Sayangi Sungai Kita
Masyarakat harus diterapkan dengan rasa tanggungjawab menyayangi sungai, khususnya mereka yang terbabit secara langsung dengan ekosistem sungai. Bilangan sungai yang ‘sudah mati’ akibat terlalu kotor dan tercemar semakin bertambah.
Mengapa kita perlu menyayangi sungai? Sungai adalah nadi kehidupan manusia, anugerah Allah yang perlu manusia menjaganya. Kepentingan utama sungai adalah sebagai sumber mendapatkan bekalan air. Sumber air amat penting untuk manusia dan makhluk hidup lain.
Sebab itu, kira-kira dua pertiga daripada permukaan bumi diliputi air. Manakala di dalam badan manusia terdiri kira-kira 70 peratus adalah air. Manusia boleh hidup tanpa makan beberapa hari, tetapi akan mati jika kekurangan bekalan air di dalam badan. Fungsi organ-organ badan akan terhenti jika kekurangan bekalan air.
Sebenarnya, kaitan hidup manusia dengan air amat rapat. Selain air digunakan sebagai air minuman, bekalan air juga diperlukan untuk pelbagai kegunaan lain. Sumber makanan kita seperti buah-buahan, sayur-sayuran, bijirin, ubi, hasil ternakan, ikan dan sebagainya ada hanya sekiranya ada sumber air.
Sebab itu banyak ayat al-Quran yang menyebut air sebagai anugerah Allah yang besar manfaatnya secara langsung untuk manusia dan yang mempunyai kaitan dengan kehidupan manusia.
Antara firman-Nya menyebut mengenai air bermaksud: “Dan Dia yang menurunkan air hujan dari langit (awan), untukmu, sebahagiannya untuk minuman dan sebahagian untuk (menyuburkan) pokok-pokok yang kamu gunakan untuk makanan ternakanmu.” (Surah an-Nahl, ayat 10).
Firman Allah lagi dalam surah al-Anbiya, ayat 30 yang bermaksud: “Dan daripada air Kami jadikan segala sesuatu yang hidup. Maka mengapakah mereka tidak juga beriman.”
Sepertimana anugerah alam yang lain, air perlu dijaga dengan baik. Pengurusan sumber air satu tanggungjawab yang penting. Ini termasuk dalam senarai tugas khalifah yang dipertanggungjawabkan terhadap manusia, memakmurkan dan menguruskan sumber alam ini.
Pengurusan sumber air amat penting kerana bekalannya ‘terhad’ dan berubah-ubah sifatnya. Air hujan tidak turun berterusan sepanjang masa. Biarpun air penting bagi manusia, jika hujan berterusan, akan menyebabkan banjir yang disebut pula bencana.
Sesungguhnya Allah Maha Bijaksana. Air yang amat diperlukan oleh manusia, boleh bertukar bencana. Samalah, ombak yang kecil menjadikan pantai tempat bersukaria, tetapi jika bertukar besar seperti Tsunami, membawa bencana yang tidak mampu manusia menghalangnya.
Nikmat yang Allah berikan boleh bertukar bala jika tidak diurusakan dengan baik. Manusia yang tidak bersyukur dengan nikmat Allah akan ditarik balik nikmat itu.
Banyak kaum terdahulu dimusnahkan dengan didatangkan banjir besar sebagai balasan kemungkaran dilakukan oleh kaum tersebut. Antara kaum yang menerima bala melalui banjir, selepas mendapat nikmat yang besar ialah kaum Saba.
Saba (negeri - terletak di Yamen) mengalami pembangunan dengan adanya pembinaan ampangan untuk membekal air berterusan. Bidang pertanian dapat diusahakan dengan baik, dan memberi kemakmuran kepada seluruh rakyat. Saba menjadi tumpuan penduduk dari seluruh Semenanjung Tanah Arab.
Malangnya kaum Saba tidak bersyukur dengan nikmat air yang kurniakan. Perintah Allah diingkari biarpun diberi peringatan berkali-kali. Maka, melalui air Allah mengirimkan balasan di atas kekufuran kaum Saba. Mereka hampir tidak percaya bahawa ampangan yang kukuh itu boleh runtuh dan memusnahkan negeri mereka dan segala apa yang dimiliki.
Perkara itu dinyatakan oleh Allah melalui firman-Nya brmaksud: “Tetapi mereka membelakangkan (tiada bersyukur), lalu Kami kirimkan kepada mereka banjir besar.” (Surah Saba, ayat 16).
Justeru, kita perlu berhati-hati dalam soal air. Nikmat yang Allah anugerahkan perlu disyukuri. Bila-bila masa sahaja bala boleh Allah kirimkan melalui air. Kita boleh renungkan kejadian-kejadian berkaitan air akibat pengabaian penjagaan sumber air dan sungai.
Menjaga sumber air dan sungai samalah menjaga sumber penghidupan manusia. Ini dinyatakan melalui firman Allah yang bermaksud: “Dialah yang telah menjadikan bumi ini terhampar, langit sebagai atap untukmu, dan Dia telah menurunkan air hujan dari langit, lalu mengeluarkan buah-buahan sebagai rezeki untukmu.” (Surah al-Baqarah, ayat 22).
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://sambungtitik.blogspot.com/2020/02/dvy.html