Adakah Trump Tahu Apa Yang Beliau Buat
Setelah bertegas ‘my policies will never change’, Donald Trump mengumumkan penangguhan 90 hari tarif timbal baliknya pada saat-saat akhir sebelum tindakan itu berkuat kuasa. Adakah beliau akhirnya mengakui dasar tarifnya membawa lebih banyak keburukan daripada kebaikan? Termasuk ke atas rakyat Amerika Syarikat sendiri, khususnya ‘the working class’ dan golongan berpendapatan rendah yang menurut senator Bernie Sanders, ‘living paycheck to paycheck’.
Walaupun jika apa yang saya nyatakan itu benar, takkan beliau akan mengaku tersilap langkah, betul tak? Kata Trump, penangguhan ‘ditulis dari hati sebagai sesuatu yang positif bukan sahaja untuk dunia tetapi juga untuk negara kita’. Sejak mengumumkan dasar tarif timbal baliknya, bursa saham dunia kerugian wang pada angka trilion. Dan pada sudut AS pula, sembilan daripada 10 pakar ekonomi negara itu percaya dasar Trump adalah suatu ‘recipe for disaster’.
Tiba-tiba Trump punya ‘a change of heart’ lalu berkata, ‘Kita tidak mahu menyusahkan negara yang tidak perlu disusahkan dan mereka semuanya ingin berunding’. Hanya beberapa jam sebelum itu Trump mengejek negara yang mahu berunding – “I am telling you these countries are calling us up, kissing my ass. They are dying to make a deal, ‘Please, please sir, make a deal. I’ll do anything, sir’.”
Saya ulangi apa yang saya kata pada artikel 8 April lalu bertajuk ‘Trump: Wira atau penjahat’ bahawa Trump memang bangga negara yang tertekan datang ‘mengadapnya’, sekali gus membuat beliau berasa dirinya hebat, bagai seorang maharaja.
Ramai juga anggota tertinggi pentadbirannya yang hanya tahu tentang penangguhan tarif apabila Trump mengumumkannya, macam kita semua juga. Adakah Trump membuat keputusan mengikut naluri? ‘At the spur of the moment’? Sebelum ini, pelbagai pihak mendakwa Trump boleh buat keputusan cepat, dan cepat juga mengubah keputusan itu.
Tampil setiausaha perbendaharaan Scott Bessent mempertahankan bosnya. Katanya, penangguhan – atau istilah yang digunakan, ‘pause’ – sememangnya sebahagian strategi Trump.
Kata Trump, penangguhan itu mengambil kira ramai yang gelabah – istilah beliau, ‘yippy yappy’. Terdahulu, Trump menasihati semua pihak, termasuk atau terutama rakyat AS, agar bertenang, ‘be cool’. Ada media AS menyifatkan keadaan sekarang sebagai ‘from being cool to getting yippy’.
Apa pun, 75 negara rakan dagang AS termasuk Malaysia bolehlah tarik nafas lega buat masa ini disebabkan penangguhan tarif itu. Malaysia mengalu-alukan keputusan itu, namun menurut Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Abdul Aziz, masih ada ketidaktentuan dan ini mewujudkan cabaran besar terhadap ekonomi Asean. Trump sendiri mengakui ‘nothing’s over yet’.
Ertinya, tiada yang pasti tentang tarif Donald Trump selain ketidaktentuan. Kata Zafrul, Malaysia ‘kekal komited untuk bekerjasama dengan rakan-rakan Asean dalam mengurangkan gangguan, memperkukuh daya tahan ekonomi serantau dan memperjuangkan hubungan perdagangan yang seimbang serta stabil’. Jelas negara anggota mesti bergerak sebagai satu blok Asean yang ‘solid’, bukan secara berasingan. Asean jaga Asean. Dan Asean punya pilihan untuk menjalankan perdagangan terus dengan China, ekonomi kedua terbesar di dunia.
Ini membawa saya semula kepada pengumuman Trump mengenai penangguhan tarif. Selain berkata ‘nothing’s over yet’, beliau juga berkata, “We have a tremendous amount of spirit from other countries including China. (They) want to make a deal, they just don’t know how quite to go about it,” seperti yang dilaporkan CNN.
Bagi saya, ini ‘typical Trump’, ‘fond of putting words in other people’s mouth’. China sudah menegaskan akan ‘fight to the end’. Jadi adakah benar China mahu buat ‘deal’ seperti yang didakwa Trump? Dan adakah Trump memiliki kehebatan untuk menyelami minda pemimpin China lalu beliau tahu China mahu buat ‘deal’ tetapi tidak tahu caranya?
Terbaru, CNN memetik jurucakap kementerian perdagangan China berkata, pintu untuk berbincang terbuka (dalam aspek ini, Trump terbukti betul), tetapi dialog mesti dijalankan dengan saling menghormati dan saksama. Namun, kata pakar ekonomi, China sudah lama bersedia menghadapi kemungkinan perang dagang yang panjang.
Dan walaupun berkata boleh berunding, Trump tetap mengekalkan tarif tinggi ke atas China, bahkan dinaikkan kepada 125% daripada 104%, dan China tidak
diletakkan dalam senarai negara yang mendapat penangguhan .
Presiden China Xi Jinping dijadual mengadakan lawatan ke Malaysia 15 hingga 17 April ini. Memandangkan ia diadakan di tengah-tengah perang perdagangan AS-China, lawatan Xi amat signifikan.
Malaysia selaku pengerusi Asean boleh membawa soal perdagangan, mengambil kira ketidaktentuan dasar Trump, ke meja rundingan dengan presiden China secara langsung.
Bukan sesuatu yang aneh untuk percaya Trump bimbang jika Asean, juga Kesatuan Eropah malah dunia, ‘memihak’ kepada China, sekali gus meminggirkan AS. Semuanya angkara dasar tarifnya.
Mesej Trump semasa membuat pengumuman tangguh tarif adalah ‘jangan bertindak balas dan kamu akan dapat ganjaran’. Umum tahu China bertindak balas – AS kenakan tarif tinggi ke atas China dan China kenakan tarif tinggi ke atas AS.
Namun pengumuman Trump memberi Asean pilihan antara AS dan China. Kepada Presiden Trump, Asean boleh berkata, “Jika kami ditekan, kami boleh berurusan hanya dengan China”. Kepada Presiden Xi, Asean boleh berkata, “Jangan kenakan pelbagai syarat untuk berdagang kerana ‘window’ dengan AS sudah terbuka, walaupun kecil”. Ini sekadar kesimpulan mudah dalam isu yang bukan mudah.
Laporan CNN bertajuk “Inside Trump’s tariff retreat: How fears of a bond market catastrophe convinced Trump to hit the pause button” menarik perhatian saya.
Namun saya akhiri penulisan ini dengan laporan The Economic Times bertajuk ”Great time to buy!’: How Trump’s ‘buy’ tip on social media before his 90-day tariffs pause made money for investors’, yang sedikit sebanyak senada dengan laporan itu. The Economic Times mengingatkan pembaca pada pagi Rabu lalu bahawa pasaran saham AS terumbang-ambing apabila Trump menyelit dengan memberi ‘nasihat kewangan’.
Menerusi platform media sosial ‘Truth Social’ (yang ada kaitan dengannya) Trump berkata, “This is a great time to buy !!! DJT”. Maksudnya, ini waktu paling bagus untuk beli saham wahai DJT …
Kurang empat jam kemudian, Trump membuat pengumuman mengenai penangguhan tarif. Berita itu menyaksikan harga pasaran melonjak. Sesiapa yang ikut nasihat Trump beli saham waktu harga rendah meraih untung besar.
Bertanya The Economic Times, adakah Trump sudah tahu beliau akan umum penangguhan tarif semasa membuat hantaran mengenai masa bagus untuk beli saham? Dalam kata lain, adakah beliau sudah buat keputusan penangguhan semasa buat hantaran berkenaan? “It was an impressive timed call from the president – maybe a little too well-timed,” kata The Economic Times.
‘DJT’ yang digunakan Trump di penghujung hantara itu ialah simbol saham atau ‘stock ticker’ untuk Trump Media and Technology Group, pemilik Truth Social. Pendek cerita, ramai kenalan Trump telah buat banyak duit kerana ‘tip-off’ yang diberikannya.
Kata Richard Painter, seorang bekas peguam etika White House, “He’s loving this, this control over markets, but he better be careful.” Dalam mengatakan Trump mesti berhati-hati, Painter merujuk undang-undang sekuriti yang mengharamkan perdagangan saham yang dilakukan berdasarkan maklumat dalaman atau membolehkan ia dilakukan.
Berdasarkan kata-kata itu, bertanya saya, bolehkah presiden AS didakwa atas tuduhan ‘insider trading’? Dan bolehkah beliau dihadapkan ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa di The Hague atas tuduhan mensabotaj ekonomi dunia kerana dasar tarifnya telah meruntuhkan pasaran saham seluruh dunia dan menyebabkan kerugian yang teramat besar? Itu sekadar pertanyaan saya yang bukan pakar undang-undang mahupun ekonomi. - FMT
Artikel ini ialah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://malaysiansmustknowthetruth.blogspot.com/2025/04/a_28.html