Ramadhan Cabaran Hadap Matahari Terik 24 Jam Di Svalbard Norway
Khairul Fuad mengambil foto dengan berlatar belakangkan aurora
MATAHARI terik di atas kepala selama 24 jam, situasi itu dilalui umat Islam di Svalbard, Norway sejak hari pertama berpuasa sempena Ramadan pada tahun ini.
Ia bukan asing sebaliknya kebiasaan bagi penduduk di kepulauan utara itu setiap kali tiba musim panas namun tentunya menimbulkan kemusykilan buat umat Islam yang menunggu waktu tenggelamnya matahari untuk berbuka puasa disusuli saat terbit fajar sebagai tanda berakhirnya waktu bersahur.
Rakyat Malaysia yang menetap di sana, Khairul Fuad Junaidi, 24, berkata, melalui bulan Ramadan tanpa waktu malam bukan bermakna mereka berpuasa selama 24 jam tanpa henti.
Sebaliknya, kata anak kelahiran Sabah yang mesra disapa Khai itu, setiap hari ketua agama Islam Norway akan mengemas kini waktu berbuka dan imsak di laman Facebook rasminya untuk rujukan umat Islam di Norway termasuk Svalbard.
Khai berkata, ketika ini mereka berpuasa kira-kira 21 jam sehari dengan waktu Maghrib ditetapkan sekitar jam 10.30 malam diikuti Subuh pada jam 1.50 pagi.
Disebabkan itu, Khai memanfaatkan tiga jam yang ada untuk mengisi perut selain melakukan ibadat sunat seperti solat Tarawih dalam tempoh singkat itu.
"Pada tahun pertama, saya akui gagal berpuasa penuh kerana badan belum biasa dengan suhu sejuk begini malah saya juga demam agak lama.
"Tetapi apabila masuk tahun kedua, puasa bukan lagi satu masalah dan saya juga biasa masak sendiri di rumah jadi makanan memang sentiasa ada di rumah untuk saya berbuka dan sahur setiap hari."Dari segi perintah kawalan pergerakan, kami di Svalbard tidak dikenakan sebarang perintah seumpama itu disebabkan tiada langsung kes Covid-19 direkodkan."Di pulau ini cuma ada sekitar 2,000 penduduk, mungkin beruang kutub lebih banyak berbanding kami (manusia) di Svalbard," katanya.
Berbanding Khai yang sudah empat tahun merasai pengalaman berpuasa lebih 20 jam, Siti Noor Aida Mohamad, 35, pula mengakui sedang membiasakan diri berpuasa selama 19 jam selepas memulakan tugas di kedutaan Malaysia di Helsinki, Finland, awal tahun ini.Dipindahkan ke negara Scandinavian itu selepas beberapa tahun berkhidmat di kedutaan Malaysia di Vientiane, Laos, Aida berkata, ketika ini umat Islam di Helsinki berpuasa mulai jam 3.30 pagi hingga 9.30 malam.
SITI Nor Aida bergambar bersama suami, Mohd Najmuddin dan tiga anaknya ketika berbuka puasa.
Aida mengakui agak sukar untuk sesuaikan waktu untuk berbuka, sahur serta tidur disebabkan semuanya seakan-akan berlaku dalam masa beberapa jam saja.
Ibu kepada tiga anak ini masih menyusukan anak bongsunya, Ayden Niyaz Mohd Najmuddin yang berusia setahun, ia memberi lebih cabaran untuknya mendapatkan makanan serta tidur yang secukupnya.
"Waktu Isyak akan masuk sekitar jam 11 malam jadi selepas solat Isyak dan solat sunat Tarawih, kami akan tidur sebelum bangun semula pada jam 2.30 pagi untuk bersahur."Selepas sahur, kami akan solat Subuh dan tidur semula sehingga kira-kira jam 7 pagi untuk bangun dan bersiap ke tempat kerja."Mujur anak sulung saya yang berumur 11 tahun, Adib Naufal masih mampu berpuasa penuh setakat ini namun adiknya, Afya Nuwaira, 7, saya beri kelonggaran untuk berbuka lebih awal kerana bimbang dia tidak tahan."Cuaca di sini memang sejuk tetapi kering menjadikan tekak kita juga kering."Apapun, pengalaman ini tetap mengujakan kerana ia setidak-tidaknya dapat melihat sejauh mana kita bertahan untuk pastikan rukun Islam ketiga ini dapat disempurnakan," katanya mengakhiri perkongsian.
-myMetro
Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:
Ditaja oleh FeedBurner
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://bloginfo4uall.blogspot.com/2020/05/ramadhan-cabaran-hadap-matahari-terik.html?utm_source=feedburner&utm_medium=feed&utm_campaign=Feed%3A+BlogSensasi+%28Blog+Sensasi%29