Tito Karnavian Beri Penjelasan Isu 30 Tan Bantuan Beras Uae Dipulangkan
Tito Karnavian Beri Penjelasan Isu 30 Tan Bantuan Beras UAE Dipulangkan
JAKARTA — Menteri Dalam Negeri Indonesia (Mendagri), Tito Karnavian hari ini tampil memberikan penjelasan berhubung dakwaan 30 tan bantuan beras dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) untuk mangsa banjir telah dipulangkan oleh Datuk Bandar Medan, Rico Waas, lapor Kompas.com.
Menurut Tito, bantuan beras sebanyak 30 tan itu bukan berasal daripada kerajaan UAE, sebaliknya disalurkan oleh The Red Crescent, iaitu organisasi kemanusiaan atau badan bukan kerajaan (NGO) dari UAE.
“Kami terus berhubung dengan Duta Besar UAE yang memaklumkan kepada kami malam tadi bahawa bantuan 30 tan beras itu bukan datang daripada kerajaan UAE, tetapi daripada Red Crescent.
“Jadi, ia adalah Bulan Sabit Merah (The Red Crescent) dari UAE, seperti Palang Merah Indonesia (PMI).
“Ia merupakan sebuah organisasi bukan kerajaan,” katanya Tito dalam satu sidang media di Halim Perdanakusuma, Jakarta Timur pada Jumaat.
Tambahnya, bantuan berkenaan sebenarnya telah dirancang untuk diserahkan kepada Datuk Bandar Medan.
Berlaku Salah Faham – Tito
Beliau berkata, berlaku salah faham berkaitan bantuan daripada organisasi bukan kerajaan milik UAE tersebut dengan pihak Datuk Bandar Medan.
“Yang difahami oleh Datuk Bandar adalah bantuan itu datang daripada kerajaan. Kerajaan dengan kerajaan (government to government), sedangkan mekanisme itu masih belum ada,” katanya.
Susulan itu, beliau turut menjelaskan bahawa bantuan beras itu kini telah diserahkan kepada Muhammadiyah Medical Center.
Beliau berkata, pihak Muhammadiyah akan mengagihkan bantuan beras tersebut kepada mangsa banjir di Medan.
“Oleh itu, beras ini diserahkan kepada Muhammadiyah Medical Center, berdasarkan persetujuan masyarakat. Dalam bencana ini, Muhammadiyah menubuhkan sebuah pusat kemanusiaan di Medan.
“Dan beras ini kini berada dalam simpanan Muhammadiyah. Muhammadiyah yang akan mengagihkannya kepada masyarakat,” katanya.
Sebelum ini, bantuan beras sebanyak 30 tan dari UAE untuk mangsa banjir di Kota Medan telah dipulangkan oleh Rico Waas.
Rico menjelaskan bahawa tindakan memulangkan bantuan itu dibuat kerana Kerajaan Pusat belum membuat keputusan untuk menerima bantuan daripada pihak luar atau asing.
Difahamkan, pemulangan bantuan itu dibuat susulan teguran daripada Kerajaan Pusat dan Gabenor Sumatera Utara.
Namun, Rico Waas tidak mengulas lanjut dan hanya memaklumkan bahawa bantuan tersebut tidak diterima.
Sumber: Kompas.com
BACA: Indonesia Hantar Pulang 30 Tan Bantuan Beras Daripada UAE
The post Tito Karnavian Beri Penjelasan Isu 30 Tan Bantuan Beras UAE Dipulangkan appeared first on Siakap Keli.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://siakapkeli.my/2025/12/19/tito-karnavian-beri-penjelasan-isu-30-tan-bantuan-beras-uae-dipulangkan/