Sisa Kimia Selangor Patut Bertindak Bukan Kaitkan Prk Semenyih
Kasthuri Jeevendran                                                                                                                                                                                              

Pengerusi  Gagasan Prihatin Semenyih (GPS), Azman Ahmad (tengah) diringi  Setiausaha Gagasan Prihatin Semenyih (GPS), Hamdan Abu (kiri), membuat  laporan polis berkaitan pembuangan bahan kimia berat di Balai Polis  Semenyih, Semenyih, Selangor. foto MUHAMMAD ZULHAIRI 
SEMENYIH – Gagasan Prihatin Semenyih (GPS) tidak mahu   kerajaan Selangor memberikan alasan remeh dalam kes pembuangan sisa-sisa  kimia berbahaya di Kampung Sungai Lalang.
 Pimpinan kerajaan negeri sepatutnya segera mencari dalang sebenar  kejadian yang berlaku di luar sebuah kilang di kawasan berkenaan bukan  mempolitikannya.
 Ini kerana ada laporan media yang menyebut exco kerajaan negeri  mendakwa kejadian itu mungkin ada kaitan dengan Pilihan Raya Kecil (PRK)  Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.
 Pengerusi GPS, Azman Ahmad berkata, sisa-sisa kimia tersebut dianggap berbahaya kerana mempunyai kandungan toksik ethylene chloride yang mengancam kesihatan penduduk termasuk kanser kulit.
 Jelas Azman, pihaknya cukup terkilan kerana kerajaan negeri  menganggapnya apa yang berlaku secara sambil lewa sedangkan kesannya  bukan sahaja kepada alam sekitar tetapi juga kepada manusia. 

Kelihatan  beberapa orang pegawai bomba semasa tinjauan semasa di kawasan  pembuangan bahan kimia berat di Kampung Sungai Lalang, Semenyih,  Selangor. foto MUHAMMAD ZULHAIRI“Bahan kimia jenis ethylene chloride sebenarnya sangat  merbahaya kepada penduduk sekitar kerana mereka terdedah kepada risiko  kesihatan serius termasuk kanser kulit.
 “Tidak cukup dengan itu, tidak kurang daripada 100 meter hingga 500 meter lagi sudah boleh hidu bau busuk kuat.
 “Kerajaan negeri janganlah beri alasan sebaliknya cari siapa dalang  melakukan perbuatan ini, kita tidak pasti adakah ia perbuatan khianat  atau tidak? Itu terpulang kepada pihak berkuasa untuk siasat.
 “Yang kita hendak, bukan sahaja segera melakukan kerja-kerja  pembersihan serta tidak berhenti setakat itu sahaja sebaliknya siasat  siapa dalang, kerja siapa yang letakan tong-tong bahan kimia sehingga  bocor. Ini sangat penting.
 “Ada juga seorang exco kerajaan negeri beri pendapat sambil lewa  dengan mengaitkan kejadian ini dengan PRK Semenyih, apakah jawapan  seperti ini yang kita mahu dengar?” soalnya.
 Azman menegaskan, exco berkenaan tergamak mengeluarkan kenyataan itu  untuk mengalih perhatian orang ramai sedangkan ia satu perbuatan serius  yang boleh membahayakan nyawa manusia.
 “Tuan punya kilang berhampiran telah membuat laporan polis mendakwa  ada pihak tidak bertanggungjawab telah buang tong-tong tersebut.
 “Kita tidak pasti adakah ia khianat atau tidak tapi yang pasti ini  adalah perbuatan tidak bertanggungjawab. Menurut exco pula, ini ada  unsur sabotaj,” katanya.

Gambar  tempat kejadian tumpahan bahan kimia di Kampung Sungai Lalang,  Semenyih, Selangor. foto MUHAMMAD ZULHAIRI
  Beliau berkata demikian selepas membuat laporan polis hari ini  berhubung tumpahan bahan kimia yang berlaku di luar kawasan sebuah  kilang di Sungai Lalang pada 11 Februari lalu.
 Skuad Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor yang membuat pemantauan  udara dan darat di sekitar kawasan tumpahan bahan kimia itu mendapati  daripada lebih 150 buah tong telah dianggarkan 10 daripadanya mengalami  kebocoran.
 Setakat ini, belum ada sebarang maklumat pihak mana yang  bertanggungjawab meletakkan tong-tong tersebut dan siasatan masih lagi  berjalan.
 Jelas Azman,  tindakan membuang bahan kimia secara haram  dikhuatiri  memberi kesan lebih buruk sekiranya ia mengalir ke Sungai Semenyih –  salah sumber air utama penduduk Lembah Kelang dan Selangor.
 “Jika berlaku pasti loji air ditutup dan membebankan penduduk. Kita  buat laporan sebenarnya untuk semua agensi penguat kuasa proaktif  menangani isu ini dan pelakunya perlu segera di bawa ke muka pengadilan.
 “GPS juga khuatir seandainya pembuangan bahan kimia secara haram  seperti ini bakal mengancam nyawa dan akan berlakunya dengan kerap kali  selepas ini jika tidak ada sebarang tindakan serius diambil,” katanya.
 Menurut beliau, agensi termasuk Polis Diraja Malaysia, Majlis  Perbandaran Kajang, Jabatan Alam Sekitar, Lembaga Urus Air Selangor,  Pejabat Daerah Tanah dan Galian serta agensi berkaitan  perlu  bekerjasama menanganinya.
 Tinjauan Malaysia Gazette mendapati kerja-kerja pembersihan serta  siasatan oleh agensi-agensi terbabit termasuk pasukan bomba dan Jabatan  Alam Sekitar sedang giat dijalankan. –MalaysiaGazette
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2019/02/sisa-kimia-selangor-patut-bertindak.html