan untuk membeli barangan yang berkhasiat dan mencukupi sepanjang anda berkurung di rumah tetapi itu tak bermaksud anda tak boleh gembirakan hati anda dengan mengunyah snek kegemaran anda.
Biskut-biskut, coklat, sapuan coklat dan lepa kacang dapat disimpan untuk masa yang lama dan dapatlah hilangkan rasa ‘craving’ untuk makanan manis. Betul tak?
Beli Secara Bijak
Ya, saya tahu senarai ini agak pendek tapi percayalah inilah makanan asas yang anda perlu jadikan sebagai bekalan semasa anda menjalani perintah kawalan bergerak ini. Jangan panik kerana anda masih lagi dapat keluar untuk dapatkan bekalan tambahan jika perlu.
Apapun, kekal selamat dan sihat bersama keluarga serta orang tersayang sepanjang tempoh dua minggu ini.
Kalau anda nak idea masakan yang ringkas dan cepat, beritahu saya jenis masakan yang anda nak dan saya akan usahakan untuk memberi kepada anda pilihan makanan yang boleh disediakan dalam 15 minit atau kurang. Itu cabaran anda untuk saya!
The post 5 Makanan Untuk Disimpan Semasa ‘Lockdown’ appeared first on Butterkicap.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://www.butterkicap.com/open-house/5-makanan-untuk-disimpan-semasa-lockdown