Wanita Dakwa Rmt Semata Mata Nasi Putih Bersama Kuah
Kamariah Khalidi Tangkap layar dari akaun Facebook wanita terbabit bersama gambar yang dimuat naik memaparkan hanya nasi putih dan kuah sahaja sebagai makanan RMT.KUALA LUMPUR – Nasi putih bersama sedikit kuah.
Itu sahajakah makanan yang disediakan Rancangan Makanan Tambahan (RMT), soal seorang wanita yang kecewa selepas melihat isi kandungan makanan percuma itu yang dibawa pulang oleh cucu saudaranya.
Menerusi perkongsian di laman Facebook semalam, wanita terbabit turut memuat naik gambar makanan tersebut sebagai bukti.
“Cucu saudara bawa balik dekat emak dia makanan RMT. Sadis betul. Makanan apa yang diberi untuk budak-budak dekat sekolah? Adakah peruntukan RMT terlalu sedikit sampai pengusaha kantin beri makanan begini kepada budak-budak?
“Sebelum ini budak-budak mengadu makanan RMT, kita pun beritahu kena bersyukur sebab masih ada makanan tapi ini makanan untuk siapa? Ayam?” soal wanita berkenaan.
Bagaimanapun, wanita itu tidak meletakkan 100 peratus kesalahan terhadap mana-mana pihak namun meminta supaya ada siasatan lebih dijalankan bagi mengetahui punca terjadinya situasi sedemikian.
“Tidak tahu salah siapa dalam hal begini. Tapi saya rasa perlu disiasat kenapa diberi makanan seperti ini kepada penerima RMT. Sudahlah senarai penerima RMT wajib sekolah hari-hari tanpa penggiliran. Makanan begini yang dikatakan mampu memacu pendidikan kita?” soalnya yang turut menanda nama akaun Facebook Dr Maszlee Malik dan Dr Radzi Jidin dalam hantaran tersebut.
Tambahnya lagi, Kementerian Pendidikan perlu melihat semula masalah tersebut dan mengeluarkan bajet baharu supaya tidak ada mana-mana pihak yang tertekan.
“Hal begini bukan hendak menyalahkan kantin sepenuhnya. Bajet rendah, kementerian harus beri bajet baharu supaya tiada pihak tertekan. Pihak kantin gembira, anak-anak makan dengan senang hati,” ujarnya.
Dalam pada itu, berdasarkan komen terbaharu yang ditinggalkan wanita tersebut, dia masih mempertahankankan cucu saudaranya itu hanya membawa pulang nasi putih dengan sedikit kuah tanpa ada apa-apa lauk di dalam bekas makanan.
Jelas wanita itu lagi, ibu kepada murid tersebut turut bertanya berkali-kali kepada anaknya bagi memastikan tiada salah faham yang berlaku.
“Emak dia (murid) sudah tanya berkali-kali, takut anak dia sudah makan lauk (jika ada) dahulu. Itu yang dia sedih memikirkan jika makanan begitu hari-hari dihidangkan buat anak dia.
“Jadi bukan menyalahkan sesiapa, tunggu siasatan. Telah diajukan pada AJK (ahli jawatankuasa sekolah),” katanya. – MalaysiaGazette
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://dialograkyat.blogspot.com/2022/01/wanita-dakwa-rmt-semata-mata-nasi-putih.html