20 Pegawai Imigresen Positif Covid 19
BH ONLINE
Datuk Khairul Dzaimee Daud. FOTO NSTP PUTRAJAYA: Hampir 3,500 pegawai Jabatan Imigresen menjalani ujian saringan COVID-19 sehingga 25 November lalu dengan 3,000 daripadanya dikuarantin dan 20 lagi dirawat kerana didapati positif wabak itu.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud, berkata sebagai pasukan barisan hadapan, petugas Imigresen berhadapan risiko terdedah virus itu kerana berada paling hampir dengan warga asing dan pendatang tanpa izin yang belum dipastikan tahap kesihatan mereka.
Bagaimanapun katanya, jabatan itu tetap komited melaksanakan dasar kemasukan warga asing yang diputuskan kerajaan melalui Majlis Keselamatan Negara (MKN), menyaksikan sebanyak 1,332 kes positif import sehingga semalam.
"Bukan saja sebagai benteng pertama pintu masuk negara menghadapi pelawat asing yang berisiko membawa virus COVID-19, tetapi turut terbabit secara langsung dalam tugasan kawalan dan pencegahan COVID-19," katanya dalam kenyataan sempena sambutan Hari Imigresen 2020, hari ini.
Disyorkan Untuk Anda Lebih 13,000 PATI ditahan sehingga 21 MacBatalkan pas imigresen jika keluar kenyataan tak tepatJabatan Imigresen kaji kaedah kekang pelacuran warga asingSistem baharu imigresen elak penipuan Beliau berkata, pembabitan Imigresen dapat dilihat di kawasan tumpuan warga asing, pusat rawatan dan kuarantin warga asing seperti di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Serdang dan operasi penguatkuasaan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Khairul Dzaimee berkata sejak Januari sehingga semalam, pihaknya melaksanakan 6,379 operasi penguatkuasaan di seluruh negara, membabitkan pemeriksaan 93,475 individu serta penahanan 34,920 pendatang tanpa izin dan 376 majikan.
Bersempena sambutan Hari Imigresen itu, beliau melancarkan Pelan Anti-Rasuah Jabatan Imigresen 2020-2024 yang memberi fokus kepada tadbir urus lebih jelas serta pembudayaan integriti tinggi dalam melaksanakan tugas sebagai penguat kuasa.
Bagi mendukung inisiatif pendigitalan perkhidmatan kerajaan dan penerapan norma baharu, Khairul Dzaimee berkata, Imigresen membangunkan Sistem Temujanji Online (STO), Sistem MYEntry, Sistem Pertanyaan Online (SPO) dan Sistem MyTravelPass (MTP).
"Jabatan Imigresen sentiasa mengikut arus perkembangan teknologi supaya kualiti sistem penyampaian perkhidmatan dapat ditingkatkan dan kos operasi dikurangkan.
"Urusan yang dijalankan di kaunter selama ini dikurangkan secara berperingkat dan dijalankan secara dalam talian dan digital," katanya. - BERNAMA
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/12/20-pegawai-imigresen-positif-covid-19.html