Vivo Sedang Membangunkan Telefon Beserta Kamera Boleh Terbang
Pembangunan telefon pintar ni, pada abam dah menghampiri sudut puncaknya apabila peranti mercu terbaru pun hampir sahaja mengulangi apa yang sudah sedia ada ditawarkan pada model semasa. Bahasa mudah yang lain, pembangunan sudah pun tepu.
Kalau ada pun penambahbaikan – mungkin pada teknologi pengecasan pantas dan semestinya kamera. Kalau bab chipset, nampaknya kita betul² perlu menantikan peranti baharu yang mampu menangani masalah haba dengan lebih berkesan.
Jika tidak, semuanya bagaikan seterika kayangan, maklum saja harganya tidak murah belaka.
Menyentuh mengenai kamera, diberitakan bahawa vivo sedang cuba membangunkan kamera yang mampu terbang keluar dari telefon pintar. Ini berikutan telefon pintar mereka sebelumnya sudah pun dilengkapi dengan sistem gimbal mikro yang dapat merakamkan video ultra-stabil tanpa memerlukan gimbal luaran.
Dikatakan lagi, Vivo sedang membangunkan kamera dengan keupayaan seperti dron. Ia mungkin akan ‘tertanggal keluar’ dari telefon pintar dan melayang di udara untuk mengambil gambar di udara atau merakamkan video.
Menurut laporan, Vivo akan mendapatkan paten untuk telefon pintar itu dengan Pejabat Harta Intelek Dunia (World Intellectual Property Office) pada Disember 2020. Seperti biasa di ruang maya internet, lakaran telefon Vivo yang dikhabarkan dengan kamera terbang telah pun tersebar (anda boleh rujuk pada gambar yang abam muat naik).
Lets Go Digital adalah antara yang mula² mengeluarkan lakaran (digital sketch) tersebut pada tahun lepas. Ia menggambarkan sebuah telefon pintar yang mempunyai ruang (compartment) yang boleh ditarik keluar di bahagian tepinya.
Bekas yang menyimpan kamera tersebut mengandungi empat baling² (propellers) yang membolehkannya untuk terbang ke udara, siap beserta bateri terbina dalaman.
Untuk mengelakkan perlanggaran semasa terbang di udara, ia mempunyai dua kamera dan tiga sensor inframerah. Kamera pertama digunakan untuk menangkap pandangan udara hadapan, manakala kamera kedua diletakkan untuk merakam rakaman dari bawah. Menurut paten, ruang kamera itu boleh dikeluarkan sepenuhnya dari telefon pintar.
Kerana ia akan diletakkan di dalam telefon pintar, kamera terbang itu dijangka agak kecil. Walau bagaimanapun, paten tidak menjamin bahawa pengeluar akan mengeluarkan telefon seperti ini. Pengeluar telefon pintar mengemukakan sejumlah besar paten, tetapi hanya sebilangan kecil daripadanya dikomersialkan.
Kita seperti biasa, kalangan mana yang marhaen makan gaji ni, lepak tepi saja sambil kunyah kuaci (popcorn mahal). Kalau keluar, doa sajalah semoga tangan kita dapat merasa mengendalikannya.
Via: Bolnews
The post Vivo Sedang Membangunkan Telefon Beserta Kamera Boleh Terbang appeared first on OMG! Hackers?.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://omghackers.com/vivo-sedang-membangunkan-telefon-beserta-kamera-boleh-terbang/