Tiada Tol Percuma Dan Diskaun 50
Pelawak Douglas Lim memuat naik satu video TikTok pada Rabu memohon maaf kepada dua sahabatnya di luar Kuala Lumpur, Tiong Wai Yen dan Marcus Foo, kerana tidak dapat mengunjungi mereka sempena Tahun Baharu Cina kurang seminggu lagi. Alasannya kerana kerajaan menetapkan tiada tol percuma kali ini.
Menganggap keputusan itu pelik – tol percuma diberi mulai sambutan Aidilfitri sejak 2018 sebelum disusuli Tahun Baharu Cina, Deepavali dan Krismas pada 2023 – Douglas meramalkan kerajaan akan membuat pusingan U dengan menarik balik keputusan tiada tol percuma itu sebelum hujung minggu ini.
Usikannya itu diselangi dengan sindiran bahawa tiadanya tol percuma bukan saja memberi implikasi kewangan kepada pengguna, malah turut membeli implikasi politik kepada kerajaan yang harus sedar rakyat lebih sensitif apabila membabitkan musim perayaan masing-masing.
Andaiannya itu mungkin berdasarkan kerajaan memberi tol percuma sempena Krismas tahun lalu dengan implikasi kewangan sebanyak RM38 juta yang perlu dibayar kepada syarikat konsesi tol di samping akan menyusulnya Hari Raya Aidilfitri pada 31 Mac nanti apabila tol percuma sekali lagi akan diharapkan.
Menyerlahkan sisi berbezanya dengan tahap kepekaan tinggi terhadap keadaan semasa, apa yang mungkin ditimbulkan Douglas – di sebalik kegemarannya menggeletek hati ramai — ialah kerajaan tidak harus mendiskriminasi kemudahan pengguna untuk Tahun Baharu Cina dengan sambutan Krismas hanya sebulan lalu dan Aidilfitri kira-kira dua bulan lagi.
Sebagai rekod, kerajaan berbelanja lebih RM350 juta bawah Inisiatif Pengecualian Tol Musim Perayaan yang diperkenalkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pimpinan Dr Mahathir Mohamad pada 2018.
Namun, pada tahun itu dan 2022, inisiatif tersebut terhad kepada sambutan Aidilfitri sebelum kerajaan perpaduan memperluaskannya bagi sambutan Tahun Baharu Cina, Deepavali dan Krismas pada 2023 serta 2024.
Pengecualian itu bagaimanapun tidak dilaksanakan pada 2020 dan 2021 susulan sekatan perjalanan merentas daerah serta negeri bagi mengurangkan penularan Covid-19.
Berbalik kepada ramalannya bahawa kerajaan akan membuat pusingan U berkait tiada tol percuma, Douglas menambah: “Kenapa saya cakap macam ni sebab ini adalah satu teknik psikologi dan kita akan guna teknik ini kebanyakannya untuk buat budak-budak gembira.
“Budak-budak kalau datang dan you kata nah ambil gula-gula, dia pun akan cakap terima kasih tapi sebenarnya tak gembira.
“Tapi kalau you cakap memang tak ada gula-gula, budak itu pun akan sedih tak ada gula-gula, dah la kehidupan sangat pahit. Kemudian tiba-tiba anda kata ada gula-gula. Budak itu pun akan sangat teruja… andalah yang terbaik, saya sayangkan anda. Jadi, anda lihat psikologinya.
Namun, hampir tepat tapi tidak terlalu tepat seperti diramalkannya, Menteri Kerja Raya Alexander Nanta Linggi mengumumkan pada Jumaat bahawa Jemaah Menteri bersetuju memberikan potongan tol 50% sempena Tahun Baharu Cina bermula 12.01 tengah malam 27 Jan dan berakhir 11.59 malam 28 Jan bagi kenderaan persendirian kelas satu.
Ia mungkin selari dengan ramalan Douglas bahawa budak-budak yang dimaklumkan tidak akan diberi gula-gula langsung, akan teruja sekalipun hanya mendapat separuh jumlah gula-gula yang mereka harapkan.
“Implikasi kewangan ditanggung kerajaan bagi membayar balik pampasan kepada syarikat konsesi tol dianggarkan berjumlah RM20.08 juta. (Potongan 50%) ini agenda kerajaan dalam menjaga perpaduan dan kesejahteraan rakyat didukung kedudukan kewangan yang kukuh hasil daripada program rasionalisasi subsidi serta peningkatan pelaburan dan perdagangan,” kata Nanta.
Kerajaan sebelum ini mengumumkan pemberhentian pengecualian tol pada musim perayaan yang berakhir pada Krismas Disember lalu berdasarkan keputusan mesyuarat Jemaah Menteri, 20 Dis lalu – selepas kerajaan membelanjakan RM356.18 juta sebagai pampasan pelaksanaan tol percuma musim perayaan sejak dua tahun lalu.
Sambil menjelaskan tol percuma sempena cuti musim perayaan tidak membantu menyelesaikan masalah kesesakan di lebuh raya, Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi pada 21 Jan lalu berkata pengecualian tol bagi setiap perayaan menyebabkan kerajaan terpaksa menanggung pampasan kepada pemegang syarikat konsesi melebihi RM35 juta setahun.
“Sebagai pengguna kita mesti menjadualkan kepulangan kita ke destinasi tetapi yang penting gelagat kita menggunakan jalan raya mesti berubah. Kita mesti menukar (tanggapan) bahawa diskaun atau diberi tol percuma sebagai hadiah. Apabila tiada hadiah kita mesti menukar cara kita memandu untuk sampai ke destinasi,” katanya.
Nanta menjelaskan dua hari selepas itu bahawa kerajaan dijangka dapat menjimatkan RM190 juta setiap tahun selepas menghentikan pengecualian tol pada musim perayaan di samping akan membuka jalan kepada pendekatan lebih bersasar untuk menyalurkan subsidi kepada golongan berpendapatan rendah.
“Kita sedang memperhalusi dasar untuk memastikan bantuan disalurkan kepada mereka yang benar-benar memerlukannya, khususnya kumpulan B40,” katanya.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim pula menghuraikan bahawa kerajaan sedang memperincikan pendekatan lebih bersasar untuk pemberian tol percuma pada musim perayaan — sejajar dengan usaha penyelarasan subsidi yang menumpukan bantuan kepada golongan B40 dan M40 tanpa melibatkan semua pihak secara menyeluruh.
“Ada pihak yang mempersoalkan mengapa tol percuma diberikan kepada semua, termasuk kereta mewah seperti Rolls Royce, Mercedes dan Maserati. Oleh itu, kita perlu teliti supaya rakyat terkesan di peringkat bawah itu diberikan pertimbangan lain,” katanya.
Douglas mengungkapkan: “Tiada tol percuma untuk Tahun Baharu Cina tidak jejaskan saya. Keluarga saya kebanyakannya kat sini saja. Paling jauh pun saya pergi Cheras, Bangsar, Kepong.
“Agak mengejutkan tak ada tol percuma sebab perayaan-perayaan sebelum ini semua tol percuma tapi Tahun Baharu Cina kena bayar tol.
“Jadi itu ramalan sayalah. Bila sampai masa Tahun Baharu Cina, kita akan dapat tol percuma. Tapi kalau saya salah, sorrylah, kita pergi ‘outstation’ semua kena bayar tol.
“Tapi kalau ramalan saya ini (kerajaan akan buat pusingan U) tepat, dengar betul-betul (tikam nombor) 6055 untuk tikaman berikut. Kita lihat bagaimanalah nanti,” kata Douglas menghakhiri videonya.
Tapi seperti budak-budak yang dikatakannya gembira mendapat sedikit gula-gula selepas dimaklumkan tidak akan diberikannya, Douglas juga patut teruja. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://malaysiansmustknowthetruth.blogspot.com/2025/01/tiada-tol-percuma-dan-diskaun-50.html