Pm Rasmi Konvensyen Padi Kebangsaan 2019 Di Kedah
Hari ini berlangsung Konvensyen Padi Kebangsaan 2019 di TH Hotel, Alor Setar, Kedah.
Konvensyen ini dirasmikan oleh YAB Tun Dr Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia. Turut bersama beliau ialah YAB MB Kedah; Dato' Seri Hj Mukhriz Tun Mahathir. Menteri Pertanian dan Industri Asas tani, YB Dato' Salahudin Bin Ayub juga Exco-Exco Kerajaan negeri dan pegawai-pegawai tertinggi Kerajaan.
Dalam ucapan YAB MB, beliau berkata,
Penganjuran konvensyen ini dijadikan platform untuk pelbagai pihak berkongsi pengetahuan, pengalaman dan pendapat serta idea tentang isu-isu semasa dan terkini dalam industri padi dan beras. Perkongsian teknologi peningkatan hasil melibatkan pembentang-pembentang dari negara Asean (Vietnam, Filipina dan Indonesia) dan ikon-ikon peladang tempatan yang boleh diadaptasi untuk meningkatkan hasil padi.
Seiring dengan aspirasi Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Kedah bertekad untuk memastikan industri padi terus kompetitif dan mampu menjadi sumber ekonomi pesawah yang mampan. Ini dapat dicapai menerusi program pengusahaan sawah secara berskala besar, atau berkonsepkan estet padi.
Berdasarkan maklumat terkini, produktiviti padi negara telah mencapai tahap yang optima tetapi masih tidak mampu melepasi purata pendapatan pesawah kumpulan B40. Ini kerana purata saiz usaha di kalangan pesawah adalah kurang daripada dua hektar, yang dirasakan tidak menguntungkan dari segi ekonomi.
Walaupun peruntukan subsidi secara puratanya disalurkan sebanyak RM1.9 Bilion setahun untuk industri padi dan beras di antara tahun 2010 hingga 2018, namun rekod menunjukkan bahawa purata pendapatan pesawah masih rendah. Di Semenanjung Malaysia, pendapatan pesawah hanyalah sebanyak RM633 sebulan, bagi setiap hektar yang diusahakan.
Kita mahu menjadikan sektor penanaman padi ini satu bidang ekonomi yang berdaya maju dan sumber sara hidup yang menguntungkan. Kerajaan berhasrat untuk menggalakkan petani-petani mengusahakan sawah berkeluasan sekurang-kurangnya lima hektar bagi mencapai tahap pendapatan RM4,000 sebulan.
Kita mahu melahirkan Usahawan Padi Muda yang terlibat dalam sektor padi secara komersial. Kita sedar bahawa rata-rata pesawah berusia 60 tahun ke atas. Generasi muda perlu dilibatkan dalam sektor pertanian ini, tetapi haruslah ianya menjanjikan pulangan yang lumayan dan menguntungkan.
YAB PM juga mahu petani berusaha menambah pendapatan dengan cara baru,
Mempelajari dari pengalaman industri getah dan kelapa sawit, ada baiknya jika penanaman padi juga dibuat secara besar-besaran. Ini boleh diadakan jika pemilik tanah yang berjiran sanggup cantumkan tanah mereka sehingga menjadi besar – mungkin 1000 atau 2000 hektar. Ladang yang luas ini perlu diurus oleh pengurus yang terlatih. Jentera-jentera yang sesuai boleh diguna secara lebih ekonomik. Demikian juga alatan seperti drone boleh menentukan tidak ada kawasan yang tertinggal.
Jika boleh digabung semua tanah sawah yang kecil ini, boleh menjadi besar dan hasilnya juga berlipat kali ganda jika diselia dengan betul.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://mukhrizmahathirfc.blogspot.com/2019/09/pm-rasmi-konvensyen-padi-kebangsaan.html