Saifuddin Abdullah Digesa Letak Jawatan
Tiada jawapan yang jelas diberikan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia Kerajaan Perikatan Nasional (PN), Saifuddin Abdullah akan menyukarkan penguatkuasaan polisi berkenaan penyiaran di Malaysia.
Bagi Pengarah Komunikasi KEADILAN, Fahmi Fadzil, pengakuan Saifuddin bahawa Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia 1981 perlu ditambahbaik kerana tidak merangkumi filem di media sosial, namun sebelum itu menjawab di Parlimen semua medium yang digunakan menghasilkan filem memerlukan lesen amat memalukan.
Katanya, Saifuddin tidak bersedia dengan apa yang cuba dijawabnya di Dewan Rakyat. Soalan mudah, namun jawapan yang diberikan menaikkan kemarahan netizen di seluruh negara. Maka Saifuddin seharusnya berundur.
“Saya kira, selepas tiga episod ‘salah langkah’ sejak dilantik menjadi menteri, iaitu pelantikan Eric Paulsen ke Majlis Perundingan Komunikasi dan Multimedia yang ditarik balik selepas dipertikai pelbagai pihak; pembatalan peruntukan spektrum 700MHz, 900MHz, dan 2600MHz selepas dipertikai pelbagai pihak dan terkini isu lesen FINAS yang dipertikai pelbagai pihak, sudah tiba masanya Menteri Komunikasi dan Multimedia meletak jawatan.
“Kenyataan media terkini Saifuddin Abdullah (petang semalam) mahu merungkai masalah berkenaan isu lesen FINAS, namun sebenarnya beliau sendirilah yang memulakannya di Dewan Rakyat.
“Jika Menteri menjawab soalan tambahan Wong Shu Qi, Ahli Parlimen Kluang dengan jelas sama ada pengguna media sosial seperti TikTok perlukan lesen FINAS atau tidak, sudah pasti isu tidak berpanjangan. Jawapan yang dipohon mudah: ya atau tidak. Namun ia tidak dijawab.
“Malah, soalan tambahan saya tentang sama ada Dustin Pfundheller (pembikin dokumentari “Other Side of the Truth” yang disebar akaun Twitter Bernama TV) mempunyai lesen FINAS atau tidak, juga tidak dijawab dengan jelas. Jawapan yang dipohon mudah: ya atau tidak. Sekali lagi, ia tidak dijawab,” kata Fahmi di akaun Facebooknya.
Menurut Fahmi, kenyataan Saifuddin bahawa Kerajaan tidak berniat menggunakan Akta FINAS untuk menyekat kebebasan peribadi dalam media sosial tidak dapat menutup rasa tidak puas hati rakyat.
Sewajarnya, kata Fahmi, menteri sejak awal menyatakan niat meminda Akta di dalam jawapan beliau di Dewan Rakyat kerana itulah institusi yang berfungsi untuk meminda sesebuah Akta. Bagaimanapun, menteri tidak melakukannya tetapi membuat kenyataan media mencari jalan keluar di luar Dewan.
“Oleh itu, saya berpandangan kenyataan terbaru YB Menteri ini lebih berniat ‘mencari jalan keluar’ untuk meredakan kemarahan netizen. Dan paling malang, kenyataan beliau ini sebenarnya masih tidak menyatakan dengan jelas bahawa lesen FINAS tidak diperlukan oleh pengguna media sosial di pelantar TikTok, YouTube dan sebagainya,” kata Fahmi lagi.
Saifuddin dikritik keras sejak semalam apabila memberi jawapan semua bentuk filem tidak mengira tujuan atau medium diwajibkan memohon lesen FINAS. Hal itu menyebabkan rakyat menganggap kerajaan PN cuba mewujudkan kawalan media.
Malah, menurut pakar undang-undang, filem-filem pendek pengajaran guru-guru kepada murid di YouTube atau Facebook sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan juga termasuk di dalam ruang lingkup Akta yang disebutkan Saifuddin.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://suarapakatandaily.com/archives/28891