Warga Emas Kutip Kotak Tin Selepas Dibuang Kerja
Warga emas Chong Man Kiew mengutip kotak dan tin kosong setelah dibuang kerja dua tahun lalu.PETALING JAYA: Walaupun sudah dimamah usia, seorang warga emas tidak pernah kenal erti putus asa atau penat dan sanggup mengutip kutip kotak dan tin bagi menyara kehidupannya.
Wanita yang dikenali sebagai Chong Man Kiew, 71, menceritakan kisahnya yang sebelum ini berbeza kerana bekerja sebagai tukang masak di kantin sebuah sekolah di Seri Kembangan, Selangor.
Beliau yang mempunyai 2 orang anak itu berkata, kehidupannya bagaimanapun berubah selepas dibuang kerja dua tahun lalu.
Akibat kesukaran mencari kerja lain berikutan usianya yang sudah lanjut dan kerana tidak mahu menyusahkan anak-anaknya, setiap pagi beliau keluar rumah untuk mengutip kotak dan tin kosong di persekitaran Pinggiran Putra, Seri Kembangan dari jam 9 pagi hingga 4 petang.
Chong berkata, beliau tidak kisah pandangan orang lain, walaupun individu seusianya biasanya sudah tidak bekerja dan hanya berehat di rumah.
Beliau tidak pernah kenal erti penat dan sanggup mengutip kotak dan tin kosong bagi menampung kos kehidupannya walaupun hanya mendapat sekitar RM10 hingga RM20 sehari.
Chong menimbang hasil kutipan kotaknya.“Kadang-kadang hanya dapat RM3 sehari, itu kalau nasib tidak baik. Tetapi pernah tidak ada hasil langsung sebab tidak keluar kutip kotak kerana tidak mahu bersaing dengan orang lain yang membuat pekerjaan sama.
“Kalau tengok tiada kotak atau tin kosong sekitar rumah saya, saya tak keluar cari,” katanya ketika ditemui FMT baru-baru ini.
Chong berkata, beliau tinggal bersama-sama seorang anak lelakinya yang bekerja mencuci bangunan di kawasan sekitar kawasan rumahnya.
Beliau berkata, seorang lagi anak perempuannya sudah berkahwin dan tinggal berasingan.
Chong tidak mahu menyusahkan anaknya kerana menyedari gaji mereka juga tidak besar, di samping percaya beliau sendiri perlu bekerja bagi meringankan beban keluarga.
“Duit yang saya dapat ini boleh beli makanan dan selebihnya digunakan untuk membayar sewa rumah dan perbelanjaan lain.
Walaupun berusia lanjut Chong tidak mengenal erti letih bagi menampung keperluan keluarganya.“Kalau tak keluar cari kotak dan tin kosong macam mana nak makan. Duit tak ada nanti,” katanya .
Bagi Chong, perayaan Tahun Baru Cina tahun ini sama seperti tahun tahun sebelum ini , tiada yang luar biasa.
“Macam biasa, tidak ada baju baharu, hanya masak sikit untuk makan bersama keluarga.
“Duit simpanan hasil kutip kotak dan tin kosong saya guna untuk beli sedikit kuih raya, itu sahaja,” katanya.
Chong mungkin tidak keluar mencari kotak dan tin kosong pada hari Tahun Baru kerana ia merupakan satu-satunya waktu rehat baginya.
Namun esok beliau akan keluar lagi – mencari tin dan kotak untuk meneruskan kehidupan. - FMT
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://malaysiansmustknowthetruth.blogspot.com/2021/02/warga-emas-kutip-kotak-tin-selepas.html?utm_source=feedburner&utm_medium=feed&utm_campaign=Feed%3A+MalaysiansMustKnowTheTruth+%28Malaysians+Must+