Rm 1 6 Billion Setahun Peruntukan Makan Pagi Percuma Sekolah Kami Rasa Berbaloi
Wee Ka Siong mempersoalkan Program Sarapan Percuma (PSP) yang akan dilaksanakan di sekolah rendah tahun depan, bertanyakan adakah kerajaan berhajat untuk memberikan makanan percuma kepada pelajar dari keluarga berada.
Presiden MCA itu berkata bukankah lebih elok sekiranya duit yang sama dibelanjakan untuk membantu golongan petani daif, serta membina lebih banyak projek perumahan rakyat atau rumah kos rendah.
“Terdapat 2.7 juta orang murid sekolah rendah di seluruh negara. Berdasarkan perkiraan RM3 sehari untuk 200 hari bersekolah dalam setahun, maka kos penyediaan makanan berkhasiat untuk semua pelajar adalah sebanyak RM1.6 bilion,” katanya dalam kenyataan.
Kementerian Pendidikan mengumumkan PSP di sekolah rendah akan disediakan oleh pengendali kantin dan akan diurus menggunakan kaedah Rancangan Makanan Tambahan (RMT).
Satu jawatankuasa akan ditubuhkan bagi membincangkan peruntukan yang bakal digunakan untuk program itu.
Wee mengingatkan setiap murid mempunyai amalan atau tabiat pemakanan yang berbeza, dan kebanyakan mereka sudah bersarapan di rumah sebelum ke sekolah.
Katanya, ada juga yang hanya makan buah-buahan, makanan organik dan bijirin untuk sarapan pagi.
“Persoalannya adakah pengumuman Menteri Pendidikan, Maszlee Malik ini praktikal dan dapat memenuhi aspirasi dan citarasa kebanyakan murid?” katanya.
Wee berkata RMT yang dilaksanakan sejak lebih 10 tahun lalu menyediakan makanan berkhasiat secara percuma untuk murid-murid dari keluarga berpendapatan rendah, memperuntukkan RM2.50 bagi murid di Semenanjung dan RM3 bagi murid di Sabah dan Sarawak.
Setakat 2018, seramai 489,117 orang murid mendapat manfaat RMT, dengan jumlah peruntukan sebanyak RM289 juta.
Wee menambah dia sedia menyokong langkah memperluaskan RMT kepada murid dari keluarga berpendapatan sederhana.
“Adakah perlu bagi kerajaan memberi makanan berkhasiat kepada semua 2.7 juta murid sekolah rendah?” katanya.“Dalam keadaan Pakatan Harapan telah meningkatkan hutang negara melebihi RM100 bilion sejak mereka memerintah, adakah wajar kerajaan terus berbelanja sebegini?”
FMT
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://bankami.blogspot.com/2019/08/rm-16-billion-setahun-peruntukan-makan.html