Sultan Pahang Dan Tunku Azizah Hadiri Graduasi Tengku Jihan Di University For The Creative Arts Di United Kingdom

KUANTAN: Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat ke University for the Creative Arts (UCA) di United Kingdom untuk meraikan hari graduasi paduka anakanda, Yang Amat Mulia Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Athiyatullah pada 11 Julai 2025 yang lalu,
YAM Tengku Puteri Jihan mencatat kejayaan cemerlang dengan memperoleh Ijazah Sarjana Muda Seni (Kepujian Kelas Pertama) dalam bidang Tekstil, menyerlahkan kecemerlangan akademik dan bakatnya.

Turut berangkat mengiringi baginda berdua ialah Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, Yang Amat Mulia Tengku Panglima Perang Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah, dan Yang Amat Mulia Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah.
Kehadiran keluarga diraja ini menambah kemeriahan majlis dan menzahirkan sokongan padu terhadap kejayaan YAM Tengku Puteri Jihan.
Pada majlis yang sama, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu, Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah turut berangkat meraikan kejayaan anakanda mereka, Yang Amat Mulia Tengku Puteri Utama Raja Tengku Nadhirah Zahrah, yang turut memperoleh ijazah sarjana dalam bidang tekstil.


Turut hadir ialah Duli Yang Teramat Mulia Yang di-Pertuan Muda Terengganu Tengku Muhammad Ismail, Yang Amat Mulia Tengku Sri Setia Mahkota Raja Tengku Muhammad Mua’az, serta Yang Amat Mulia Tengku Puteri Daulath Raja Tengku Fatimatuz Zahra’.

Majlis graduasi ini bukan sahaja menjadi lambang kejayaan akademik, tetapi juga mempamerkan ikatan kekeluargaan dan sokongan di kalangan keluarga diraja, menjadikan ia satu peristiwa yang penuh makna dan kebanggaan. #PahangDaily
http://www.pahangdaily.blogspot.com
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://pahangdaily.blogspot.com/2025/07/sultan-pahang-dan-tunku-azizah-hadiri.html