Telaga Tujuh Penuh Misteri
Kewujudan telaga tujuh di Kampung Bukit Teriak kini masih misteri dan dikatakan dahulu telaga kecil di dalamnya mampu mengeluarkan air tujuh warna. Gambar kecil : Milah.
POKOK SENA - Kewujudannya penuh misteri tetapi telaga itu dikatakan tidak pernah kering walaupun pada musim kemarau.
Telaga tujuh yang terletak di Kampung Bukit Teriak, Mukim Telaga Mas, dekat sini sering dikunjungi orang ramai.
Penduduk, Milah Mat, 70, berkata, ia telah wujud sebelum dia dan keluarganya berpindah ke situ sejak 50 tahun lalu.
Bagaimanapun, menurut cerita penduduk awal di situ, ia adalah milik hantu pari yang turun dari Bukit Teriak berdekatan dengan kampung itu.
Katanya, telaga itu tidak pernah kering tetapi penduduk di situ tidak pernah menggunakannya kerana bimbang jika sesuatu akan berlaku. Telaga itu dikatakan sedalam tiga meter dan terdapat batu hampar di bawahnya.
“Bagaimanapun, keunikan telaga ini ialah ia mempunyai tujuh telaga kecil di tepi dalam telaga itu dan kedalamannya tidak siapa dapat mengetahuinya.
"Pernah penduduk di sini turun dan melihat kedalaman telaga tujuh itu, tetapi tidak berani memasukinya kerana terlalu gelap dan dalam,” katanya.
Milah berkata, pernah pada zaman 70-an cucunya turun untuk mencuci telaga itu yang dipenuhi dengan lumpur dan selepas membersihkannya, didapati tujuh telaga kecil di dalamnya dan mengeluarkan air tujuh warna.
“Pada masa itu penduduk sendiri melihat misteri air telaga itu dan ada dalam kalangan mereka turut mengambilnya untuk disimpan sebagai kenangan. Bagaimanapun hari ini tiada siapa berani melakukannya lagi,” katanya.
Menurutnya, kedudukannya yang terletak di tanah tinggi dan terdapat beberapa anak tangga hingga ke arah Bukit Teriak juga turut menjadi perhatian penduduk di kampung itu dan kini masih menjadi misteri.
“Walaupun telaga tujuh itu masih lagi misteri kewujudannya tetapi kami sekeluarga sentiasa memantau supaya tidak ada sebarang kejadian khurafat dilakukan di telaga itu. Kami juga tidak mahu pihak tidak bertanggungjawab menjadi telaga itu sebagai tempat pemujaan,” katanya.
Sumber: Sinar Harian
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://danau-berita-blog.blogspot.com/2020/02/telaga-tujuh-penuh-misteri.html