Remaja Ajar Mengaji Percuma Walaupun Hidup Daif
TAWAU - Walaupun hidup daif dan serba kekurangan, keadaan tersebut tidak menghalang seorang remaja untuk mengajar kanak-kanak mengaji secara percuma di Kampung Tawau Lama
Perkongsian video tersebut yang dimuat naik oleh Vitaminbae di saluran YouTubenya itu menyentuh hati pelbagai pihak dan kini tular di laman web tersebut, selain meraih 14,300 tontonan serta menerima 1,400 tanda suka
Rahmat Ansir, 18, berkata, pada mulanya tidak berniat untuk membuka kelas mengajar al-Quran, namun keinginan mula timbul apabila jirannya merayu supaya dia mengajar anaknya mengenal al-Quran
"Ada orang di sini (jiran) minta tolong saya untuk mengajar anaknya mengenal al-Quran, namun aku bilang diriku sendiri tidak seberapa juga tetapi dia merayu pada saya asalkan anaknya pandai alif ba ta. Aku terima, alhamdulillah anaknya kini sudah mengenal al-Quran
"Keesokan harinya, aku menerima lagi murid baharu setelah dibawa oleh jiranku tadi dan alhamdulillah, sekarang sudah ada 20 hingga 30 murid aku mengajar, namun kadang-kadang aku kesian pada muridku kerana rumahku tempat mengajar sangat kecil dan tidak selesa," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Rahmat yang menetap dengan neneknya berkata, timbul perasaan malu pada dirinya untuk mengajar kanak-kanak itu kerana dia tidak habis melanjutkan pelajarannya di sebuah madrasah di Indonesia kerana mahu menjaga neneknya, seorang penjual kuih di Sabah
"Dalam hati berdosa sebab pengajianku tidak sehebat orang lain yang boleh khatam al-Quran tetapi kesian budak-budak di sini yang betul-betul mahu belajar mengenal al-Quran, malah aku akan berpesan pada murid-murid jika diriku ada salah, beritahu abang (Rahmat) sebab abang pun baharu belajar dan kita sama-sama belajar
"Kalau ikutkan al-Quran, iqra dan kelengkapan mengaji di sini memang tidak cukup dan kebanyakannya semua diberikan oleh orang ramai dan ibu bapa pada murid-muridku
"Aku kesian pada mereka sebab bila waktu padat iaitu selepas maghrib, mereka akan berkongsi al-Quran dan ada juga yang berebut-rebut, namun itu sahaja yang aku mampu," katanya
Dalam pada itu, Rahmat berkata, dia juga mengambil tindakan yang mulia mengutip buku-buku lama yang diajar di sekolah atau meminta daripada rakan-rakannya bagi tujuan pembelajaran kanak-kanak di situ yang tidak bersekolah disebabkan kurang berkemampuan
Menurutnya, dia juga membuat satu tabung untuk anak-anak berkenaan demi mengajar murid-muridnya menabung supaya duit tersebut dapat digunakan mereka untuk membantu ibu bapa mereka, jika keadaan terdesak untuk menggunakan duit
"Sudah tiga kali tabung itu dipecahkan oleh pencuri, namun aku kumpul duit upahku dan telah aku gantikan semula supaya murid-murid ini dapat gunakan dan beri kepada ibu bapa mereka
"Di sini kebanyakannya kurang berkemampuan dan kalau nak mengaji pun jauh dari kampung. Ini juga sebab aku mengajar anak di sini mengaji," katanya
Sumber: Sinar Harian
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://sensasi247.blogspot.com/2019/10/remaja-ajar-mengaji-percuma-walaupun.html