Sekurang Kurangnya Hadkan Adam50 Pada Keluarga M40 Dan B40 Bukan Terus Mansuh Kj Tempelak Ph
SHAH ALAM – Keputusan kerajaan untuk menghentikan inisiatif Amanah Dana Anak Malaysia (ADAM50) bermula tahun depan, terus mendapat kritikan pemimpin pembangkang.
Kali ini giliran Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin pula menghentam kerajaan dan menyifatkan alasan pemansuhan ADAM50 kononnya kerana tidak mendapat sambutan, adalah alasan yang dangkal dan tidak boleh diterima.
“Menerusi program ini, kerajaan Barisan Nasional akan memperuntukkan RM100 juta setiap tahun bagi tempoh 5 tahun percubaan.
“Namun tidak sampai setahun sejak mula dilaksanakan dan kurang 8 bulan usia kerajaan baharu, ianya akan dibatalkan bermula tahun hadapan.
“Pemansuhan ADAM50 ini kononnya kerana tidak mendapat sambutan adalah alasan yang dangkal dan tidak boleh diterima.
“Tempoh 5 tahun sehingga 2022 adalah tempoh percubaan. Jika sekalipun kerajaan hendak mengurangkan perbelanjaan, kerajaan boleh sekurang-kurangnya menghadkan pemberian ADAM50 ini kepada bayi dari keluarga M40 dan B40 bukannya dimansuhkan sepenuhnya,”katanya dalam satu kenyataan di Facebook.
Menurut Khairy, program ADAM50 adalah aspirasi di bawah TN50 sebagai langkah terkedepan dalam memberi kesedaran kepada rakyat Malaysia tentang kepentingan membuat simpanan dan ia juga adalah langkah pendidikan awal tentang keperluan membuat simpanan.
“Kerajaan sepatutnya peka bahawa 78% rakyat Malaysia tidak mempunyai wang simpanan persaraan yag mencukupi menerusi KWSP. Itu belum lagi mengambil kira masalah pengurusan kewangan yang dihadapi oleh rakyat.
“Menerusi ADAM50, ibu bapa juga boleh membuat perancangan simpanan kewangan buat anak-anak mereka. ASB ataupun AS1M adalah unit amanah berharga tetap iaitu hanya RM1 bagi setiap unit dan pelaburan tambahan minimum adalah RM1. Bermakna, ibu bapa tidak terikat jika berhasrat untuk menambah jumlah simpanan sedia ada.
“Peruntukan RM100 juta ini adalah terlalu kecil iaitu hanya 0.03% berbanding keseluruhan jumlah anggaran perbelanjaan kerajaan pada tahun 2019. Malah jumlahnya juga 50% lebih rendah berbanding kutipan Tabung Harapan yang ketika ini telah hampir mencecah RM200 juta,” katanya lagi.
Semalam, Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz berkata keputusan menghentikan inisiatif ADAM50 dibuat berikutan kurang mendapat sambutan di mana sejak ia dilancarkan 1 Januari lalu, hanya 25 peratus bayi yang dilahirkan sepanjang tahun ini mendaftar dengan program ini.
Kata Zeti, memandangkan kedudukan kewangan kerajaan semasa perlu dikukuhkan, ia tidak dapat memperuntukkan dana tambahan.
ADAM50 merupakan inisiatif yang diperkenalkan kerajaan BN pimpinan Datuk Seri Najib Razak dengan kerjasama PNB untuk semua bayi warganegara Malaysia yang lahir dalam tempoh 1 Januari 2018 sehingga 31 Disember 2022.
Dengan dana tabungan permulaan sebanyak RM200 untuk ADAM50, program ini bermatlamat menggalakkan budaya menyimpan dan pelaburan oleh rakyat Malaysia daripada usia seawal baru dilahirkan.-SuaraTv
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://mediaterjah.com/2018/12/sekurang-kurangnya-hadkan-adam50-pada-keluarga-m40-dan-b40-bukan-terus-mansuh-kj-tempelak-ph/