15 Pati Cuba Balik Indonesia Ditahan Tentera
Kumara Sabapatty                                                                                                                                                                                                                                                                                                                  

Seramai  15 PATI warga Indonesia yang dicekup pasukan tentera dalam serbuan Op  Benteng ketika cuba naik bot untuk pulang ke negara asal.             KUALA LUMPUR – Rancangan 15 pendatang asing tanpa izin (PATI)  warga Indonesia yang cuba pulang ke negara asal dengan menaiki bot  ditahan di Sedili Kechil, Kota Tinggi, Johor.
Pegawai Perhubungan Awam Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia Kem  Terendak, Mejar Azemy Dulhani berkata, kesemua suspek ditahan dalam Op  Benteng pada jam 1.45 pagi.
“Hasil maklumat perisikan daripada Ibu Pejabat Polis Daerah  Kota Tinggi telah memaklumkan terdapat pergerakan PATI di kawasan Sedili  Kechil, Kota Tinggi, Johor.
“Kumpulan Petugas Rondaan Briged Ketujuh Infantri Malaysia (7 Briged)  oleh Pasukan Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (1 RRD) yang sedang  mengawasi pesisiran pantai turut melihat sebuah bot di jarak 100 meter  sedang merapati persisiran pantai sekitar jam 1.30 pagi.
“Beberapa minit selepas itu didapati sekumpulan individu kelihatan  mencurigai keluar dari semak berhampiran menuju perairan untuk menaiki  bot,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Azemy, serbuah yang dilakukan itu menyaksikan 12 PATI warga  Indonesia, yang terdiri daripada lapan lelaki dan empat perempuan  berusia sekitar 19 hingga 45 tahun, yang dipercayai ingin pulang ke  Indonesia ditahan.
Sementara itu, katanya, kumpulan Quick Reaction Force (QRF) turut  digerakkan pada jam 2.50 pagi dan mereka berjaya menahan dua lagi PATI  lelaki yang sedang bersembunyi di pinggir hutan pada jarak kira-kira 800  meter dari lokasi kejadian.
Menurutnya, pada jam 7.00 pagi kumpulan penggeledahan berjaya  mengesan dan menahan seorang lagi PATI lelaki warga Indonesia yang  bersembunyi di kawasan hutan berhampiran.
“Keseluruhan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM40,000 melibatkan wang tunai dan 17 buah telefon bimbit.
“Kesemua tekong dan PATI telah dibawa ke Markas Taktikal Tanjung Sepang dan pengendalian adalah mengikut SOP Covid-19.
“Pasukan meneruskan kawalan keselamatan di persisiran pantai dan  laporan tangkapan terhadap kesemua PATI telah dibuat di Balai Polis  Kuala Sedili dan diserahkan ke Jabatan Imigresen Malaysia untuk tindakan  lanjut selepas dilibatkan dalam ujian saringan Covid-19,” katanya. – MalaysiaGazette
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/09/15-pati-cuba-balik-indonesia-ditahan.html