Sambal Udang Dan Kembali Ke Rahmatullah Anak Saudara Saya
Hari ini saya sangat kesedihan dengan pemergian ke rahmatullah anak saudara saya Haji Ruzman Ismail tengah malam tadi (7 Disember 2025). Sepanjang hari ini seperti kekosongan dan kehilangan. Tat kala Nana naik ke bilik untuk memberitahu berita tersebut, saya sedang berdoa memohon diringankan kesakitan arwah tanpa mengetahui ketika dan saat itu, arwah telah pun tiada.
Setelah selesai solat dan berdoa, saya turun dan barulah Nana memberitahu berita tersebut. Saya sebenarnya telah redha dan memohon agar diangkat kesakitan arwah kerana setelah 6 bulan menderita tidak dapat makan, badan dah tinggal kulit dan tulang. Jika itu yang terbaik semoga Allah mengangkat kesakitannya.
Ketika itu, pukul 12 tengah malam waktu Malaysia. Saya jadi tidak tenang selepas mendapat berita dan pukul 2.30 pagi saya membuat video call untuk bercakap dengan kakak saya. Dan ketika itu saya melihat jenazah arwah seperti sedang ketawa seperti ketawa masa hidupnya. Saya pernah melihat jenazah rakyat Palestine seperti ini di dalam media social.
Pagi pagi selepas solat Subuh, bila saya menulis kepada sahabat saya Dr Sabariah, beliau menulis Insya Allah Zie, dah nampak syurga tu. Insya Allah. Saya memang banyak kali mendengar dari kuliah dan video ustaz ustaz tentang saat kematian, tetapi bila kita mendengar dari orang lain, hati kita akan menjadi lebih tenang.
Di saat seseorang hampir dicabut nyawa, akan diperlihatkan 2 alam iaitu alam barzah dan alam dunia. Saat itu, kita akan melihat Malaikat maut dan akan diperlihatkan segala amalan baik dan buruk hatta sekecilnya zarah. Akan ditunjukkan juga kedudukan samada syurga atau neraka. Saat itu, ada yang akan bergembira dan tersenyum dan ada yang wajah dalam ketakutan.
Mengingatkan itu, saya menjadi tenang kerana anak saudara saya ini seorang yang sangat baik, sangat menjaga ibunya, sangat menjaga hubungan dengan ahli keluarga, rakan rakan dan orang orang sekeliling.
Setiap kali ada yang membeli ayam dari gerai beliau, pasti akan diselit sekor dua sebagai sedekah dari arwah untuk menjamu orang makan. Dengan saya sendiri, tidak terhingga kebaikannya dari arwah masih muda dan belum berkahwin lagi. Saya akan menelefon untuk meminta apa apa dari Kelantan untuk dipos atau untuk dibeli makanan bila saya balik ke sana. Bantuan duit ringgit juga tidak terkira.
Kenapa saya menangis sejak dari mendapat tahu berita kesakitannya. Ianya kerana dia lah yang paling rapat dengan saya. Yang paling banyak saya berhubung samada melalui whatsapp atau telefon. Pemergian arwah menjadikan seperti sebahagian dari hidup saya juga kosong. Namun begitu saya bersyukur hari ini kerana segala penderitaan arwah berakhir dengan begitu indah yang Allah tunjukkan pada mata saya.
Tolong lah sama sama aamiin kan doa agar roh arwah anak saudara saya diampuni segala dosa, dicucuri rahmatNya, diluaskan kuburnya dan diletakkan di dalam golongan orang orang yang soleh. Aamiin. Ya Rabbal ‘Aalamiin.
Saya dah lama tak makan sambal tumis udang dengan petai. Hatta sambal tumis udang juga kerana sejak di London ni, saya jadi takut nak makan udang. Masa mula mula sampai, saya makan hanya sambal sahaja, habis naik kemerahan di badan. Kalau di Malaysia, ada doktor dekat untuk dikunjungi. 3-4 bulan juga saya mengalami masalah tersebut sehingga luka luka.
Saya menyediakan sambal tumis udang hari ini kerana Nana sampai dari Florence selepas 4 hari menghadiri seminar di sana. Sementara berada di sini, eloklah pergi banyak banyak. Kos tak semahal dari Malaysia nak ke sini. Seorang doktor perlu sentiasa memperbaharui ilmu teknologi dan jumpaan baru dalam bidang masing masing.
Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Selamat mencuba...
Sambal Tumis Udang Oleh: Azie Kitchen
Bahan bahan:7-8 ekor udang5-6 sudu besar cili kering kisar 1 sudu kecil garam1 - 1 ½ sudu besar gula½ sudu kecil pes asam jawaMinyak masak
Bahan kisar:
1 biji bawang besar
4 ulas bawang putih
Cara cara:
Masak bahan kisar dan sambal sehingga air kering (tanpa minyak).

Sementara itu, panaskan minyak dalam kuali lain dan goreng udang sehingga separuh masak, angkat dan ketepikan.

Setelah air kering, tuang minyak gorengan udang ke dalam sambal tadi. Goreng atas api perlahan sehingga terbit minyak.

Masukkan sedikit air dan masak sehingga terbit minyak lagi. Ulang beberapa kali untuk memastikan sambal benar benar masak.
Setelah terbit minyak dan sambal garing, masukkan pes asam jawa, garam dan gula. Kacau rata.
Setelah sambal berwarna sedikit gelap, boleh masukkan udang dan sedikit air. Nota: sambal udang sedap sambal basah. Jika suka, boleh masukkan petai ketika ini.

Kacau rata dan boleh tutup api. Nota: jika suka, boleh juga masukkan bawang besar hiris sebagai hiasan dan masak sehingga bawang layu. Sambal akan jadi sedikit pekat setelah sejuk, jadi kena agak agak kepekatan sambal sebelum tutup api.

Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.aziekitchen.com/2025/12/sambal-udang-dan-kembali-ke-rahmatullah.html