Sejarah Persatuan Palang Merah
Pergerakan Palang Merah dan Bulan Sabit
Merah adalah satu pertubuhan kemanusiaan bertaraf antarabangsa. Ia dikenali di
setiap negara di dunia ini. Ramai yang mengetahui kerja-kerja kemanusiaan yang
dilakukan ahli persatuan ini sama ada pada waktu aman mahupun peperangan atau darurat.
Persatuan ini sentiasa memberi khidmat
kepada mereka yang menderita dan dalam keadaan bahaya, terutama semasa bencana
alam, peperangan dan dalam kehidupan seharian.
Dalam masa aman, ahli persatuan ini berlatih
menyediakan diri untuk membolehkan mereka memain peranan yang lebih berkesan
lagi dalam masa perang atau kecemasan.
Di samping itu mereka juga terlibat dalam
pelbagai aktiviti, bertujuan meringankan penderitaan manusia. Ini termasuk
antara lain, melatih orang awam ilmu pertolongan cemas, bantuan bencana dan
aktiviti-aktiviti berkaitan kesihatan dan kebajikan.
Walaupun ia satu organisasi antarabangsa,
pertubuhan ini adalah organisasi persendirian. Tiada kerajaan yang mengawal
Palang Merah/Bulan Sabit Merah.
Palang Merah mempunyai tugas istimewa yang
diperuntukkan oleh undang-undang antarabangsa. Ia merupakan satu-satunya
pertubuhan persendirian yang tugasannya ditetapkan oleh undang-undang
antarabangsa.
Di peringkat antarabangsa, penubuhannya
dimulai dengan penubuhan Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah ((International
Committee of the Red Cross) pada tahun 1864 di Geneva, Switzerland. Tugas
jawatankuasa di bawah undang-undang antarabangsa ini adalah untuk melindungi
nyawa dan kehormatan mangsa perang.
Pengasas Pergerakan Palang Merah ialah seorang
ahli perniagaan bernama Henry Dunant (1828-1910) yang sedih melihat mangsa
perang antara Perancis dan Itali dengan tentera Austria di Solferino, Itali
pada 24 Jun 1859. Lebih 40,000 tentera dan orang awam cedera dan terkorban.
Henry Dunant dan rombongannya telah membantu mangsa yang merintih dan
nyawa-nyawa ikan ke sebuah gereja berdekatan.
Sebuah buku kenangan dan pengalamannya “A
Memory ol Solferino” telah dicetak dan dihadiahkan kepada semua ketua negara di
Eropah. Kandungan buku itu telah menyedarkan ketua-ketua kerajaan di Eropah. Di
dalam buku itu turut mencadangkan agar membentuk organisasi kemanusiaan
antarabangsa bagi membantu tentera dan orang awam yang cedera dan menderita
semasa peperangan. Ia juga turut mencadangkan agar diadakan perjanjian
antarabangsa agar tentera yang cedera dari mana-mana pasukan hendaklah dibantu.
Persekutuan Antarabangsa Persatuan Palang
Merah dan Bulan Sabit Merah (International Federation of Red Cross and Red
Crescent Societies) diasaskan pada tahun 1919. Ia berfungsi untuk merapatkan
hubungan antara Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah dalam menjalankan
misi kemanusiaan dan kes-kes darurat yang besar. Sekretariat bagi persatuan ini
juga terletak di Geneva, Switzerland.
Di negara kita, sejarah Persatuan Bulan
Sabit Merah Malaysia (PBSMM) ditubuhkan pada tahun 1948 sebagai cawangan
Persatuan Palang Merah Britain di Sabah dan Sarawak. Pada tahun 1950-an, lebih
banyak cawangan persatuan ditubuhkan di Malaysia bermula di Pulau Pinang pada tahun
1950 dan kemudian di negeri-negeri lain.
Selepas kemerdekaan pada tahun 1957,
cawangan di Semenanjung Malaysia dikenali sebagai Persatuan Palang Merah
Persekutuan Tanah Melayu. Persatuan tersebut mendapat pengiktirafan oleh
Persatuan Palang Merah Antarabangsa pada 4 Julai 1963 dan menjadi ahli
badan antarabangsa itu pada 24 Ogos 1963.
Berikutan penggabungan Semenanjung Tanah
Melayu, Sabah dan Sarawak serta penubuhan Persekutuan Malaysia pada 16
September 1963, suatu penggubalan akta baharu yang dikenali sebagai Akta
Persatuan Palang Merah Malaysia (Penswastaan) Akta 1965 telah bertindak
menggabungkan Persatuan Palang Merah Malaya dan cawangannya Persatuan Palang
Merah di Sabah dan Sarawak di bawah nama baharu iaitu Persatuan Palang Merah
Malaysia. Ia dibentangkan di Parlimen dan kemudiannya diwartakan pada 1 Julai
1965.
Pada 5 September 1975, Persatuan Palang
Merah Malaysia telah ditukar nama kepada Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia
selaras dengan kebenaran penukaran nama Akta Persatuan Palang Merah Malaysia
kepada Akta Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia 1975 oleh Parlimen Malaysia.
Keahlian PBSMM adalah terbuka kepada semua peringkat
umur termasuk kanak-kanak sekolah, tanpa diskriminasi kaum, jantina, darjat,
agama atau fahaman politik. Sebagai badan penyokong kerajaan, PBSMM dengan
dasarnya yang bebas dan berkecuali, telah mendapat sokongan serta diterima baik
oleh masyarakat umum dalam semua aspek aktivitinya.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://hwaliman.blogspot.com/2023/05/frw.html