Prn Johor Kembali Kepada Sistem Dua Parti
Oleh: Hassan Abdul Karim
ULASAN: Terdapat satu slogan di Johor dalam Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14), pada tahun 2018 yang berbunyi:" Jika Umno-BN tumbang di Nusajaya (Johor) maka Umno-BN juga akan tumbang di Putrajaya (Kerajaan Persekutuan)".
Andaian itu tepat berlaku pada PRU14. Umno-BN hilang majoriti dalam Dewan Undangan Negeri Johor. Kerajaan Pakatan Harapan (PH) terbentuk di Nusajaya, kini dinamakan Kota Iskandar. Dari 26 kerusi parlimen di Johor, Umno-BN hilang 18 kerusi parlimen kepada PH. Putrajaya tumbang. Kerajaan PH di Putrajaya terbentuk.
Mengapa perkara ini boleh berlaku? Sebab rakyat Johor mudah memilih. Hanya ada dua pilihan. Sama ada menyokong Umno-BN yang diketuai oleh pemimpin kleptokrat yang mencuri wang negara dan wang rakyat melalui skandal RM50 bilion 1MDB atau memilih PH sebuah gabungan parti politik yang ingin membawa agenda reformasi?
Sistem dua parti tenggelam
Mandat rakyat pada PRU14 di Johor dan di seluruh Malaysia pada tahun 2018 tersebut ialah memilih PH dan menolak Umno-BN. Jelas. Mudah.
Tetapi dalam Pilihan Raya Negeri Johor (PRN) pada 12 Mac ini sistem dua parti telah tenggelam. Terlalu banyak parti politik bertanding. Banyak yang mencuba untuk buat pertama kali di Johor. Mencuba nasib. Kalau untung timbul, kalau rugi tenggelam. Tetapi pilihan raya umum negeri Johor bukanlah satu perjudian.
Rakyat Johor jelas bijak memilih pada PRU14. Johor adalah kubu kuat Umno-BN sejak Merdeka, lebih 60 tahun yang lalu. Tetapi atas sebab rasuah, salahguna kuasa, gagal mentadbir negeri dan negara secara amanah dan telus maka rakyat Johor telah menolak Umno-BN.
Walau banyak manapun parti politik yang bertanding dalam PRN Johor pada 12 Mac ini, tetapi sistem dua parti masih tetap wujud. Pertandingan sebenar ialah antara KEADILAN-PH sebagai satu gabungan yang telah diberi mandat oleh rakyat Johor pada PRU14 lalu dengan Umno-BN satu lagi gabungan parti yang telah ditolak rakyat buat pertama kali pada tahun 2018.
Inilah sebenarnya pilihan rakyat Johor. KEADILAN-PH di satu pihak lawan Umno-BN di pihak satu lagi?
Legasi pengkhianat mandat rakyat
Parti-parti yang lain ada liabiliti politik masing-masing. Misalnya, Parti Bersatu dalam Perikatan Nasional membawa legasi pengkhianatan kepada mandat rakyat.
Parti Pejuang pula membawa bagasi politik buruk kerana pernah bertanggungjawab meruntuhkan Kerajaan Persekutuan PH.
Parti Bangsa Malaysia, PBM ada unsur pengkhianatan di dalamnya kerana ahli parlimen dan Adun yang melompat parti.
Manakala Parti Warisan, Muda dan Parti Sosialis Malaysia, PSM walaupun kesemuanya adalah pendatang baru di Johor, tetapi parti-parti politik ini berpotensi dan berupaya berkerjasama dengan PH untuk kebaikan masa hadapan rakyat dan negara. Atas nama demokrasi mereka dialu-alukan.
Kesimpulannya dalam PRN 12 Mac di Johor ini, sistem dua parti kembali lagi iaitu KEADILAN-PH lawan Umno-BN.
Jika Umno-BN menang di Johor, maka peluang untuk golongan kleptokrat, perasuah dan penjenayah politik dan ekonomi kembali berkuasa dalam PRU15 akan datang dan akan menjahanamkan negara.
Jadi tanggungjawab seluruh rakyat Johor yang akan mengundi pada 12 Mac nanti ialah untuk memilih KEADILAN-PH bagi menyelamatkan Johor dan juga Malaysia.
Selamat Mengundi Dengan Bijaksana._____________________________________________________________________________
Penulis merupakan Ahli Parlimen Pasir Gudang
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://wrlr.blogspot.com/2022/03/prn-johor-kembali-kepada-sistem-dua.html