Pn Belum Habis Mengigau
Sejak menang undi percaya bagi mengesahkan keabsahannya sebagai perdana menteri dalam sidang Parlimen pertama selepas PRU15 pada 20 Dis 2022, agak-agak berapa kali Anwar Ibrahim mencabar pembangkang membawa undi tidak percaya terhadapnya? Entah. Dah tak terbilang rasanya.
Kerapnya Perikatan Nasional (PN) berdrama mengancam untuk menjatuhkannya dari tampuk kuasa juga dah tidak terhitung hingga Anwar menggelar mereka pihak yang tidak berhenti-henti mengigau selepas dua tahun kerajaan perpaduan dengan restu Yang di-Pertuan Agong ke-16 terbentuk.
Anehnya mereka tidak pula serik-serik. Undi percaya terhadap Anwar 26 bulan lalu itu – diluluskan dengan persetujuan suara majoriti tanpa PN meminta supaya undian belah bahagi dilakukan – menolak kononnya keabsahan sokongan terhadap Anwar sebagai mencurigakan.
Di samping menelanjangi Pengerusi PN Muhyiddin Yassin sebagai berbohong kononnya mempunyai sokongan 115 ahli Dewan Rakyat, hakikatnya jelas ketika itu bahawa gabungan pembangkang hanya mendapat sokongan 74 ahli.
Sokongan 147 ahli Dewan Rakyat (Ahli Parlimen Mukah Hanifah Hajar Taib hanya hadir selepas undian) atau majoriti 2/3 sokongan kepada kerajaan perpaduan adalah fakta, bukan auta.
Apakah pembangkang dapat disenyapkan? Tidak sama sekali dengan pelbagai dakwaan baharu ditimbulkan. Kalau pun bukan realiti, ia sarat dengan imaginasi.
Mengulangi cabarannya pada 14 Mei 2023 dan sekali lagi pada 30 Julai 2023, kali ini Anwar memberi jaminan usul undi tidak percaya ke atasnya tidak akan ditolak jika dikemukakan kepada speaker Dewan Rakyat dengan janji berikut: “PAS, Bersatu kalau ada undi bawa usul…bawa, saya tidak sekat. Saya bukan macam Muhyiddin Yassin, bila ada usul umum darurat.”
Kemudian, perdana menteri sekali lagi melontarkan cabaran pada 11 Jan 2024 menyusuli dakwaan Ketua Pengarah Pilihan Raya PN Sanusi Nor bahawa PN sudah mempunyai jumlah akuan bersumpah (SD) yang mencukupi untuk menumbangkan kerajaan – sesuatu yang disokong penulis blog Raja Petra Kamarudin yang menyebut sekitar 120 SD.
“Dah lama kita tunggu (usul tidak percaya) dah setahun. Hari-hari kita tunggu tetapi tak ada, jadi kita tak ada fikir apa-apa. Saya tidak fikir mereka ada kekuatan untuk bawa SD selain propaganda untuk menipu penyokong supaya tak hilang semangat. Sekarang dah terbukti semua itu sekadar politik cemas dalam kalangan mereka yang kehilangan modal,” katanya.
Reda seketika kira-kira lapan bulan, Anwar sekali lagi mencabar pembangkang untuk membawa usul undi tidak percaya terhadapnya pada 20 Sept 2024 sambil memperlekehkan pembangkang supaya mengikut undang-undang dan bukan hanya bermain sentimen atau bersorak mahukannya turun.
“Ada 30 orang suruh Anwar turun (daripada jawatan perdana menteri). Dia ingat negara ini tiada peraturan, tak ikut hukum, tiada sistem (Parlimen)? Kalau nak suruh turun, sila bawa usul undi tidak percaya pada sidang Dewan Rakyat, Oktober ini. Kalau usul itu lambat sekalipun, saya luluskan,” katanya ketika berucap dalam Himpunan Keadilan: Suara Rakyat Suara Keramat di ibu negara.
Dan seakan-akan menepati kitarannya kira-kira enam hingga lapan bulan setiap kali, PN kembali mengigau apabila Muhyiddin selaku presiden Bersatu mengarahkan jentera parti itu digerakkan segera bagi menghadapi kemungkinan PRU mengejut hujung tahun ini di sebalik penggal pentadbiran kerajaan perpaduan hanya akan tamat pada 2027.
Sekurang-kurangnya empat penyokong kerajaan – Syahredzan Johan (Bangi), Bung Moktar Radin (Kinabatangan), Azli Yusof (Shah Alam) dan R Yuneswaran (Segamat) – menepisnya sebagai omong kosong semata-mata kerana tiada keperluan mendesak untuk ia diadakan selain ia tidak lebih daripada provokasi politik.
“Saya kira Bersatu sekarang ini dalam keadaan lemah dan mungkin ini cara nak kejutkan jentera yang lesu,” kata Azli sambil Yuneswaran menokok: “Bersatu sengaja mengeluarkan kenyataan itu bagi mengalihkan isu perpecahan dalam parti.”
Dalam pada itu, mungkin tidak tepat untuk hanya memperlekeh kejutan dicanangkan oleh Bersatu pada ketika mereka melihat ada dua isu besar yang boleh dieksploitasi untuk menimbulkan keresahan terhadap kenaikan kos sara hidup yang tidak berhenti-henti dicanangkan mereka sebagai menyusahkan lagi rakyat.
Sama seperti modal kempen PN menuju PRK Sungai Bakap pada 6 Julai 2024 apabila penyasaran semula subsidi diesel membawa limpahan kesusahan, pelarasan subsidi RON95 yang dijangkakan pelaksanaannya pada Julai atau Oktober nanti adalah ‘lubuk’ untuk mereka menangguk di air keruh.
Selain itu, di sebalik jaminan Anwar bahawa 85% isi rumah akan terus mendapat subsidi dalam sebarang kenaikan tarif elektrik pada separuh kedua 2025, pembangkang pastinya akan memanfaatkannya untuk menimbulkan persepsi berlawanan.
Mereka sudah melakukannya ketika kempen PRK Nenggiri pada 17 Ogos 2024 dan tiada apa yang boleh menghalang pembangkang daripada mengapi-apikan kemarahan rakyat terhadap kesan kos perkhidmatan dan harga barang yang perlu diserap sektor industri.
Itu belum lagi dikira ketamakan peniaga yang menantikan sekecil-kecil alasan untuk menaikkan harga, sama seperti rasionalisasi subsidi diesel yang sepatutnya tidak menjejaskan mereka.
Seperti kata Anwar sebelum ini: “Pembangkang tidak henti-henti menggunakan naratif yang menentang usaha dan kejayaan kerajaan perpaduan. Apa lagi yang tidak kena, dalam ceramah mereka semua tidak kena, mereka kata ekonomi kita hancur padahal ringgit kita sedang mengukuh.”
Pembangkang mungkin terus mengigau tetapi kerajaan juga harus sentiasa beringat untuk tidak terus dibuai mimpi indah. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://malaysiansmustknowthetruth.blogspot.com/2025/02/pn-belum-habis-mengigau.html