Semua Mt Umno Letak Jawatan Pun Ada Orang Lain Boleh Pimpin
MALAYSIAKINI       
Bekas  ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan Datuk Razlan Rafii hari ini  menyatakan kekesalan berhubung pertengkaran dalaman Umno yang menurutnya  mengundang kerugian besar kepada parti itu sendiri.
Razlan  berkata demikian sebagai mengulas pertelingkahan melibatkan Anggota  Majlis Tertinggi Umno Datuk Lokman Noor Adam dan Ketua Pemuda Umno,  Datuk Asyraf Wajdi Dusuki.
Mengulas pertelingkahan itu, Razlan  berkata Pemuda Umno "tidak salah" untuk memberi pandangan kerana setiap  anggota berhak menyatakan pendirian.
"Apa yang seharusnya dibuat  oleh pucuk pimpinan parti adalah bawa berbincang. Selepas ketetapan  dibuat, panggil mesyuarat Majlis Tertinggi, ambil konsensus, dan  berfikirlah secara positif, apa sahaja keputusan yang dicapai selepas  itu adalah keputusan mesyuarat, dan ini adalah proses yang perlu  dihadapi.
"Berjiwa besarlah untuk membersihkan parti kita, bacalah  komen-komen majoriti netizen terhadap Umno, berubahlah dengan lebih  berani, kalau perlu mengambil satu langkah ke belakang, ambillah. Ini  untuk parti.
"Parti ada ramai pemimpin, sesiapa boleh memimpin, semua anggota Majlis Tertinggi letak jawatan pun masih ada 3 juta ahli. Nak dengar, dengar, tak nak, buang sahaja," katanya.
Berita berkaitan: 'Asyraf bangsat gesa Zahid cuti seketika'
Pertelingkahan  antara Lokman dan Asyraf terjadi selepas ketua pemuda Umno itu semalam  mencadangkan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bercuti seketika dari tugas sebagai presiden parti sementara perbicaraan mahkamah ke atasnya dijalankan.
Tidak  puas hati dengan perkara itu, Lokman membuat gesaan balas dan menuntut  Asyraf meletakkan jawatan sebagai ketua Pemuda agar beliau boleh  mencabarnya dalam pemilihan semula.
Bercakap kepada Malaysiakini hari ini, Asyraf enggan melayan tuntutan Lokman dan menjelaskan keputusan untuk menggesa Zahid bercuti adalah keputusan  sebulat suara yang dicapai dalam mesyuarat Pemuda Umno semalam.
Mengulas  lanjut, Razlan berkata perangai dan corak pemimpin Umno dari segi  menerima kritikan tidak berubah meskipun sudah kehilangan kuasa dalam  tampuk pemerintahan kerajaan.
"Pelik tapi benar, sehingga  sekarang, kalau ada kritikan dan teguran dari ahli sendiri, bazooka,  meriam malah senjata sekecil pistol pun akan digunakan dan dihalakan  untuk menembak sesama sendiri.
"Keinginan mereka menembak sesama  sendiri melebihi keinginan menembak musuh sebenar di depan mata. Gerakan  tersusun, perbincangan ilmiah boleh di rancang dengan sekelip mata  apabila melibatkan politik sesama sendiri, berbeza dengan perancangan  untuk menembak musuh sebenar iaitu kerajaan Pakatan Harapan hari ini.
"Sungguh  kecewa apabila melihat keadaan ini, tidak ada langsung keikhlasan,  tidak ada langsung memikirkan perkara positif, apa yang difikirkan,  jawatan, dan kepentingan kumpulan," katanya.
Asyraf  membuat sesaan untuk Zahid bercuti semalam selepas mesyuarat bulanan  Pergerakan Pemuda Umno di Menara Dato' Onn, di PWTC, Kuala Lumpur
Cadangan  itu, kata Asyraf, tidak mempunyai sebarang sentimen atau niat jahat  untuk menjatuhkan presiden, sebaliknya bagi memberi kebaikan kepada  beliau supaya dapat berehat
Minggu lalu, Ahmad Zahid didakwa  dengan 45 tuduhan pengubahan wang haram, pecah amanah jenayah dan  menerima suapan berjumlah lebih RM42 juta serta 27 pertuduhan  membabitkan diri dalam pengubahan wang haram berjumlah lebih RM72 juta.
Bekas timbalan perdana menteri itu, yang mohon dibicarakan kemudian dibebaskan dengan ikat jamin pada RM2 juta.
Sebelum  ini, Timbalan Presiden Umno, Datuk Mohamad Hassan memberitahu pemberita  bahawa Umno mempunyai prosedur operasi standard (SOP) pada tahun 2009  yang memerlukan pemimpin tinggi bercuti jika berdepan tuduhan jenayah di mahkamah
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2018/10/semua-mt-umno-letak-jawatan-pun-ada.html