Semangat Olimpik
The Olympic spirit atau semangat Olimpik dicatat begini: Yang paling penting dalam Sukan Olimpik ialah bukan untuk menang tetapi mengambil bahagian sama seperti dalam kehidupan yang penting bukan kejayaan tetapi perjuangan.
Saya tidak tahu sama ada anda setuju dengan apa yang dicatat sebagai makna semangat Olimpik khususnya pada era moden ini, di mana kemenangan pingat (emas terutamanya) membawa pelbagai ganjaran dan pujian. Namun kita diingatkan oleh pengasas Olimpik menang bukan segala-galanya – “the essential thing is not to have conquered but to have fought well“.
Membawa ingatan saya ke Olimpik 1984 di Los Angeles. Acara marathon untuk wanita. Antara pesertanya ialah Gabriela Andersen-Schiess berusia 39 tahun dari Switzerland. Peraturan pertandingan waktu itu ialah hanya ada lima water station ditempatkan sepanjang lebih 42km laluan larian untuk peserta meneguk air sambil berlari. Schiess bagaimanapun terlepas stesen air kelima yakni yang penghabisan.
Berlari dalam cuaca 30 darjah Celcius beliau mengalami dehidrasi dan dicengkam kepenatan. Andersen-Schiess memasuki stadium untuk menghabiskan 400m terakhir, 20 minit setelah pelari AS, Joan Benoit, melepasi garisan penamat untuk memenangi pingat emas.
Andersen-Schiess terhuyung-hayang namun tekad melengkapkan larian. Beliau enggan menerima bantuan pasukannya kerana mengikut peraturan jika beliau disentuh sesiapa lariannya akan dibatalkan.
Diiringi sorakan penonton yang menyuntik semangat, Andersen-Schiess akhirnya melengkapkan larian dengan catatan 2 jam 48 minit 42 saat untuk menduduki tempat ke-37 daripada 44 pelari. Itu semangat juang. Not to have conquered but to have fought well yang dicatat dalam semangat Olimpik.
Ada juga apa yang dipanggil nilai Olympism iaitu kecemerlangan, hormat, dan persahabatan. Ramai pegawai sukan dan jurulatih yang menghulur bantuan kepada atlet lawan ketika dia mengalami kecederaan atau kesulitan, walaupun yang dibantu itu boleh mengalahkan atlet jagaan mereka. Ini semangat kesukanan berpandukan nilai Olympism – respect and friendship.
Tentulah semangat kesukanan yang ditunjukkan para atlet mendapat perhatian. Pada Sukan Olimpik yang masih berlangsung di Paris disenaraikan beberapa peristiwa membanggakan.
Antaranya apabila gimnas AS, Simone Biles, yang memenangi pingat perak dan Jordan Chiles pemenang pingat gangsa tunduk hormat seakan ‘menyembah’ Rebeca Andrade dari Brazil di atas podium sebelum dikalungkan pingat emas .
Kata mereka tanda hormat itu sebagai penghargaan usaha keras Andrade untuk mencipta kejayaan di Paris 2024.
Gimnas Jepun, Daiki Hashimoto, meletakkan jari ke bibir sebagai isyarat kepada penonton supaya senyap agar ‘musuh ketatnya’ Zhang Boheng dari China tidak terganggu dan dapat beri tumpuan ketika rutin terakhir pada final acara berpasukan lelaki.
Setelah Alex Yee dari Great Britain memintas Hayden Wilde dari New Zealand pada 400m terakhir acara triathlon lelaki, Wilde terus duduk bersama Yee memegang bahu dan mengucapkan tahniah kepada lawannya yang baharu sahaja mengecewakannya untuk meraih pingat emas.
Pearly Tan dan M Thinaah, beregu badminton negara yang begitu sedih kerana gagal menang pingat gangsa untuk negara setelah bermain bermati-matian masih mampu mendakap Nami Matsuyama dan Chiharu Shida dan mengucapkan tahniah kepada pasangan Jepun yang mengalahkan mereka.
Ramai ahli sukan yang menang dan yang kalah berselfie kerana that’s what Olympics is all about. Persahabatan.
Muncul pula Hannah Yeoh. Menteri belia dan sukan itu bergambar dengan jaguh badminton Thailand, Kunlavut Vitidsarn, yang menewaskan pemain negara Lee Zii Jia pada perlawanan separuh akhir perseorangan lelaki.
Yeoh berkongsi beberapa keeping gambar bersama Vitidsarn di Instagram, dengan kapsyen: “Congratulations @kunlavut.v for winning silver in Paris 2024. I enjoy his style of badminton so much. So calm and collected. He has a new fan in me.”
Catatan itu menyaksikan Yeoh menjadi sasaran kritikan sesetengah netizen yang beranggapan tindakan beliau tidak wajar. Saya tidak bercadang mengulas kritikan netizen kerana jelas mereka masih kecewa dan terkilan LZJ tidak dapat bermain pada final dan dikalahkan oleh Vitidsarn, yang dipuji pula seorang menteri Malaysia.
Yang ingin saya sentuh ialah kritikan Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamil kerana beliau ialah musuh politik Yeoh dari Bersatu. Saya tidak dapat elak bertanya pada diri sendiri sama ada kritikan ke atas Yeoh benar-benar mengenai sukan atau bermotif politik. Adakah Wan Ahmad Fayshal menangguk di air keruh kerana ada netizen yang marah Yeoh?
Kata beliau di Facebook:
Menteri belia dan sukan Malaysia tolonglah jaga sensitiviti atlet kita dan lebih penting perasaan penyokong dikalangan rakyat kita.
Jika Wan Ahmad Fayhsal menonton perlawanan Lee dengan Vitidsarn menerusi siaran langsung di televisyen, beliau akan lihat Lee memeluk pemain Thai itu selepas tamat perlawanan dan mengucapkan tahniah. Ketika menerima pingat gangsa keesokan harinya, Lee bersama Viktor Axelsen pemain Denmark yang menang pingat emas dan Vitidsarn selaku pemenang pingat perak ketawa dan berselfie di atas podium. Mereka bermusuhan di dalam gelanggang. Di luar gelanggang mereka bersahabat. Ini selari dengan semangat Olimpik.
Begitu juga Yeoh. Bagi saya langkah beliau boleh dilihat sebagai sporting dan menunjukkan semangat kesukanan. Adakah Wan Ahmad Fahysal mahu Yeoh malah kita semua bertindak hostile terhadap lawan hanya kerana dia mengalahkan kita?
Wan Ahmad Fayhsal pernah jadi timbalan menteri belia dan sukan tidak lama dahulu. Takkan beliau lupa apa semangat Olimpik, nilai Olympism, dan sportsmanship?
Penutup penulisan. Menggunakan kuota istimewa tetamu yang dinikmati pegawai tertinggi majlis sukan untuk membawa keluarga menonton Sukan Olimpik bukan semangat Olimpik. Itu semangat keluarga I. Maklumlah guna wang sendiri. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://malaysiansmustknowthetruth.blogspot.com/2024/08/semangat-olimpik.html