29 Mac 1948 Tertubuhnya Ikatan Pembela Tanah Air
Pada 29 Mac di tahun 1948, satu kawasan yang bernama Jeram berhampiran Sungai Rabit di bandar Temerloh, telah diadakan satu kongres nasional yang bersejarah dan amat penting bagi para pejuang kiri kemerdekaan seluruh Tanah Melayu. Kongres ini adalah kongres bagi pertubuhan Ikatan Pembela Tanah Air (PETA) dan telah berlangsung selama 3 hari di bangunan sementara yang dibina secara gotong royong oleh para pemimpin dan anggota PETA Temerloh. Kongres PETA ini adalah satu-satunya kongres yang sempat diadakan PETA sebelum kesemua pertubuhan kiri diharamkan oleh penjajah British bermula 20 Jun 1948 dengan pelaksanaan Akta Darurat pada waktu tersebut
Setelah pengharaman lebih awal Angkatan Pemuda Insaf (API) oleh penjajah British pada 17 Julai 1947, PETA kemudian telah ditubuh pada 9 Oktober 1947 untuk mengisi lompong kekosongan bagi wadah perjuangan para pejuang kemerdekaan yang progresif dan revolusiner di Tanah Melayu. Di peringkat Pusat, PETA telah diketuai oleh Wahi Anuar (Selangor), manakala di Temerloh, PETA telah diketuai oleh Yusuf Salleh (adik S.Roomai Noor)
Yang menariknya, kongres PETA di Temerloh ini bukan saja diwakili oleh para pewakilan PETA sahaja, malah kongres ini turut sama dihadiri oleh para pemimpin organisasi kiri yang lain di seluruh Tanah Melayu. Antara tokoh penting yang hadir dalam kongres ini selain para pemimpin PETA adalah Shamsiah Fakeh (Ketua Angkatan Wanita Sedar atau AWAS), Musa Ahmad (Ketua Barisan Tani Malaya atau BATAS) dan Zainab Mahmud (Setiausaha AWAS), selain Kamarulzaman Haji Teh, tokoh dari Temerloh sendiri yang sudah dikenali di peringkat nasional
Jadi, tidaklah menghairankan jika sepanjang tiga hari berlangsungnya kongres PETA di Temerloh ini, bandar Temerloh telah ramai dikunjungi dan dipenuhi oleh orang yang tidak dikenali termasuk mata-mata gelap penjajah yang ingin mengintip kongres tersebut.
Di bawah adalah foto para perwakilan kongres PETA menaikkan bendera PETA di Tebing Kuala Semantan (Esplanade Temerloh sekarang) pada ketika hari kongres sedang berlangsung
Sumber foto: Arkib Negara Malaysia & Pusat Sejarah Rakyat
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://www.krissmerah.com/2019/02/29-mac-1948-tertubuhnya-ikatan-pembela.html?utm_source=feedburner&utm_medium=feed&utm_campaign=Feed%3A+krissmerah+%28Kriss+Merah.com+%28Blogger+Melayu%29%29