Sudahlah Elaun Dipotong Pemberian Pula Lambat
Sudahlah elaun sara hidup dipotong daripada RM300 kepada RM200, penyalurannya juga tidak menentu dan lambat.
Itu luahan para nelayan dari Kuala Sungai Baru di sini yang berharap agar kerajaan dapat menyalurkan bantuan tersebut seperti dahulu iaitu pada setiap pertengahan bulan.
Mereka yang berhadapan dengan masalah pencerobohan nelayan asing sehingga menjejaskan pendapatan, dalam masa sama turut meminta agar elaun sara hidup nelayan kembali diberikan sebanyak RM300.
Nelayan, Ibrahim Musa, 60, berkata, semasa kerajaan lama, mereka menerima elaun sara hidup sebanyak RM300 tetapi kini sudah dipotong kepada RM200.
Itu pun katanya, pemberian tersebut diberikan tidak menentu iaitu kadang-kala sehingga akhir, bukannya pada pertengahan bulan secara konsisten seperti sebelum ini.
“Bantuan ini sekurang-kurangnya dapatlah membantu meringankan beban kami di saat pendapatan yang tidak menentu,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan rintihan nelayan Kuala Sungai Baru di sini yang kadang-kala pergi ke laut pulang dengan tangan kosong selain pendapatan bulanan pula hanya cukup-cukup makan antara RM500 sehingga RM600.
Situasi itu ditempuh oleh kira-kira 200 orang nelayan di Sungai Baru pada masa ini, apabila kawasan penangkapan ikan di Zon A iaitu kira-kira 3.6 kilometer dari pantai berkenaan diceroboh oleh nelayan bot siput retak seribu.
Seorang lagi nelayan, Johan Hassan, 61, pula berharap kerajaan dapat mempertimbangkan untuk meningkatkan jumlah pemberian elaun sara hidup kepada RM300 seperti mana sebelum ini.
“Duit itu digunakan bukan untuk apa, hanya membeli barangan keperluan harian. Dalam sebulan, bukan setiap hari kami dapat turun ke laut dan pendapatan juga tidak menentu,” katanya.
Abu Bakar Saad, 63, pula berkata, kehidupan nelayan kini susah dan berharap agar kerajaan dapat membela kebajikan golongan berkenaan termasuk menyelesaikan masalah pencerobohan nelayan asing. -UTUSAN ONLINE
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://mykmu.net/2019/07/10/sudahlah-elaun-dipotong-pemberian-pula-lambat/