250 Warga Emas Kemaman Disantuni
Oleh: Ahmad Ezani Razali
KEMAMAN, 16 September - Seramai kira-kira lebih 250 orang warga emas disantuni oleh Jawatankuasa Etika Penyelidikan Manusia, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di bawah Program Kesejahteraan Warga Emas Bersama Komuniti Terengganu dengan kerjasama Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai di pekarangan Masjid Kampung Paya Berenjut, pagi tadi.
Semua warga emas yang hadir berpeluang untuk mendapatkan pemeriksaan kesihatan, saringan kesihatan, kaunseling serta pemeriksaan doktor secara percuma.
Pengarah program, Prof Madya Dr. Aniza Abd Aziz berkata, program ini diadakan bertujuan untuk menilai tahap kesihatan warga emas dan mengenal pasti faktor-faktor penentu penuaan sihat dalam kalangan warga emas di Terengganu.
Peserta akan dinilai dari segi kognitif (ingatan & pemikiran), status psikologi atau emosi, status sosial, status fizikal (kekuatan genggaman, kelajuan berjalan) status pemakanan (peratusan lemak, ukuran lilit pinggang, ukuran lilit punggung, ukuran lilit pertengahan lengan, ukuran lilit betis, indeks jisim badan), ukuran antropometri (tinggi dan berat) serta status kawalan penyakit (tekanan darah dan paras gula).
"Jadi bagi tujuan kajian ini, kami akan mengadakan program seperti ini di lapan buah daerah di seluruh negeri Terengganu. Peserta yang layak untuk program komuniti ini kami fokuskan pada warga emas yang berumur 60 tahun ke atas dan mereka yang tidak mempunyai gangguan fizikal dan mental yang teruk serta ingatan yang memuaskan," ujarnya.
"Setakat ini kami telah mengadakan program komuniti kajian warga emas ini di lima buah daerah dan di daerah Kemaman ini kami memilih DUN Cukai sebagai tempat pengumpulan data.
"Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada ADUN Cukai, Hanafiah Mat, Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) DUN Cukai dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) yang terlibat kerana memberi kerjasama yang sangat baik. Alhamdulillah, saya melihat sambutan pada hari ini sangat menggalakkan," tambahnya lagi.
Dalam masa sama, Pejabat ADUN Cukai turut memberikan sedikit sumbangan iaitu sekampit beras seberat 5 kilogram dan wang tunai RM30 kepada setiap peserta warga emas yang hadir dalam program tersebut.
Sumber: teganukita.net
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://www.terengganu11.com/2019/11/250-warga-emas-kemaman-disantuni.html