Umno Terima Ph Tolak Pn Anwar Hampir Pasti Pm10 Malaysia
Mesyuarat MT UMNO malam tadi akhirnya memutuskan untuk bersama dengan PH untuk membentuk sebuah perpaduan.
Dalam waktu yang sama, ini bererti UMNO menolak untuk bersama dengan PN yang tiba-tiba juga mahu membentuk kerajaan perpaduan, walaupun Mahiaddin Md Yasin dengan sombongnya menolak idea kerajaan perpaduan sebelum ini.
Dengan keputusan MT UMNO itu, pembentukan kerajaan perpaduan sebagaimana yang dititahkan oleh Yang Dipertuan Agong hanya selangkah saja lagi daripada menjadi kenyataan.
Mahiaddin bagaimanapun menolak titah kerajaan perpaduan oleh Agong itu, manakala Anwar Ibrahim bagi pihak PH dengan lapang dada dan tangan terbuka menjunjung kasih titah tersebut.
Berikut adalah keputusan mesyuarat MT UMNO malam tadi:-
KENYATAAN MEDIA
Mesyuarat Khas Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada 23 November 2022 bersamaan 28 Rabiul Akhir 1444H yang dipengerusikan oleh YB Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid bin Hamidi, Presiden UMNO telah membuat beberapa ketetapan seperti berikut:-
1. MKT mengambil maklum dan memperhalusi segala butiran kedua-dua perbincangan yang telah dijalankan oleh Jawatankuasa Perundingan Barisan Nasional (BN) dengan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).
2. MKT secara sebulat suara memutuskan untuk menyokong dan menjunjung titah Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong supaya Barisan Nasional menyokong dan mengambil bahagian dalam Kerajaan Perpaduan yang bukan diterajui oleh Perikatan Nasional bagi memastikan sebuah Kerajaan yang stabil dan makmur dapat dibentuk.
3. MKT juga bersetuju semua wakil-wakil parti yang memenangi kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15, mematuhi dan menerima sebarang bentuk Kerajaan Perpaduan atau lain-lain bentuk Kerajaan yang bakal dimasyhurkan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
4. MKT memperkukuhkan sokongan terhadap YB Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Presiden UMNO, untuk terus kekal menerajui sebagai Pengerusi Barisan Nasional dan sebulat suara menyokong beliau sebagai Presiden UMNO Malaysia.
5. Dimaklumkan juga bahawa Perhimpunan Agung UMNO untuk tahun 2022 ini ialah pada 21-24 Disember 2022.
DATUK SERI AHMAD BIN MASLAN
SETIAUSAHA AGUNG UMNO
24 November 2022
Keputusan MT UMNO malam tadi bukan saja selaras dengan titah Agong, malah dengan sendirinya menjadikan kerajaan perpaduan PH + BN sudah cukup majoriti untuk membentuk kerajaan.
Dalam hal ini, hampir pasti Anwar adalah bakal Perdana Menteri ke-10 bagi Malaysia.
Pada pagi ini, Majlis Raja-Raja Melayu akan bermesyuarat dan dipercayai menerima pembentukan kerajaan perpaduan itu.
Seterusnya sama ada petang ini atau pagi esok, Anwar dijangka akan mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri di Istana Negara.
Pembentukan kerajaan perpaduan yang ditunjangi PH dan BN ini adalah kerajaan yang mencakupi penyertaan semua kaum dan benar-benar menggambarkan wajah Malaysia yang sebenar.
Rakyat Malaysia dengan ini boleh berbangga dan melangkah gagah bersama kerajaan ini untuk membina masa depan secara bersama, kecuali kelompok ektremisme dan pelampau dengan kegemaran memainkan sentimen kaum dan agama yang terlampau yang akan terus meroyan tak tentu hala selepas ini.
Namun, bersama GPS dan GRS yang djangka turut menyertai kerajaan perpaduan selepas ini, wajah sebenar Malaysia akan lebih menyerlah dan mengukuh lagi.
Harus kita sedar, era mendatang adalah era kepelbagaian dan kemajmukan dengan prinsip menerima semua manusia tanpa mengira kaum dan agama sebagai rakan untuk membina negara, asal saja saling sedia berkongsi, memberi dan menerima.
Politik perkauman dan agama yang sempit dengan suka bermusuh dan menggelar yang buruk-buruk kepada mereka yang tidak sebulu mesti segera dicampakkan ke dalam tong sampah.
Memang ada cabaran besar di hadapan, tapi dengan sokongan majoriti kita semua, PH dan BN diyakini mampu mendepani segala cabaran untuk memastikan negara terus cemerlang lagi. – ShahbudinHusin 24/11/2022.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://wrlr.blogspot.com/2022/11/umno-terima-ph-tolak-pn-anwar-hampir.html