Tiktok Perkukuh Usaha Pencegahan Penipuan Dalam Talian Di Malaysia Thinktwice
KUALA LUMPUR, MALAYSIA, 29 SEPTEMBER 2025 – TikTok Malaysia telah meluaskan inisiatif literasi digitalnya #ThinkTwice pada tahun ini dengan akses mudah ke atas sumber-sumber tambahan mengenai pencegahan penipuan (scam) melalui hab maklumat pelbagai bahasa dalam aplikasi, iklan carian, video pendek, kandungan pencipta, dan beberapa dialog industri yang telah dijadualkan.
Hab informasi dalam aplikasi tersebut kini disediakan dalam bahasa Inggeris, Melayu, Mandarin, dan Tamil. Inisiatif ini dirumus untuk menyebarkan kesedaran kepada jutaan pengguna di seluruh negara melalui pendekatan pelbagai sudut menerusi kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), dan agensi-agensi kerajaan utama yang lain.
Firdaus Fadzil, Ketua Dasar Awam, TikTok Malaysia, menyatakan: “Keselamatan dalam talian merupakan ialah tanggungjawab bersama. Ia memerlukan usaha kolaboratif dan berterusan mencakupi pelbagai kelompok masyarakat. Lebih-lebih lagi dalam kes penipuan, kerana modus operandi penjenayah siber yang kian berubah. Kuncinya adalah pendidikan dan kami berbesar hati untuk memperkasakan rakyat Malaysia dengan ilmu dan alatan untuk membanteras penipuan secara bersama-sama menerusi #ThinkTwice.”
Inisiatif literasi digital oleh TikTok menggalakkan rakyat Malaysia untuk Menilai, Mencegah, dan Melindungi. Menilai bermaksud mengambil masa untuk menilai dan mengelakkan kegiatan yang melanggar Garis Panduan Komuniti TikTok serta undang-undang tempatan. Mencegah bermaksud dengan proaktifnya menggunakan fungsi-fungsi keselamatan TikTok serta alatan daripada pihak berkuasa tempatan untuk mengesan tanda-tanda keraguan. Melindungi pula bertujuan untuk warga komuniti saling melindungi satu sama lain dengan melaporkan kegiatan yang menyalahi peraturan.
Dato’ Rusdi Mohd Isa, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Polis Diraja Malaysia (PDRM), berkongsi: “Kebanyakan kes penipuan, sebenarnya, boleh dicegah. Antara yang paling lazim di Malaysia adalah penipuan pelaburan, pancingan data (phishing), penipuan panggilan, penipuan pekerjaan, penipuan cinta, dan penipuan pinjaman. Terdapat alatan yang mudah diakses untuk membantu orang ramai mengesan ancaman sedemikian, termasuk portal Semak Mule PDRM. Usaha memperkukuh ekosistem pencegahan penipuan negara memerlukan penglibatan bersepadu daripada sektor awam dan swasta. Sehubungan dengan itu, sokongan TikTok dalam meningkatkan kesedaran awam adalah amat tepat pada masanya dan sangat kami hargai.”
Suruhanjaya Komunkasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menekankan: “Kesedaran dan pendidikan kekal sebagai benteng pertahanan utama terhadap kegiatan penipuan. Walaupun alatan maju dan dasar yang kukuh memainkan peranan yang penting, keupayaan orang ramai untuk mengesan taktik penipuan tetap menentukan daya tahan secara kolektif. Kami berbesar hati untuk bekerjasama dengan TikTok bagi memupuk sebuah komuniti yang lebih termaklum dan peka. Memalui kerjasama ini, kami menyasarkan untuk menguatkan jangkauan Sebenarnya.my, portal pengesahan rasmi SKMM, dan AIFA, pembantu penyemakan fakta berkuasa AI kami yang membantu pengguna untuk mengesahkan maklumat dengan pantas dan yakin.
Warga Malaysia dapat mengakses hab maklumat tersebut secara mudah dengan mencari #FikirDulu atau kata kunci relevan yang lain di aplikasi TikTok. Ia menampilkan empat tonggak informasi, khususnya tip pencegahan penipuan menggunakan alatan yang disediakan kepada umum oleh agensi-agensi kerajaan utama, termasuk Garis Panduan Komuniti TikTok dan talian bantuan daripada pihak berkuasa tempatan.
Untuk maklumat lanjut mengenai inisiatif literasi digital #FikirDulu oleh TikTok, sila layari hab maklumat dalam aplikasi tersebut dan akaun rasmi TikTok Malaysia.
The post TikTok Perkukuh Usaha Pencegahan Penipuan Dalam Talian di Malaysia #ThinkTwice appeared first on Siakap Keli.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://siakapkeli.my/2025/09/29/tiktok-perkukuh-usaha-pencegahan-penipuan-dalam-talian-di-malaysia-thinktwice/