View Point Wang Kelian Panorama Indah Di Ketinggian 304 Meter
SABTU | 15.01.2022
Suatu ketika dulu Wang Kelian terkenal sebagai salah satu tempat membeli-belah di Perlis. Pada masa tersebut terdapatnya kemudahan pergerakan bebas tanpa dokumen perjalanan untuk rakyat Malaysia dan Thailand pada setiap hari Ahad. Boleh baca catatan pengalaman saya DI SINI
Setelah 10 tahun berlalu, hari Sabtu lalu saya berkunjung semula ke Wang Kelian untuk ke tarikan terkini - View Point Wang Kelian. Apa yang menarik di sini? Jom kita tengok…
Saya dan suami ke sini pada waktu petang. Setelah melalui perjalanan dengan laluan berbukit (boleh tengok video di hujung entri ini), sampailah kami di sini. Walau pun nampak macam penuh tempat parkir, masih ada beberapa petak kosong. Alhamdulillah dapatlah kami parkir tak jauh dari pintu gerbang View Point Wang Kelian. Tiada caj dikenakan
Gerbang di View Point Wang Kelian. Berpalang untuk menghalang orang naik dan parkir di atas. Dari sini kita perlu mendaki sikit untuk ke puncak
Tak begitu jauh, tetapi pemakaian kasut bersesuaian akan lebih memudahkan langkah
Sampailah kita di puncak. Beginilah suasananya. Ada tempat yang luas untuk pengunjung menikmati panorama, juga tempat menarik untuk bergambar. Terdapat juga deretan gerai makanan dan minuman. Sedap sungguh bau gorengan. Terus rasa lapar…haha
Teruja sungguh saya! Panorama yang cukup indah. Angin agak kuat di sini, nyaman je rasa walau pun cuaca di Perlis panas terik. Masa ni menghampiri pukul 5 petang
MasyaAllah indah sungguh landskap alam ciptaan Yang Maha Berkuasa. Tak jemu mata menikmati keindahannya. Nampak macam air/tasik di hujung sana kan? Itulah Empangan Timah Tasoh.
Pelantar untuk pengunjung berfoto. Tertera tulisan ‘Wang Kelian’ di lantai pelantar. Hati-hati pegang barang, bimbang terbang atau terjatuh dek angin kuat di atas ni
Bergambar di sudut lain pun masih dapat foto yang cantik sebab tempat ni memang semula jadi cantik
Antara sudut lain untuk pengunjung berfoto. Buaian pun ada, tapi kena tunggu giliranlah
Dah puas memerhati sekitar dan berfoto sana sini, jomlah kita makan sebelum beredar dari sini. Sempat saya bertanya kepada seorang penjual, katanya gerai jualan hanya beroperasi pada hari Jumaat-Ahad sahaja. Tapi lupa pula saya nak bertanya waktu operasinya
Kami beli Char Kuey Teow dan Nasi Goreng, harganya RM11. Juga secawan Cafe Latte, harganya cuma RM5. Servis pantas dan sedap semuanya. Sangat puas hati 👍
Makan pulak dengan pemandangan begini, memang bertambah sedap. Terima kasih Allah ❤️
Video berdurasi 1:22 minit.
View Point Wang Kelian, tempat yang menawarkan panorama indah di ketinggian 304 meter dari aras laut. Sesuai untuk pencinta keindahan alam semulajadi. InsyaAllah jika ada kesempatan teringin juga saya nak ke sini pada waktu pagi. Tentu berbeza suasananya. Dan kalau malamnya hujan, ada rezeki dapatlah menyaksikan hamparan awan memutih
Diharapkan pihak berkuasa dapat segera menyiapkan kemudahan tandas untuk kegunaan pengunjung. Saya nampak memang dah ada binaan tandas di kawasan parkir, tapi mungkin belum siap sepenuhnya
Bagi yang nak datang ke sini, cuma perlu buat carian ‘Wang Kelian View Point’ di aplikasi Google Maps
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://ujieothman.blogspot.com/2022/01/view-point-wang-kelian-panorama-indah.html