Sprm Terima Laporan Terhadap Datuk Bandar Kuala Lumpur
Kuala Lumpur – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan menerima satu laporan berhubung salah guna kuasa terhadap Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Noor Hisyam Ahmad Dahlan.
Laporan itu dikatakan berhubung kelulusan kontrak bernilai RM1.1 juta terhadap syarikat Jitu Harga Sdn Bhd.
Perkara itu disahkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Bakri, ketika dihubungi SuaraTV di Kuala Lumpur, hari ini.
“Memang tadi ada laporan dibuat kepada SPRM.
“Aduan itu akan dikaji dahulu dan siasatan akan dijalankan sekiranya terdapat unsur rasuah atau salahguna kuasa di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009,” katanya ringkas sebentar tadi.
Seorang pengguna media sosial sebelum ini memuatnaik dokumen yang memaparkan keputusan mesyuarat Lembaga Perolehan Tender Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Ekoran pendedahan tersebut aktivis politik, Mohd Rafi Awang Kechik sebentar tadi mengesahkan telah membuat laporan tersebut di ibu pejabat SPRM, Putrajaya.
“Hari ini saya telah membuat satu laporan SPRM tentang penyelewangan tender yang diluluskan secara curang atau boleh disifatkan sebagai melacurkan kuasa.
“Bagaimana sebuah syarikat Jitu Harta Sdn Bhd boleh disenerai pendekkan untuk tender landskap di Tugu Negara, sedangkan pada peringkat awal ia tidak layak dan berada di tangga ke-48.
“Bagi membersihkan nama Datuk Bandar dan tidak dilihat mempunyai kepentingan peribadi, menyalahgunakan kuasa satu siasatan perlu dijalankan,” katanya.
Mesyuarat yang di pengerusikan oleh Noor Hisyam sebelum ini memutuskan syarikat tersebut sebagai ‘tidak layak’, untuk di pertimbangkan.
Namun mesyuarat Lembaga Perolehan pada 9 Mac yang lalu, memutuskan syarikat tersebut layak untuk dipertimbangkan dan berada pada tangga kedua.
Tender tersebut dikatakan berkaitan kerja penyelenggaraan landskap di Tugu Negara. – SuaraTV
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://azmy-kelanajaya.blogspot.com/2020/05/sprm-terima-laporan-terhadap-datuk.html