10 Aplikasi Berguna Untuk Dipasang Selepas Siap Pemasangan Arch Linux
Agak lama juga saya tidak menulis mengenai Linux. Niche atau jumlah pembaca yang terlalu kecil menyembabkan saya menjadi semakin ‘perlahan’ untuk menulis ke arah sistem operasi ini. Pun begitu, sebilangan kecil pembaca yang berkualiti, adalah penting juga untuk mengekalkan ‘warna’ dalam laman web dan page.
Arch Linux juga mempunyai bilangan pengguna yang kecil. Tidak menghairankan, kerana untuk memasangnya juga memerlukan ketekunan untuk membaca dan meneliti bagi mengelakkan dari terkena sebarang ralat.
Selepas selesainya pemasangan, ada baik juga jika anda memasang beberapa aplikasi di bawah untuk melengkapkan lagi sistem operasi anda. Tanpa melengahkan masa anda, dipersilakan lihat senarai berikut:
1. Android File Transfer
Android File Transfer diperlukan untuk memudahkan kerja-kerja hubungan antara telefon Android dan komputer. Antara perkara yang memerlukan pakej ini ialah Xiaomi ADB/Fastboot Tools.
Pakej ini ada dalam repo rasmi Arch Linux, oleh itu untuk pasangkan ia adalah semudah:
$ sudo pacman -S android-file-transfer
2. Google Chrome
Saya boleh saja gunakan Firefox. Cuma dengan Chrome, lebih mudah apabila log masuk terus ke akaun dan semuanya akan terus diselaraskan terutamanya kata laluan di semua laman web.
Untuk memasang Google Chrome, anda boleh pasangkan terus melalui AUR, atau gunakan AUR Helper.
Rujuk: Pengenalan Kepada Arch User Repository (AUR) Dan Cara Pemasangan
Muat turun pakej Google Chrome di: AUR – Google Chrome
$ wget https://aur.archlinux.org/cgit/aur.git/snapshot/google-chrome.tar.gz
$ tar -xvf google-chrome.tar.gz
$ cd google-chrome/
$ makepkg -S
$ sudo pacman -U google-chrome-*.*.src.tar.gz
Dalam kes saya, ketika pemasangan, versinya ialah 87.0.4280.88-1.src.tar.gz, oleh itu:
$ sudo pacman -U google-chrome-87.0.4280.88-1.src.tar.gz
Siap.
3. Tixati
Tixati ialah aplikasi klien torrent yang sangat bagus digunakan untuk memuat turun fail-fail dari laman torrent.
Ia ada di AUR, dan cara pemasangannya adalah sama dengan Google Chrome. Hanya perlu tukarkan URL dan nama pakej sahaja.
4. SMPlayer
Saya memang sudah terbiasa menggunakan SMPlayer sebagai pemain media dari dulu lagi. Saya menjadikan ia sebagai alternatif kepada MPC di Windows.
$ sudo pacman -S smplayer
Boleh juga tambah:
$ sudo pacman -S smplayer-skins smplayer-themes smtube
5. Spotify
Perlukah saya memperkenalkan lagi Spotify kepada anda?
Spotify ada di AUR pada pautan ini: AUR – Spotify
Seperti biasa, rujuk cara pemasangan Google Chrome untuk memasang Spotify.
6. pacaur
Pacaur ialah AUR Helpers yang lengkap.
Rujuk: AUR Helpers: Pemasangan Pakej AUR Secara Automatik
Dengan pacaur, anda boleh pasangkan pakej dari AUR semudah menggunakan pacman.
7. debtap
Debtap ialah skrip untuk menukar format fail pemasang .deb kepada fail pakej Arch Linux. Anda boleh gunakan ia untuk memasang mana-mana aplikasi yang tidak terdapat dalam repo mahupun AUR.
Debtap boleh dimuat turun di sini: AUR – Debtap
Cara menggunakannya juga agak senang. Muat turun sahaja mana-mana fail .deb yang anda mahu, lalu tempatkan ia ke dalam folder.
Jalankan perintah ini terlebih dahulu:
$ sudo debtap -u
*Perintah ini hanya perlu dijalankan sekali sahaja. Selepas siap, perintah ini tidak diperlukan lagi. Anda boleh teruskan mengguna perintah di bawah.
Setelah itu, masuk ke dalam folder di mana anda tempatkan fail .deb, contohnya saya pasangkan Microsoft Edge Dev, yang boleh dimuat turun di sini: https://www.microsoftedgeinsider.com/en-us/download/
Ketika saya muat turun, versinya ialah 89.0.723.0-1-x86_64.
Jalankan perintah:
$ debtap microsoft-edge-dev_89.0.723.0-1_amd64.deb
Kemudian apabila telah selesai proses penukaran format, jalankan perintah ini:
$ sudo pacman -U microsoft-edge-dev-89.0.723.0-1-x86_64.pkg.tar.zst
Siap.
8. OpenShot
OpenShot ialah aplikasi penyuntingan video yang serasi dengan pelbagai platform. Saya amat menyukainya kerana mudah sungguh untuk digunakan dan difahami.
Pasangkan OpenShot dengan perintah:
$ sudo pacman -S openshot
9. OnlyOffice
OnlyOffice ialah perisian pejabat yang begitu serasi dengan format Microsoft Office. Ia ada di AUR pada pautan: AUR – OnlyOffice
10. Pamac
Pamac ialah pengurus pakej untuk Manjaro. Anda boleh juga gunakan ia pada Arch Linux, sekiranya anda inginkan pengurus pakej versi GUI. Pamac menyokong AUR, oleh itu ia berfungsi seperti AUR Helpers tetapi anda dapat melihat dengan paparan antaramuka pengguna.
Pamac ada di AUR: AUR – Pamac
Bonus:
11. TLP
TLP memudahkan pengurusan kuasa bateri. Tanpa perlukan tetapan yang memeningkan kepala, anda boleh pasang TLP dan lupakan terus.
Rujuk: TLP – ArchWiki
12. Brightness Controller
Ada sesetengah laptop mempunyai masalah dengan pengubahan kadar keterangan skrin selepas siap memasang Arch Linux. Anda boleh gunakan aplikasi Brightness Controller untuk mengatasi masalah ini.
Brightness Controller ada di: AUR – Brightness Controller
Selesai sudah perkongsian hari ini. Diharap agar anda dapatlah memanfaatkan apa yang saya kongsikan, dan teruskan memakai Arch Linux sebagai sistem operasi anda. Selamat maju jaya.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://omghackers.com/10-aplikasi-berguna-untuk-dipasang-selepas-siap-pemasangan-arch-linux/