Tok Mat Persoal Guan Eng Pertaruh Ecrl Ketika Kempen
Faiz Zainudin
Lim Guan Eng menerusi pentas ceramah PH memberitahu Negeri Sembilan akan mendapat faedah sekiranya projek ECRL diteruskan.SEREMBAN: Calon Barisan Nasional, Mohamad Hasan menyifatkan kenyataan Menteri Kewangan Lim Guan Eng berhubung perubahan jajaran projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) yang bakal memberi faedah kepada Negeri Sembilan, melanggar Akta Pilihanraya 1954.
Katanya, beliau menyerahkan kepada pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menilai sejauh mana menteri itu melanggar peraturan pilihan raya ketika berkempen.
“Projek ini banyak diperkatakan dan menteri-menteri berkaitan juga telah buat kenyataan. Ada yang katakan dibatalkan ada pula kata masih dikaji, macam-macam.
“Tetapi menyatakan semasa PRK ini saya rasa menyalahi peraturan pilihan raya. Terpulang kepada pihak SPR untuk menilai sama ada ia merupakan satu kesalahan peraturan pilihan raya ataupun tidak,” katanya ketika sidang media di Bilik Gerakan Utama BN hari ini.
Guan Eng menerusi pentas ceramah Pakatan Harapan di Kuala Sawah, Rantau, malam tadi memberitahu, Negeri Sembilan akan turut mendapat faedah sekiranya projek ECRL diteruskan.
Tambahnya, jika ECRL berjalan dengan kos yang lebih rendah, jajarannya akan berubah dan ia bagus untuk Negeri Sembilan.
Sementara itu, Mohamad secara berjenaka ingin tahu sama ada jajaran ECRL itu akan melalui kawasan Rantau ataupun tidak.
“Sampai ke Rantau? kenapa tak kata sampai ke Kuala Sawah, ada satu Kampung Stesen, elok berhenti di situ,” katanya.
Mohamad berkata kos ECRL menelan perbelanjaan besar bukan disebabkan nilai projek itu tinggi, sebaliknya harga tanah yang mahal.
“Saya tahu sebenarnya bila buat projek kos yang besar, bukan kos projek tapi kos pengambilalihan tanah, jadi kos dari Gombak lalu Kuala Lumpur ke Port Klang, kos tanah di Lembah Klang tinggi,” katanya.
Mohamad berkata, beliau menyambut baik langkah kerajaan menstrukturkan semula kos ECRL asalkan ia memberi manfaat kepada rakyat.
“Kami akan sokong, mana yang baik, saya nak jaga kepentingan rakyat sebagai pembangkang, kami tidak mahu jadi macam pembangkang dulu buat apapun (kritik), kita kalau benda baik kita cakap baik, kita bukan pembangkang yang membangkang sahaja,” katanya.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://dialograkyat.blogspot.com/2019/04/tok-mat-persoal-guan-eng-pertaruh-ecrl.html