Resepi Laksam Homemade Dengan Kuah Putih Berlemak Favorite Keluarga
Resepi Laksam Homemade Dengan Kuah Putih Berlemak, Favorite Keluarga | Rasanya dah lebih 5 tahun tak buat laksam ni walau sebagai orang KL dengan darah utara, laksam antara favorite umi dan keluarga. Bukan apa, bab buat kuah laksam ni tak jadi masalah tapi bab nak buat tepung laksam tu agak renyah sebab kalau silap bancuhan, memang tak cantik laksamnya. Selain dari tu kena gigih mengukus laksam sampai habis.
Baru-baru ni umi buat laksam atas permintaan Cik Meya, memang favorite keluarga jadi memang habis je malah keesokkan harinya pun umi tambah buat lagi laksam sebab ada baki kuah dan bahan-bahan. Walau laksam ni masakan orang Kelantan dan Pantai Timur tapi sebagai orang Malaysia, memang rugi tak suka atau makan masakan negeri lain.
Waktu menulis entri ni pun terliur pulak nak buat Laksa Kedah, tapi so far ikan kembung kat pasar tu nampak kurang fresh dan bahan-bahan seperti pucuk gajus dan pucuk putat pun dah agak payah didapati. Tengok la kalau rajin dan nampak ulaman ni, mesti umi buat dan makan sampai puas.
Resepi Laksam Homemade Dengan Kuah Putih Berlemak, Favorite Keluarga
Dah berada orang utara pastinya Laksa Utara jadi favorite paling utama, Asam Laksa pun sedap tapi tak pernah dapat makan yang betul-betul sedap sebab umi cukup cerewet bila kuah laksa ni guna belacan yang kuat baunya. Rindu betul nak makan Laksa Berempah yang bonda selalu buat dulu tapi tu la bonda pun dah tak memasak, so kenalah buat sendiri nanti. Bila tu? entahlah.
Banyak juga jenis laksa setiap negeri antaranya Laksa Sarawak, masakan jiran yang berasal dari Sarawak dan ada yang umi beli lama dulu. Laksa ni susah sikit nak buat sebab bahan-bahan yang digunakan tu rare sikit tapi Laksa Johor tak susah sangat cuma umi kurang menggemari Laksa Johor selain tak pernah dapat makan yang betul-betul sedap.
Jom tengok bahan dan resepi Laksam Homemade dengan kuah putih berlemak, favorite keluarga kami dan mungkin boleh jadi favorite anda juga.
A. Bahan-bahan Kuah ½ kg ikan kembung atau selayang atau sardin
½ kg santan pekat
2 biji bawang besar
4 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
½ cm halia
1 sudu kecil lada hitam (ditumbuk)
2 keping asam gelugor
Garam dan gula secukup rasa
Bahan-bahan lain 3 cm belacan (dibakar dan dipotong kiub) – optional
Cara Penyediaan Kuah
Rebus ikan sehingga masak, biarkan sejuk dan perisi isi ikan dan asingkan dengan tulang serta kepala ikan. Simpan air rebusanKisar isi ikan dan air rebusan bersama bawang merah, bawang putih dan halia sehingga lumat. Kisar tulang dan kepala ikan, tapis dan ambil airnyaMasukkan ikan yang telah dikisar, lada hitam yang ditumbuk, dan asam gelugor ke dalam periuk. Masak dengan api sederhana sambil mengacau. biar masak seketika dan masukkan santan. Kacau supaya kuah tidak pecah minyak. Perasakan dengan garam dan gula.Biarkan mendidih, kemudian tutup api dan angkat.
B. Bahan-bahan Laksam2 cawan tepung beras
½ cawan tepung gandum
1 sudu kecil garam
2 cawan air panas, 1 cawan air biasa
Minyak masak
Cara Memasak Laksam
Panaskan pengukus bersama tudung periuk yang telah dileser minyak.Bancuh tepung beras, tepung gandum dengan air suam dan gaul hingga sebati. Pastikan adunan tidak berketul.Sendukkan adunan dan tuangkan ke dalam tudung periuk atau loyangTutup pengukus, kukus hingga adunan tepung menggelembung (dalam 5 minit), angkat tudung periuk, letak tepi. Sejukkan sekejap, cungkil laksam dan gulung. Hati-hati kerana ianya masih panas.Lap bersih tudung periuk, sapu minyak dan ulangi proses mengukus.
C. Bahan-bahan Cili Pencicah 5 biji cili merah
3 biji cili padi
Garam dan gula secukup rasa
4 biji limau nipis, ambil jusnya
Cara Menyediakan Sambal
Tumbuk atau kisar cili bersama garam dan gula. Masukkan ke dalam mangkuk dan perah jus limau nipis dan kacau biar sebati.
D. Bahan-bahan Ulaman1 biji timun batang
4 batang kacang panjang
Secekak taugeh
Secekak daun kesum
1 kuntum bunga kantan
Cara Menyediakan UlamanBasuh dan bersihkan kesemua sayuran dan toskan. Belah timun, buang biji dan cincang atau sagat. Hiris daun kesum, kacang panjang, bunga kantan dan bawang merah.
Cara Hidangan
Potong gulungan Iaksam dengan menggunakan gunting ke dalam mangkuk dan tuangkan kuah laksam ke atasnya. Tabur ulam-ulaman, letak cili dan perah limau kalau suka lebih masam.
Selamat mencuba
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.iamfuzy.com/2023/06/resepi-laksam-homemade-dengan-kuah.html