4 Laman Web Yang Memberi Inspirasi Uiux
Kerja-kerja rekaan grafik tidaklah seindah yang disangka. Tugasan yang melibatkan kreativiti ini seringkali memberi cabaran yang hebat kepada saya apabila ia melibatkan janaan idea-idea untuk diimplementasikan pada projek-projek baru. Disebabkan itulah saya memerlukan sumber inspirasi UIUX baru bagi rekaan konsep laman web dan aplikasi mudah alih yang bakal dikerjakan.
Baca juga: 4 aplikasi rekaan UI/UX yang menjadi kegemaran saya
Saya pasti anda juga punyai senarai laman web yang menjadi kegemaran anda untuk melihat hasil kerja orang lain. Bukan nak cakap kita akan TIRU hasil kerja mereka. Sebaliknya kita hanya mahukan inspirasi daripada segi permainan warna, ikon, tema dan mungkin juga tipografi. Sesuatu yang bakal memberi nilai kepada rekaan kita dari segi mudah penggunaan (UX), paparan (UI), kreativiti dan mungkin juga inovasi.
Disebabkan oleh itu, pada hari ini saya ingin kongsikan 7 laman web yang memberikan inspirasi UIUX kepada diri saya sebelum proses brainstorming dan sewaktu saya nazak kekeringan idea. Haha.
1. Behance
Behance mempunyai rekaan UIUX projek yang lebih lengkap
Behance adalah laman web nombor 1 yang sentiasa digunakan saya untuk dijadikan rujukan. Salah satu faktornya ialah kandungan yang terdapat dalam laman web ini sangat berkualiti tinggi dan komuniti pereka grafik yang ramai menjadikan ia sentiasa punyai kandungan baru yang boleh dijadikan rujukan.
Benda yang saya paling suka pada laman web ini adalah kebanyakan ahlinya jika memuat naik kandungan UIUX, mereka akan memuat grafik dalam bentuk projek atau case study. Anda bukan setakat boleh lihat gambar rekaan sekeping, jika anda bertuah anda boleh lihat perincian sekecil rekaan logo sehingga paparan keseluruhan UI. Ini termasuklah rekaan daripada wireframe sehingga ke prototaip.
2. Dribbble
Rekaan UIUX satu muka
Jika anda seorang pereka grafik yang hebat, maka laman web ini bagus untuk anda membina jenama diri (personal brand). Model perniagaan Dribbble sememangnya mahu menjadikan platform ini jambatan kepada perhubungan diantara client dan pereka grafik. Sebagai salah satu gedung portfolio atas talian, anda berpeluang untuk mendapatkan gig dengan bayaran yang sangat lumayan.
Namun apakan daya, memandangkan saya bukan UIUX designer sepenuh masa dan sekadar front-end developer picisan sahaja, jadi saya sering jadikan Dribbble sebagai laman web inspirasi UIUX sahaja. Kebanyakan idea saya gunakan ketika proses pembinaan wireframe dan mockup.
Antara yang menyeronokkan tentang Dribbble ini ialah kebanyakan kandungan grafiknya sangat cantik dan kreatif. Tujuan penyedia kandungan juga berbeza daripada Behance. Jika kebanyakan yang muat naik di Behance lebih kepada projek yang telah siap, di Dribble kebanyakan projek masih dalam proses atau dalam peringkat permulaan. Tujuan mereka muat naik pun lebih kepada mempromosikan rekaan mereka (teaser). Sebab itu kebanyakan rekaan grafik hanya memaparkan sekeping sahaja.
3. Pinterest
Koleksi UIUX di Pinterest dari pelbagai sumber
Laman web Pinterest ini sememangnya sangat berhantu. Saya bukan jadikan rujukan UIUX sahaja, sebaliknya grafik, rekaan bilik tidur, dapur semua saya cari di Pinterest. Haha. Nama pun sosial media yang menghimpunkan gambar dari segenap pelusuk internet. Sememangnya memberi inspirasi kepada diri saya untuk mula bekerja.
Kebiasaannya saya jadikan Pinterest ini sebagai rujukan jika sumber sekunder saya (Behance dan Dribbble) tidak punyai kelainan yang saya inginkan. Ini salah satu usaha untuk mencari idea daripada sumber lain yang disebatkan (pin) oleh pengguna Pinterest. Buat masa ini usaha saya jarang sia-sia. Saya dapat apa yang saya inginkan.
4. Instagram
Banyak koleksi di Instagram
Bunyi macam kelakar, tapi saya sememangnya banyak mengikuti trend terkini di Instagram. Saya jarang membuka Behance, Dribbble dan Pinterest ketika hari biasa kecuali ketika saya ingin memulakan kerja-kerja rekaan. Berbeza dengan instagram, saya hampir buka hari-hari. Jadi saya tak nak la ketinggalan dari segi trend terkini memandangkan kerja saya kebanyakannya lebih kepada kod. Nanti tiba-tiba buat design citarasa orang tua pula.
Saya sering mengikuti beberapa buah akaun di Instagram bagi mengikuti trend semasa yang sedang hangat di pasaran. Kebanyakkan menjadi kegemaran saya kerana rekaannya bersifat personal dan pelbagai. Antaranya ialah UI.Martin, Harshil Designer, UX_Trends, UI_Gradient dan ramai lagi.
Bagaimana pula jika anda masih tidak terinspirasi?
Selepas melawat laman web ini dan anda masih lagi tidak terinspirasi, saya nasihatkan baik anda tidur sahaja. Hahaha. Jika anda berada di pejabat, elok kiranya anda berehat sebenar mengeteh kopi di pantri atau berbual bersama rakan sekerja. Kemungkinan besar anda “burn out” kerana memikirkan tentang konsep rekaan.
Jika saya pula, kebiasaannya saya akan beralih tempat duduk dari meja kerja. Kemudian melepak di tempat yang tenang sambil bersantai mencari idea-idea penting dahulu seperti warna tema projek dan tipografi. Terpulanglah.
Apakah laman web yang sering dikunjungi anda? Kongsikan bersama saya di ruangan komen, mana tau ia bakal memberi inspirasi kepada diri saya pula.
The post 4 laman web yang memberi inspirasi UIUX appeared first on Azmir Shah.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://azmirshah.com/laman-web-inspirasi-uiux/