Program Ehati Luar Dari Kebiasaan
Ramai mengatakan ini sesuatu di luar norma biasa orang Melayu. Akan tetapi, benarkah ini sesuatu yang terkeluar dari kebiasaan orang Melayu?
Habis geger dan kecoh masyarakat tersentak, lantas gamam heboh lantaran dakwaan terdapatnya aktiviti bogel pada program motivasi rumah tangga (eHATI) ‘Queens Night’ di Pusat Konvensyen IDCC, Shah Alam pada 27 hingga 30 Sept 2024.
Ramai mengatakan ini sesuatu di luar norma biasa orang Melayu. Akan tetapi, benarkah ini sesuatu yang terkeluar dari kebiasaan orang Melayu?
Hal ini tidak sepenuhnya benar jika kita meninjau ragam seks orang Melayu pada abad ke-19. Beberapa trend sosial yang ada dalam Revolusi Seks di Eropah seperti penegasan dominasi lelaki, perubahan cara fikir berhubung preskripsi fungsi dan jangkaan seks, penerimaan lebih terbuka mengenai tubuh dan emosi, tercabarnya kedudukan kuasa, pendedahan mengenai pendidikan seks dan perbincangan terbuka mengenai ragam seks dalam kalangan orang Melayu sudah dapat dilihat dalam zaman tersebut.
Begini; dunia Barat menyaksikan apa yang dinamai sebagai Revolusi Seks dalam tahun 1960an. Perbincangan terbuka mengenai hak pengguguran anak, musim panas cinta di England pada 1967 (summer of love), kebangkitan anak muda dalam berahi di Paris mulai Mei 1968 dan imej New York’s Stonewall Inn sebagai gerakan LGBT pada 1969 antara produk Revolusi Seks yang memperlihatkan pesta Woodstock, feminisme, emansipasi homoseksual dan pemaparan terbuka mengenai seks dan tubuh manusia diperagakan secara besar-besaran.
Dekad ini menyaksikan institusi tradisional seperti perkahwinan, gereja dan keluarga nuklear menjadi ejekan. Ia adalah era yang disebut oleh Gert Hekma dan Alain Giami dalam Sexual Revolutions: An Introduction, sebagai era seksualiti menjadi sesuatu yang bersifat politik dan masyarakat diperkenalkan atau belajar mengenai seks secara terbuka, ‘sexuality became politicised and society eroticised’.
Dalam konteks ini, Revolusi Seks adalah gerakan yang menggunakan kehidupan seharian dan merangkumi pelbagai aspek kehidupan termasuklah undang-undang, pendidikan, kesihatan dan agama, di mana aspek-aspek ini dihujahkan dan dikerangkakan menurut cara pandang yang seksual.
Sebenarnya, ragam seksual orang Melayu pada abad ke-19 sudah cukup mengejutkan. Terdapat banyak bukti mengenai hal ini dan saya sudah pun menulis sebuah makalah akademik darihal ini, yang berjudul ‘Transcripts of Gender, Intimacy, and Islam in Southeast Asia: The “Outrageous” Texts of Raja Ali Haji and Khatijah Terung ’ (muat turun: https://www.mdpi.com/2077-1444/12/3/219)
Dalam tulisan ilmiah di atas, saya mengemukakan bukti secara akademik untuk mengesahkan bahawa masyarakat Melayu telah mengalami Revolusi Seks yang pesat di abad tersebut, yang mana terdapatnya gejala ‘sexuality became politicised and society eroticised’ sebagai satu aspek utama dalam Revolusi Seksual, seperti berlaku di Barat.
Akan tetapi sebagai seorang sosiologis, persoalan paling utama adalah apakah yang menjadi punca kepada gejala ‘nakal dan berani’ ini?
Untuk menjawab bagaimana mulanya mereka nakal, mungkin kita boleh melontar balik diri kepada jantungnya Melayu, iaitu di Riau, dan bagaimana orang Melayu ‘diganggu lingkungan keberagamaannya’ oleh elit pemerintah Bugis.
Perkembangan politik sepanjang 1820-1890an di alam Melayu sebetulnya mengakibatkan pemendaman manifestasi seks orang Melayu yang akhirnya meledak dalam bentuk pengamalan seksual yang tidak tahu malu dan kurang ajar.
Tetapi bagaimana kebejatan seksual ini terjadi?
Barbara Watson Andaya seperti yang beliau nukilkan di dalam tulisan berjudul ‘Gender, Islam and the Bugis Diaspora in Nineteenth and Twentieth-Century Riau’ mempersoalkan kemungkinan Raja Ali Haji dan Raja Ahmad Haji yang menunaikan haji pada 1828 telah terdedah kepada fahaman Wahhabisme, memandangkan ia sempat merebak di Sumatera. Kedua-duanya kemudian mendominasi siasah Melayu, dan beban pemikiran mereka dibawa sehingga ke hari ini.
Salah satu pengaruh utama terhadap pandangan dunia Raja Ali Haji ialah tekanan semakin meningkat dalam kalangan umat Islam global terhadap pematuhan lebih teguh kepada asas-asas agama, di samping penolakan yang semakin kuat terhadap unsur-unsur tambahan (bid‘ah) yang sering mencemari amalan Islam.
Perlu difahami seruan untuk menyucikan akidah bukanlah sesuatu yang baharu dalam Islam di Alam Melayu, tetapi pada separuh kedua abad ke-18, gerakan reformasi mendapat dorongan baharu berikutan peristiwa di Tanah Arab, di mana gerakan Wahabi telah mencetuskan satu kuasa baru yang berpengaruh.
Sangat kritikal terhadap keruntuhan moral dan penyelewengan terhadap idealisme Islam yang dilihat berlaku di sekelilingnya, ajaran Muhammad bin Abdul Wahab (1703–1787) menjadi inspirasi keagamaan di sebalik gerakan Islam yang berusaha mengambil alih kepimpinan negara Arab. Para pengikutnya percaya dengan berbuat demikian, mereka dapat meremajakan masyarakat Islam dengan kembali kepada agama yang murni berasaskan panduan para ulama yang tidak dipersoalkan kewibawaannya. Mereka khususnya mengecam ‘urusan yang tidak sah dengan perempuan’, ‘nafsu yang keji’ serta keruntuhan akhlak yang dikaitkan dengan umat Islam yang tidak direformasi.
Wahabi telah menawan Mekah pada 1803, dan segera melaksanakan dasar-dasar mereka – paling dramatik ialah terhadap binaan makam di atas kubur tokoh-tokoh Islam yang dihormati, serta amalan ‘syirik’ seperti berdoa di tempat-tempat tersebut. “Di Mekah” lapor seorang pengembara British yang berada di Arab ketika itu, “tiada satu pun kubah yang dibiarkan kekal di atas kubur mana-mana tokoh Arab terkenal; termasuk yang menutupi tempat kelahiran Nabi Muhammad, cucu baginda Hassan dan Husain, bapa saudaranya Abu Talib, serta isterinya Khadijah – semuanya dirobohkan.”
Sikap keras terhadap masyarakat dan pendekatan ketat Islam ini kemudian dibawa ke alam Melayu. Kesan perkembangan ini segera dirasai di Nusantara. Keghairahan reformasi ala Wahabi ini merebak ke Minangkabau dalam bentuk Perang Padri. Berita tentang penawanan Mekah dan Madinah oleh Wahabi juga tersebar dengan pantas melalui lisan, bahkan diari Bugis dan Makassar yang merekodkan kisah saksi mata juga telah diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu. Kehadiran guru-guru Arab yang semakin meluas serta pengaruh ulama tempatan yang menuntut ilmu di pusat-pusat besar dunia Islam iaitu di Hijaz ketika itu turut menjadi faktor penting.
Di Riau, jantungnya umat Melayu khusus di era Raja Ali Haji dan Raja Ahmad Haji ini, sebarang kelalaian terhadap kewajiban agama dihukum dengan melampau; dikatakan pada waktu solat, pengawal bersenjata dengan kayu besar akan meronda di jalanan untuk memaksa orang masuk ke masjid. Mereka yang meninggalkan solat harian dihukum, dan pemakaian sutera serta perhiasan emas diharamkan sama sekali. Soal maqasid, politik nahi mungkar; dan psikologi dakwah memang tiada ketika itu.
Ketika pemerintahan Yang Dipertuan Muda di atas, khusus Yang Dipertuan Muda Raja Ali perubahan kerangka budaya agama Islam yang cenderung kepada kekangan dan hukuman memberi tekanan hebat kepada umat yang masih jahil. Maka pemendaman terjadi, termasuk dalam bentuk seksual.
Sejarawan Virginia Matheson menggambarkan ciri pemerintahan Yang Dipertuan Muda Raja Ali yang dipupuk kemewahan sambil menekankan agama sebagai teras pemerintahannya. Ketika era Yang Dipertuan Muda Raja Ali ini, baginda nampaknya berlebihan dalam mengekang masyarakat Melayu-Islam. Misalnya baginda melarang pemakaian emas dan sutera, meskipun terdapat keterangan baginda sendiri mengenakannya.
Baginda Raja Ali juga tersangat membenci mereka yang tenggelam dalam keseronokan yang membawa kepada kelakuan sumbang antara lelaki dan perempuan, termasuk mereka yang menyanyi dan melagukan pantun. Namun, hal di atas hanyalah nampak terpakai untuk orang bawah. Hubungan Baginda dengan Gabenor Jeneral Belanda di Betawi lebih sering menjadi buah mulut.
Kekangan atau hukuman terpilih di atas meletuskan Revolusi Seks Melayu yang kemudiannya gagal diurus ulama, dan menular senyap dalam masyarakat. Ia akan muncul sekali-sekala sepanjang zaman. Motto zaman berzaman ialah ‘untuk masyarakat haram, tetapi untuk elit pemerintah dibolehkan’. Makanya pemendaman ini menular mencari rekah kecil untuk keluar, dan terbit dalam bentuk Revolusi Seks tadi.
Letupan seks ini pernah meledak di abad ke-19, muncul kembali dalam 1950-1960an; dan kemudian kembali dalam bentuk bohsia dan bohjan di era 1990an, dan kini terbit semula dalam bentuk yang lebih Islamik.
Hari ini, masyarakat kita lekas berasa jengkel dan jijik dengan kepesongan seks, tetapi masyarakat juga lupa di negeri atau komuniti terlebih Islam lah, gejala seks songsang, rogol bawah umur, sumbang mahram dan liwat lebih menjadi-jadi. Riau pernah melaksanakan hudud, tetapi Riau juga dikejutkan dengan Revolusi Seks.
Penegasan akhir: apakah kaitan kejumudan, kekangan, pendekatan keras-ekstrem-menghukum yang dianjurkan oleh pemerintah Melayu dengan Revolusi Seks orang Melayu ketika itu?
Sebenarnya, fenomena akal badi Melayu dan ketidaksenonohan ini menarik untuk dikaji dengan menghubungkan kembali gejala tiada segan silu ini dengan gejala keberagamaan.
Satu kajian daripada Brien K Ashdown, Jana Hackathorn, dan Eddie M Clark dalam ‘In And Out Of The Bedroom: Sexual Satisfaction In The Marital Relationship’ menyatakan lingkungan agama memainkan peranan penting dalam menentukan kepuasan seksual seseorang individu, di mana lebih ketat seseorang itu mematuhi lingkungan keagamaan, semakin ia dihubungkan dengan keresahan seksual, ketidakpuasan malah kegagalan fungsi seks.
Mungkin, masyarakat yang lebih relaks (tetapi bukanlah bermaksud bebas), akan lebih tenang dalam menangani fenomena seksual terpendam ini. Mungkin juga tulisan saya ini akan ditepis dan dikesampingkan dengan mudah kerana rujukan saya memang semuanya sarjana Barat. Tetapi sayugia diingatkan, memang mudah untuk kita menolak bulat-bulat hujah rumit di atas, ketimbang kita bermuhasabah.
Jika pembaca boleh bersabar dan berani memuat turun makalah ilmiah yang saya sentuh lebih awal di atas, lantas membacanya, khalayak akan mendapati bahawa perihal akal badi Melayu iaitu kepesongan seks ini berlaku dalam banyak keadaan bukan sangat kerana Barat, tetapi kerana diri kita sendiri. Iaitu masyarakat yang ditekan secara seksual (sexually repressed), dengan penggunaan agama akan mengalami kegasangan seksual (sexual obsessive) setara dengan tekanan yang dialami. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://malaysiansmustknowthetruth.blogspot.com/2025/07/program-ehati-luar-dari-kebiasaan.html