Tips Menonton Youtube Di Televisyen Dengan Lebih Efisien
Ramai yang menonton YouTube hanya dengan menikmati video-video pendek atau dari vlogger-vlogger terkenal. Andainya anda tahu memaksimakan potensi sebenarnya, anda pasti akan jadikan YouTube sumber tontonan percuma yang utama.
Dengan YouTube, anda perlu tahu bagaimana hendak mencari, menyimpan, dan mencipta senarai main untuk tontonan di kemudian hari. Ada hasil carian memberikan video berkualiti definisi standard (SD), manakala kebanyakan yang lain adalah dalam definisi tinggi (HD).
Paling penting tiada sebarang bentuk langganan yang perlu anda bayar setiap bulan.
Pertama sekali, saya galakkan anda muat turun dan pasang terlebih dahulu aplikasi Smart YouTube TV.
Jika anda masih belum baca ulasan dan tahu informasi tentang aplikasi ini, anda boleh klik pada pautan artikel di sini: Smart YouTube TV: Aplikasi Klien YouTube Khusus Untuk Android TV Box Dan Smart TV. Pasangkan ia pada peranti Android Box anda, atau apa-apa peranti yang berhubung dengan televisyen.
Seterusnya anda pergi ke laman YouTube dan buatlah satu akaun baru, akaun yang dikhususkan untuk menonton YouTube di televisyen. Dengan cara ini, YouTube akan memilih, mengatur, dan mempersembahkan video yang sesuai dengan sejarah tontonan akaun khusus ini. Oleh itu, setiap ‘cadangan’ dari YouTube tidak akan bercampur dengan akaun-akaun yang lain.
Kemudian, anda jadikan telefon sebagai satu bentuk ‘alat kawalan jauh’ untuk televisyen.
Bagaimana caranya? Mudah sahaja. ‘Hubungkan’ telefon pintar kepada televisyen dengan menggunakan aplikasi Smart YouTube TV itu tadi. Apabila ia telah dihubungkan ke televisyen, maka adalah lebih mudah untuk anda melakukan navigasi. Cari video yang ingin ditonton melalui telefon, dan mainkan ia di televisyen. Menarik bukan?
Langkah seterusnya, silalah mula melanggan satu demi satu saluran (channel) yang anda berminat dengannya. Saya sarankan anda mula dari ‘tapaknya’ dulu: YouTube Channels.
*Langganlah channel saya ya, bukan apa. Nanti bila dah menjejak angka 1000, barulah boleh monetize video-video saya – Arya Asylum.
Sesudah itu, bolehlah anda lakukan carian pada YouTube dan kumpulkan kesemua senarai filem-filem penuh ke dalam satu senarai main. Baca bagaimana hendak cari apa yang anda mahu di YouTube pada artikel ini: Buat Carian Di YouTube Seperti Seorang Pro. Anda juga boleh lakukan carian senarai filem-filem penuh yang berada dalam YouTube di Reddit.
Apabila telah dapat apa yang anda mahu tonton, jika anda ingin mudah memasukkan ia ke dalam satu senarai main tanpa perlu menciptanya, gunakan sahaja fungsi ‘Watch Later‘. Apabila anda buka semula YouTube, anda boleh gunakan bahagian tersebut untuk mendapat satu senarai video yang boleh distrim terus menerus.
Ya, apabila dimanfaatkan sepenuhnya fungsi YouTube sehabis maksima, ia boleh jadi peneman yang hebat jika anda berada seharian di rumah dan inginkan sesuatu untuk ditonton.
Selesai sudah semua perkara perlu dilakukan untuk dapat menikmati YouTube di televisyen dengan lebih efisien. Saya percaya selain Netflix, iflix, Sling TV, dan yang seangkatan dengannya, YouTube boleh jadi salah satu aset berharga yang mana anda boleh gunakan dengan percuma sahaja.
Apa yang perlu ialah anda mesti fahami potensi sebenar YouTube supaya anda tidak terlalu berharap, dan dalam masa yang sama tidak pula terlalu memandang rendah padanya. Ia ada sesuatu yang kadangkala anda tidak terfikir akan ada di situ.
Nak tonton saluran seram sepenuhnya? Ada. Nak tonton vlogger motosikal? Ada. Nak tonton vlogger pengulas makanan profesional? Juga ada. Sekarang, mulakan ekspedisi YouTube anda dan nikmatilah ia pada skrin besar anda.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://omghackers.com/tips-menonton-youtube-di-televisyen-dengan-lebih-efisien/