Terima Kasih Dr Noor Hisham Petugas Kkm Tun M Titip Ucapan Buat Frontliner Covid 19
KUALA LUMPUR, 31 Mac – Selepas menzahirkan penghargaan beliau terhadap ‘wira berbaju putih dan biru’ dalam menghadapi wabak COVID-19, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah pula menerima pengiktirafan atas peranannya mengepalai usaha itu.
Penghargaan itu dizahirkan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang menyifatkan penghormatan disampaikan beliau itu juga mewakili masyarakat umum dan isteri tercinta, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali.
Menerusi video berdurasi dua minit 20 saat disiarkan di laman Twitter beliau bersempena Hari Doktor Sedunia itu, Dr Mahathir yang kelihatan duduk di samping Dr Siti Hasmah berkata tugas mendepani wabak COVID-19 amatlah berbahaya dan berat, namun kesanggupan Dr Noor Hisham menerajui usaha itu benar-benar dihargai.
“Sekarang ini kita diserang satu wabak dahsyat iaitu COVID-19, wabak ini tidak pernah menyerang kita. Dahulu, wabak-wabak yang lain tidaklah meluas seperti COVID-19 ini.
Saya ingin mengucapkan terima kasih terutamanya kepada Ketua Pengarah Kesihatan iaitu Dr Noor Hisham yang ternampak hampir tidak berhenti-henti menjalankan tugas siang dan malam untuk menentukan segala tindakan yang perlu diambil dapat dilaksanakan oleh pegawai-pegawainya,” katanya.
Dr Mahathir turut memanjangkan penghargaan itu kepada semua petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Terdahulu menerusi hantaran di laman Facebook, Dr Noor Hisham berkata setiap petugas kesihatan di sektor awam mahupun sektor swasta telah menunjukkan iltizam yang tinggi dan berusaha sebaik mungkin dalam usaha menangani COVID-19.
Menghargai segala pengorbanan dan penat lelah mereka, Dr Noor Hisham secara peribadi menzahirkan rasa bangga dan menyifatkan dedikasi serta keikhlasan yang ditunjukkan ‘wira berbaju putih dan biru’ dalam menghadapi pandemik luar biasa yang melanda dunia sejak awal tahun sememangnya amat menakjubkan.
Dr Noor Hisham, yang juga pakar bedah, diberi gelaran ‘wira negara’ oleh warga Malaysia di media sosial kerana komitmennya dalam menangani krisis wabak COVID-19, namun beliau berkata gelaran itu tidak penting bagi dirinya, sebaliknya keutamaan ialah memastikan perkhidmatan KKM yang terbaik untuk rakyat dan negara.
Tugas Doktor amat berat & merbahaya tetapi kesanggupan mereka amat dihargai apatah lagi ketika mendepani wabak COVID-19. Terima kasih KPK Datuk Dr @DGHisham & @KKMPutrajaya atas kerja kuat mereka dalam mengatasi wabak ini.
Selamat Hari Doktor Sedunia.https://t.co/VpJmVLFf0u pic.twitter.com/poBuzdA1hH
— Dr Mahathir Mohamad (@chedetofficial) March 31, 2020
Sumber: Bernama
The post (Video) “Terima Kasih Dr Noor Hisham & Petugas KKM,” Tun M Titip Ucapan Buat ‘Frontliner’ Covid-19 appeared first on Siakap Keli.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://siakapkeli.my/2020/04/01/video-terima-kasih-dr-noor-hisham-petugas-kkm-tun-m-titip-ucapan-buat-frontliner-covid-19/