Selepas Detik Duka Noh Isteri Syukur Bakal Timang Cahaya Mata Perempuan
Selepas detik duka kehilangan anak sulung tahun lalu, vokalis kumpulan Hujan, Noh Salleh dan isterinya, Fatin Athira Mustapa, akhirnya berkongsi berita gembira bakal menimang cahaya mata perempuan tidak lama lagi. Khabar manis ini pastinya memberi sinar baru buat pasangan ini setelah melalui ujian berat sebelum ini.
Berita tersebut dikongsikan Noh menerusi Instagram Story apabila dia memuat naik semula hantaran rakan-rakan yang hadir dalam majlis pendedahan jantina bayi. Majlis yang berlangsung meriah itu menjadi detik indah buat pasangan ini yang kini sedang menanti kehadiran puteri kecil mereka.
Dalam video yang tular, Noh jelas melompat kegirangan sebaik sahaja asap dan kertas merah jambu dilepaskan ke ruang acara. Fatin pula yang tampil anggun dalam gaun putih, tersenyum manis di sisi suaminya, menyaksikan saat penuh bermakna itu bersama-sama.
Tahun lalu, pada September, Noh pernah berkongsi kisah sedih di Instagram apabila kehilangan anak sulung mereka yang diberi nama Julian. Dalam perkongsian penuh emosi itu, Noh menulis tentang perjuangan mereka menjaga kandungan sambil dalam masa sama membesarkan anak angkat mereka, Musa. Walaupun kehilangan tersebut cukup perit, mereka terus tabah dan percaya bahawa setiap ujian ada hikmahnya.
Kini, doa mereka akhirnya terjawab. Kehadiran bakal cahaya mata perempuan ini bukan sekadar anugerah, tetapi juga pengubat rindu dan pengikat kasih sayang yang lebih utuh antara Noh dan Fatin.
View this post on Instagram
A post shared by Noh Salleh | 光 (@mohammadnohbinsalleh)
Untuk rekod, Noh mendirikan rumah tangga bersama Fatin pada September 2023. Sebelum itu, beliau pernah berkahwin dengan penyanyi Mizz Nina pada 2011 sebelum berpisah pada Ogos 2022. Hasil perkahwinan terdahulu, Noh dan Mizz Nina memiliki seorang anak angkat lelaki bernama Musa, yang kini menjadi penyeri keluarga kecil mereka.
Semoga proses kehamilan Fatin dipermudahkan, dan pasangan ini dikurniakan pengalaman indah menyambut kehadiran puteri kecil yang bakal hadir dalam hidup mereka tidak lama lagi.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.majalahpama.my/selepas-detik-duka-noh-isteri-syukur-bakal-timang-cahaya-mata-perempuan/