Perjuangan Kemerdekaan Dari Kaca Mata Seorang Bekas Polis
 Aliff Fikr
 Krishnan Nair Raman Nair mengenang pahit maung ketika beliau aktif berkhidmat termasuk berdepan komunis. 

Pesara polis,  Krishnan Nair Raman Nairmelihat semula gambar-gambar kenangan semasa  dalam perkhidmatannya dengan pasukan Polis Persekutuan Tanah Melayu di  Flat Sri Melaka, Cheras.     Walaupun sudah  lebih 60 tahun negara mengecap kemerdekaan, masih segar dalam ingatan  seorang bekas polis tentang susah payah orang-orang terdahulu dalam  perjuangan menuntut kemerdekaan.
Koperal bersara Krishnan Nair Raman Nair, 85, lahir di  Sungai Kasap, Segamat, Johor pada 1936 yang merupakan antara individu  terawal menyertai pasukan polis yang waktu itu dinamakan “Federation of  Malaya Police Force” bawah seliaan Inggeris pada 1953.
“Masa muda-muda dulu pernah ada saudara saya suruh saya  masuk kerja di Lembaga Letrik Pusat, tapi saya tolak,” katanya kepada  MalaysiaNow ketika ditemui di rumahnya di Cheras, Kuala Lumpur.
  Krishnan  menghadiri temudaga polis di Muar, Johor dan kemudiannya diterima masuk  sebelum dihantar ke Tanjung Kling, Melaka selama tiga bulan bagi  menjalani latihan.
“Selepas tamat latihan, mereka menghantar saya ke Balai  Polis Tangkak, seterusnya diminta ke Sagil di Muar untuk menjalani  operasi bagi membanteras komunis di sana sekitar tahun 1954,” katanya.
“Kami dapat maklumat dari perisik di Tangkak dan terus  diminta ke sana mengepung pekan Sagil. Kami berjaya menembak mati dua  orang komunis ketika itu dan bawa mayat mereka ke ASP Polis Tangkak,  Gurchan Singh.”

Krishnan  menunjukkan kurniaan pingat dan surat pengiktirafan yang dari Ratu  Elizabeth II semasa pemerintahan Britsh di Tanah Melayu ketika ditemui  di Flat Sri Melaka, Cheras.Krsihnan merujuk kepada Gurchan yang dikenali kerana  kegigihan melawan penjajahan Jepun dari 1942 hingga 1945 sehingga  digelar “Singa Malaya.”
Krishnan ditempatkan dalam unit PSG 4, yang terdapat seramai 400 anggota.
Katanya walaupun unit itu majoritinya Melayu dan hanya  terdapat sebilangan kaum Cina dan India, kehidupan semasa bekerja sangat  harmoni dan tiada sebarang perbalahan antara mereka.
  Krishnan  kemudiannya dipindahkan ke Durian Condong, berdekatan dengan kawasan  Bukit Kepong yang terkenal dengan insiden serbuan komunis di Balai Polis  Bukit Kepong, pada 23 Februari 1950 yang mengorbankan lebih 25 anggota.
Peristiwa Bukit Kepong itu turut difilemkan dengan arahan dan dilakonkan oleh Jins Shamsuddin dan ditayangkan pada 1981.

Gambar re-copy Krishnan (duduk hujung kiri) ketika dalam perkhidmatannya sebagai anggota Polis Persekutuan Tanah Melayu.“Di sana kami dapati ramai penduduk kampung yang keluar  masuk membawa tin susu yang berisi beras ditutup dengan lapisan surat  khabar.
“Mereka hantar barang keluar kampung, lepas itu bawa balik  semula. Mereka ini kebanyakannya menanam sayur dan pelbagai tanaman  lain di sekitar kampung,” katanya.
Katanya, akhirnya mereka dapat tahu bahawa ini merupakan cara penduduk kampung membekalkan barang kepada komunis.
“Bukan sahaja makanan, mereka ini tali barut turut memberi maklumat kepada komunis,” katanya.
“Biasanya mereka ini diugut supaya memberikan bekalan makanan, mereka terpaksa, kalau tidak kena bunuh.”
  Krishnan  kemudiannya dihantar ke Balai Polis Hulu Langat, untuk menjalani  latihan kepimpinan selama dua bulan sebelum dihantar semula ke Durian  Condong.
“Ketika itu kita mendapat maklumat Bukit Kepong akan diserang sekali lagi dan kami semua diminta untuk bersiap sedia,” katanya.
“Kami tidak mendapat sebarang arahan ke sana, tapi saya  nampak ada kebakaran berlaku. Mungkin ada berlaku serangan atau ada  kebakaran, tali saya nampak asap berkepul-kepul.”

Gambar re-copy Krishnan ketika berkhidmat sebagai anggota Polis Persekutuan tanah Melayu.Krishnan pakar dalam pemetaan, kompas dan boleh  menggendalikan pelbagai jenis senjata dan sepanjang berkhidmat dari 1953  hingga 1960, beliau tidak pernah diserang hendap komunis.
“Jadi setiap kali bergerak jalankan tugas, meronda dan  sebagainya saya akan pastikan kami bergerak ke arah berlawanan. Komunis  ke kiri, kami jalan ke kanan,” katanya.
“Jika ada berlaku pertempuran, saya juga ditugaskan untuk  mengambil dan membawa mayat komunis. Tugas ini walaupun nampak kecil,  tapi perlu berhati-hati sebab komunis ini banyak muslihatnya. Ada yang  sempat letak bom di dada sebelum mati, bila terbalikkan mayat, bom  meletup.”
Selepas berhenti sebagai polis, beliau kemudian berkhidmat  sebagai pengawal keselamatan di Hotel Merlin (kini Hotel Concorde) di  Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur hingga pertengahan tahun 1980-an.
Atas jasa dan baktinya, Krishnan menerima pingat “General  Service Medal” daripada Ratu Elizabeth II dari United Kingdom pada 1964  dan bakal menerima Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) pada pada 16  September akan datang.
Krishnan kini tinggal sendirian selepas kehilangan isterinya yang menghidap penyakit kencing manis empat tahun lalu.
Hasil perkahwinannya itu, Krishnan dianugerahkan empat orang anak dan kini mempunyai sembilan orang cucu.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
https://dialograkyat.blogspot.com/2021/09/perjuangan-kemerdekaan-dari-kaca-mata.html