Tazkirah Jumaat Bahaya Takfiri
Tazkirah Jumaat
BAHAYA TAKFIRI
Usta Zuliadin Abdullah
Saya tidak mengenali secara peribadi oknum atau ustaz ini. Saya mengikuti petikan ucapan atau tazkirahnya menerusi klik-klik videonya. Cara penyampaian jelas, dan dia ada sedikit keberanian dan kejujuran untuk menyatakan kebenaran. Berani kerana saya yakin dia diserang oleh pihak satu lagi kerana penjelasannya "against" pihak itu.
Saya difahamkan dia ini bekas imam atau pengajar di Darul Quran di Russila Terengganu. Ertinya orang yang rapat dan mesra dengan Tuan Guru Abdul Hadi Awang. Rusila adalah negara atau territory ampuh Abdul Hadi.
Beliau banyak memberi pencerahan atau tazkirah berhubung salah anggap dalam politik. Tepatnya berhubung unsur takfiri yang berlaku sekarang ini. Mungkin waktu ini beliau tidak lagi sehaluan dengan Ayah Chek atas sebab-sebab penolakan unsur takfiri itu, atau beberapa fatwa atau fakeh politik Abdul Hadi yang bercanggah dengan prinsip Islam difahaminya.
Penjelasannya sangat jelas dan nyata. Apa dimaksudkan takfiri itu ialah, ada golongan yang mengkafirkan atau menolak usaha Islam pihak lain. Lebih bahaya apabila golongan itu menuduh pihak tidak sehaluan dan sewarna panji politik dengannya sebagai kafir, menentang Islam dan melawan hukum Allah dan sebagainya.
Ustaz ini berpendapat cara pihak yang mengkafirkan pihak lain itu salah dan boleh menimbulkan perpecahan. Secara berterus terang beliau memperkatakan tentang sikap politik PAS yang menyerang UMNO dan pihak tidak sekomponen dengannya sangat merbahaya.
Katanya suatu masa dahulu pihak itu (PAS) juga yang mengeluarkan faktwa, sembelihan daripada orang orang UMNO tidak sah, akad nikah oleh orang UMNO juga tidak sah, kerana mereka menganggap taraf dan status orang UMNO itu sama dengan taraf orang kafir. (Secara peribadi masalah ini saya hadapi dan rasai sendiri, dimana perkahwinan oleh jurunikah menjadi ahli parti UMNO ditolak oleh PAS).
Lebih parah lagi, jelas ustaz ini, ada sebilangan kecil pemimpin PAS beranggapan sesiapa tidak bersama jemaah mereka, terkeluar daripada Islam. Parti itu mendabik dada hanya PAS yang benar, yang Islam manakala pihak lain adalah kafir. Hatta kepada orang-orang Amanah yang dahulu adalah anggota dan pemimpin PAS dianggap sebagai kafir yang perlu diperangi setelah tidak bersama PAS.
Sikap dan pemahaman demikian sangat bahaya kerana ia menimbulkan perpecahan kemudian boleh melemahkan Islam. Agama tidak jadi paksi kebersatuan orang Melayu lagi apabila agama dieksploitasi untuk kepentingan politik.
Ustaz ini juga menafikan penjelasan atau tazkirah siasah yang beliau berikan bukan bermaksud untuk melawan presiden parti PAS, Abdul Hadi Awang, tetapi demi menceritakan yang benar.Syabas diucapkan atas keberaniannya menghadapi segala risiko di atas keberanian ini. Kebenaran itu bukan mudah untuk dicapai, tetapi yakin dan percaya ia tetap akan hadir.
Beliau menyebut dahulu sudah berkembang fahaman salah (takfiri) sehingga menuduhkan golongan tidak bersama harakah mereka sebagai kafir. Sehingga sembelihan, pernikahan dan jika mengimani sembahyang ia dianggap tidak sah. Walaupun kejadian itu kini sudah tiada, namun elemen takfiri ini wujud dalam bentuk berbeza, namun natijah tetap sama dibuat untuk kepentingan politik. Ia kelihatan lembut tetapi maksudnya tetap keras.
Dalam sebuah klik videonya, beliau memberi contoh, pihak tidak bersama PAS dianggap menentang Allah, menentang hukum Allah atau tidak Islam. Perkara ini disampaikan dalam ceramah dan juga khutbah Jumaat. Ia masih serius.
Beliau sebut contoh ada dua orang ketua Pemuda PAS kawasan mengeluarkan kata-kata tidak tergamak hendak disebut disini kepada mereka tidak menyokong PAS. Apa yang menjerap ke dalam jiwa dan kalbu anak-anak muda PAS itu adalah hasil doktrininasi (takfiri) yang boleh memusnahkan perpaduan.
Justeru saya bersetuju dengan penerangan Ustaz ini dan semoga dipeluaskan menerusi media rasmi kerajaan. Lantaran itu adalah sangat wajar dan tepat kalau aktiviti untuk menangkis faham ini dibendung sebelum keadaan jadi lebih buruk. Perlu bertindak awal dengan tegas bagi menjamin tragedi seperti Memali (1985) yang meragut 14 nyawa berulang. Apa yang berlaku di Memali kira-kira 39 tahun lalu perlu dielak jangan sampai berulang kali kedua.
Dan pihak PAS sendiri yang bertanggungjawab menetaskan fahaman songsang dan kebencian itu perlu sedar. Mereka perlu mengambil pendekatan atau modal politik lebih harmoni dan rasional serta professional. Praktikan politik sejahtra yang menjadi moto perjuangan parti itu. Pemimpin utama PAS selepas ketiadaan Hadi dan Tuituman diharap boleh perbetulkan keadaan ini.
Yakin dan percayalah PAS tetap akan mendapat sokongan Melayu dan umat Islam sekiranya mereka bersikap professional, waras dan teguh memperjuangkan Islam tanpa mencampuri perkara mungkar, kurafat serta bertindak secara ekstrime. Trims.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://wrlr.blogspot.com/2024/06/tazkirah-jumaat-bahaya-takfiri.html