Perang Dunia Ke Dua Di Tanah Melayu 9735
“NAKUNATTA KATAGATA – E
DECEMBER 6, 2012 BY ADMIN
Nota Penulis : Berikut, saya persembahkan artikel tulisan sahabat saya “Faisal National Treasure” mengenai penjajah Jepun ke negara ini.
Tarikh : 7 Disember 1941….
Jam : 11.45pm / 2345H….
(Rear Admiral Shintaro Hashimoto) : Migi no jikan….
(Left. Kolonel Nakamura) : Na mi wa tsuyo sugiru…
(Rear Admiral Shintaro Hashimoto) : Wareware wa sugu ni suru hitsuyo ga arimasu, kogeki paruhaba no mae ni….….
(Left. Kolonel Nakamura) : Takumi no hakuri, wa junbi ga dekite senseidatta, shiji o matsu….
(Rear Admiral Shintaro Hashimoto) : Ima kogeki, kono rekishi, watashi wa nakunattahito no irei-hi o tatemasu…..
———————————————————————————–
Salam bahagia, bertemu lagi dalam artikel seterusnya dari saya Faisal 9W2WBT. Setelah melihat beberapa komen dari forumer yang ingin artikel artikel military, maka atas permintaan forumer ,saya cuba menghantar artikel ini kepada Shahpaskal bagi meredakan ketegangan di wall wall post Gua Gendang / Spratly dan Piramid.
Agar sama-sama kita tahu sejarah negara kita yang tak ramai yang tahu sepenuhnya dan hanya tahu setakat belajar form 5 sahaja. Lepas tu tak baca dah buku sejarah? Betul Tak? Hehehe janji SPM Skor subjek sejarah.
Artikel saya ini juga merujuk kepada artikel tajuk SENJATA RAHSIA JEPUN DI SYONAN dalam blog ni cuma sebagai tambahan ilmu kepada pencinta pencinta tanah air kita yang sentiasa patriotik dalam mengepos komen komen dalam blog ni.
Saya menulis ini berdasar kepada No.32 tajuk tersebut iaitu Jepun juga tertarik dengan sejarah dan mistik Melayu..
No.32 Tajuk kecil iaitu Maklumat yang tidak boleh dikongsi… iaitu masih ada
sejarah dan perkara sulit yang mereka sembunyikan..
No.37… Walaupun saya tahu, tapi macam dongengan untuk di kongsi.
Jepun satu negara yang moden ketika ini tapi pernah hancur dengan dua buah bom
atom hasil perbuatan Amerika Syarikat tetapi tahukah tuan-tuan tiap kali kita dimomok kan dengan kejayaan tentera berikat menulis sejarah kejayaan pendaratan Normandy di Eropah.
Jepun juga sebenarnya membuat sejarah seperti itu juga ?
Betul kata bekas Perdana Menteri British semasa perang dunia, Winston Churchill
yang menyatakan sejarah hanya ditulis oleh mereka yang menang sahaja.
Yang kalah tidak di ketengahkan walau mencipta sejarahnya tersendiri.
Ok. Bagi merehatkan minda forumer forumer yang tercari cari kecerahan di dalam
kegelapan di dalam Gua Gendang itu, dan bagi menyejukkan kepanasan hati hati
forumer yang mencari di mana piramid tu.
Maka saya dengan kebenaran blog ni mempersembahkan sebuah artikel kategori Analisis Sejarah yang berjudul “NAKUNATTA KATAGATA – E” (KEPADA MEREKA YANG GUGUR).
7 Disember 1941 jam 11.45pm @ 2345hour
Keheningan Laut China Selatan, angin kuat ombak beralun, sejuk malam bagai tidak terasa oleh anak-anak kapal armada.
Hanya 17 batu nautika sahaja dari tenggara Bandar Kota Baharu Kelantan…
Semua terdiam, menanti arahan dan dalam benak benak hati mereka.. apakah yang bakal menjadi kenyataan? Manjadi sejarah? Atau menjadi habuan?
Ah!….. persetan itu semua, kepada Maharaja kami persembahkan kejayaan ini dan bahawa kami adalah yang terbaik. Kamilah orang Asia yang akan melempangkan muka- muka barat, kami akan buktikan bahawa bukan kamu sahaja yang mampu mentadbir negara bangsa, kami juga mampu-Asia untuk orang Asia dan anda “Westerner never learn.”
Pantai Kuala Pak Amat yang menyaksikan pendaratan tentera Jepun
1. Kira kira jam 11.45 pm, 7 Disember 1941, askar-askar pertahanan pantai British yang di letakkan di persimpangan Kuala Pak Amat dan hanya setengah batu ke timur dari Lapangan Terbang Kota Baharu di Pengkalan Chepa telah mengesan beberapa buah kapal musuh sedang berlabuh di lingkungan 7 batu nautika dari pantai Kuala Pak Amat.
2. Setelah menerima laporan dari garisan medan, pemerintah British telah mengeluarkan arahan kepada pertahanan pantai untuk melepaskan tembakan meriam balas terhadap tembakan ‘musuh’ yang datang dari kapal-kapal perang musuh tersebut.
3. Bedilan dari kapal kapal itu menghentam kubu-kubu pertahanan pantai British bertalu-talu menyebabkan pertahanan British kelam kabut menyusun meriam mereka.
4. Hakikatnya pada waktu tersebut, tiada siapa pun rakyat di Kelantan atau Malaya khususnya tahu bahawa bedilan-bedilan itu adalah merupakan bermulanya episod peperangan di antara Jepun dan British di Kelantan.
5. Bedilan pada malam tersebut pada tengah malam 7 Disember 1941 itu ialah merupakan “tembakan pertama” peperangan di Malaya dan juga sejarah bagi permulaan Perang Dunia Ke-2 di Timur Jauh dan Pasifik.
6. Sejarahnya ialah, tembakan pertama Jepun ke Kelantan di buat 1 jam 20 minit lebih awal atau terdahulu dari serangan udara Jepun ke atas Pearl Habour di Pulau Hawaii.
7. Armada Jepun di pantai Kuala Pak Amat ialah satu konvoi kapal perang terdiri dari 3 buah kapal pengangkut tentera iaitu Awagisan Maru, Ayotasan Maru dan Sakura Maru.
8. Turut mengiring kapal ini ialah 5 buah kapal perang di bawah perintah Rear-Admiral Shintaro Hashimoto.
Pantai Kuala Pak Amat [suasana: ombak kuat]
9. Kapal kapal tersebut ialah Light Cruiser IJN Sendai Maru dan 4 kapal pemusnah bernama IJN Isonami Maru, IJN Uranami Maru, IJN Shikinami Maru dan IJN Ayanami Maru.
10. Di dalam 3 kapal pengangkut tersebut, diisi penuh dengan askar askar Jepun yang dipanggil “TAKUMI DETACHMENT”
11. Ia berlabuh rapat sehingga setengah batu dari pantai walaupun waktu itu ombak begitu kuat menyerang tetapi saat yang tidak disangka Inggeris inilah direbut oleh pihak Jepun.
12. Namun detasmen ini berjaya diturunkan ke dalam landing craft dan dalam masa itu juga Jepun mula menembak kawasan pantai itu sebagai mulanya pendaratan bersejarah.
13. Tembakan bertalu-talu itu telah menyebabkan pertahanan British dari pasukan 3/17 Dogras dari Dogra Regiment (berbangsa India) telah membalas dengan hebat dan memberikan tentangan yang tidak terduga oleh Jepun menyebabkan ramai askar Jepun terkorban.
14. Tepat jam 12.25am, 8 Disember 1941, kumpulan pertama askar ini mendarat di antara pantai Sabak dan pantai Badang dan seterusnya menawan kubu-kubu British.
15. Pada jam 1.00am, seluruh kubu British di kawasan ini telah jatuh kepada askar Jepun kesemua dan kesemua askar dalam rejimen dogras ini dipancung.
16. Diceritakan kepada saya oleh arwah datuk saya yang tinggal di Pengkalan Chepa, British sememangnya membina kubu-kubu yang kuat dan tembakan mereka tidak kurang hebatnya sehingga askar Jepun yang cuba menjejak kaki ke pantai terpaksa merangkak dan sebelah kaki mereka di dalam air dan sebelah lagi di atas pasir bagi mengelakkan dari kepala terkena peluru 50 kaliber dan senapang Lee Enfield.
Peta Serangan Jepun
17. Gelombang pertama serangan Jepun ini diketuai oleh Leftenan Kolonel Nakamura termasuk kenderaan kenderaan tentera untuk didaratkan.
18. Gelombang kedua dilepaskan sejam setelah gelombang pertama selamat di pantai.
19. Begitu juga gelombang ketiga juga sejam setelah gelombang kedua berjaya mendirikan kubu di pantai.
20. Gelombang pertama mempunyai 20 kapal pendarat atau landing craft dan kapal ini yang ulang-alik mengangkut gelombang seterusnya.
21. Sesungguhnya ramai askar Jepun tertewas dalam gelombang pertama kerana British juga menyediakan meriam 2 pounder.
22. Gelombang kedua diketuai oleh Mejar Kasui dan dibantu oleh Mejar Jeneral Hiroshi Takumi dan Kol.Yoshio Nasu.
23. Gelombang ketiga oleh Kolonel Matsuka.
Pesawat pengebom Hudson
24.Mereka dari gelombang ketiga ini terpaksa berlepas lambat sedikit iaitu pada jam 3.30 am (8 Dis) kerana pada waktu mereka bersiap hendak berlepas ke pantai, dengan tiba-tiba ia telah diserang oleh RAAF (Royal Australia Air Force) dari lapangan terbang Kota Baharu iaitu pesawat Hudson dari No.1 Skuadron.
25.Pesawat Vickers Vildebeeste yang berpangkalan di pengkalan udara Gong Kedak dan Lalangluas di Machang juga tiba dan ditentang hebat oleh meriam anti pesawat Jepun.
26.Serangan itu menyebabkan Awagisan Maru terbakar setelah terkena 10 kali di bom dan kemudian Ayotasan Maru juga terbakar setelah 6 kali di bom.
27.British mendakwa salah satu kapal itu membawa meriam artileri dan kereta kebal Ha-Go.
28.Jepun mendakwa telah menjatuhkan 7 buah pesawat RAAF itu tetapi British kata satu sahaja yang jatuh.
29.Gelombang ke 3 mendarat pada jam 4.00am (8 Dis) dan menjelang fajar, Jepun telah berjaya mendaratkan 3 batalion di pantai itu dan membuat kubu-kubu serta menghantar perisik untuk menyusup masuk ke garisan belakang pertahanan pantai yang terletak di lokasi antara pantai dan lapangan terbang Kota Baharu.
Jeti Pelabuhan Jepun di Pantai Sri Tujuh.
30.Dalam pada itu, apabila Jepun telah mendarat pertama kali, pasukan 2/12 th Frontier Force Regiment di sebelah barat Sungai Kelantan dan pasukan 73rd Field Battery mara ke Pulai Chondong untuk mencegah sebarang spy Jepun ke lapangan terbang Kota Bahru.
31.Panglima Tentera Udara British Timur Jauh memerintahkan pasukan penggempur agar bekerjasama dengan tentera darat dan Malay Regiment.
32.Serentak dengan itu, semua skuadron di base Kedah, Kuantan, Singapore diarah berkumpul dan menyerang kapal kapal Jepun pada waktu pagi.
33.Armada Jepun, amat bijak, mereka tahu pasti bantuan udara akan di tambah untuk menyerang armada mereka maka arahan telah dikeluarkan kepada semua armada laut Jepun untuk bergerak secepat mungkin menghala ke arah Pulau Perhentian dan bersembunyi di balik pulau tersebut.
34.Setibanya pesawat British ke kawasan pantai itu, British langsung tidak menjumpai armada laut Jepun! Skuadron skuadron itu pulang kembali ke pengkalan masing masing tetapi semasa pulang, satu serangan mengejut dari pengebom pengebom Jepun dan penggempur mereka dan menyebabkan sejumlah besar pesawat British jatuh ke bumi.
35.Sementara itu, hari telah mula beransur cerah tetapi askar Jepun masih belum dapat bergerak kerana bedilan meriam dari jarak dekat bertalu talu dari kubu kubu British yang masih ada di situ.
36.Bedilan itu memaksa Jepun menggali lubang sehingga paras bahu dengan menggunakan tangan dan topi topi besi mereka untuk mengelakkan peluru British.
37.Mereka mara perlahan lahan sehingga terlampau dekat dengan kubu British sehingga ada mengatakan bahawa jika Jepun melontar grenade, pasti masuk ke dalam kubu British tersebut.
38.Pergerakan mereka berjaya sampai sehingga dawai dawai besi berduri dan memotong pagar pagar besi tersebut.
39.Namun kejutan berlaku apabila satu letupan menyebabkan pasir pantai melonjak ke atas dan terdengar jeritan mangsa mangsa.
40.Rupanya British telah memasang periuk api di sekeliling kawat besi itu.
41.Askar Jepun kemudian telah menyusun mayat mayat rakan-rakan mereka dan membuat jalan mayat! Mereka bergerak atas mayat mayat rakan dan seterusnya memotong kawat besi itu.
42.British kelam kabut.. “Banzai”……salah seorang tentera Jepun telah merebahkan dirinya ke atas lubang kubu tersebut sambil askar askar lain merempuh kubu kubu itu serta membaling bom grenade ke dalam lubang tembakan kubu British.
43.Pekikan “BANZAI”… sambil menghunus benet benet dan pedang samurai mereka melibas kepala kepala askar India British satu persatu tanpa belas kasihan, satu-persatu kubu British telah ditawan!
44.Arahan seterusnya dari panglima British… jika mahu selamatkan lapangan terbang Kota Baharu, rampas kembali kubu-kubu tadi sebelum hari senja.
45.Arahan dikeluarkan kepada 1/13 th Frontier Force Rifle untuk menyerang sebelah timur pantai dan pasukan 2/12 th Frontier Force Regiment menyerang sebelah barat pantai Sabak.
46.Kedua dua pasukan itu kemudian bergabung dan membinasakan askar askar Jepun di situ. Dalam masa yang sama pasukan meriam 73 rd Field Battery dan 21st Mountain Battery Indian Artillery memberikan tembakan bantuan dari kawasan lapangan terbang Kota Baru.
47.Hakikatnya, serangan itu gagal sebenarnya. Ia sukar dilaksanakan kerana kedudukan geografi di situ tidak menyebelahi British kerana adanya sungai-sungai dan paya.
48.Akhirnya kawasan pantai itu tidak juga dirampas British.
49.Jam 9.00am (8 Dis) tibalah skuadron pesawat Jepun secara tiba-tiba dari arah barat (terbang dari pengkalan di Thailand) dan mengebom kesemua pesawat RAAF dan bangunan bangunan tentera dari paras rendah.
50.Serangan pesawat ini dibuat sepanjang hari! Dengan 8 kali serangan berasingan.
51.Sebenarnya, pihak Jepun telah hilang anggota mereka secara besar besaran hasil dari pendaratan ini.
52.Sumber dari laporan Jepun mengatakan, mereka hilang sejumlah 320 askar dan 538 cedera dari 6000 orang anggota mereka.
53.British pula mendakwa, Jepun kehilangan 2,000 anggota.
54.Pihak tentera Jepun telah menyebut bahawa “Pendaratan berdarah di pantai Kota Baharu itu tercatat sebagai operasi pendaratan paling penting dan istimewa!”
Memorial Pantai Pak Amat
55.Ia umpama pendaratan Normandy atau D-Day kepada pihak Jepun.
56.Mereka telah membina obelisk (tugu batu) dan menulis “KEPADA MEREKA YANG TELAH GUGUR” (NAKUNATTA KATAGATA)
57.Batu itu kini telah tenggelam di dasar laut kerana hakisan pantai, dan kini tugu peringatan baru telah dibina dalam tulisan Bahasa Melayu.
58.Khabarnya batu ini pun bakal tenggelam tidak lama lagi.
59.Oleh itu tuan tuan forumer sekalian, hargailah kebebasan dan kemerdekaan kita kerana peristiwa ini merupakan sejarah perang dunia Asia Pasifik dan hanya mereka yang mengkaji sahaja tahu betapa peritnya datuk datuk kita dulu semasa perang. Teruk jugak penulis nak cari bahan sejarah dan fakta ni hehehehe…
60.Terima kasih kepada arwah datuk datuk saya, rakan rakan dari fakulti sejarah UKM dan pegawai pegawai bertugas di Memorial Perang Dunia ke-2 di Kota Baharu Kelantan, veteran-veteran perang dari Malay Regiment yang masih hidup dan tidak nyanyuk lagi, (cerita anda saya simpan sehingga kini dan saya kongsikan dengan orang lain agar tidak luput dari ingatan bangsa) serta rakan rakan tentera yang saya kenali.
61.Tidak lupa juga, Shahpaskal yang sudi menerima kajian saya ini.
62.Salam dari saya Faisal 9W2WBT.
Sumber:
http://www.militaryofmalaysia.net/2012/12/nakunatta-katagata-e/
Sumber Gambar:
Pesawat+pengebom+Hudson
JITRA NOTATAKAI (Battle of Jitra)
AUGUST 1, 2013 BY ADMIN
BanzaiLt. Kolonel Saeki Shizuo : Wareware no chīmu wa kotabaru ni jōriku shita.
Jeneral Tomoyuki Yamashita : Omedetōgozaimasu, ima, soreha watashitachi no bandesu.
Lt. Kolonel Saeki Shizuo : Tashika ni, soreha tsuyu ga kite iru imadesuga, watashitachiha jinsokudenakereba naranai.
Jeneral Tomoyuki Yamashita : Moshi sōnara, karera wa hirō o tsukaihatashi hakai, kōgekide wa naku, sorera no kikai o kaishi..
Lt. Kolonel Saeki Shizuo : Guddo-nushi, jushin sa reta meirei wa, watashi wa, sore jitai ga tanku o ken’in suru… Jitra wareware wa seifuku sa remasu…
1. Salam bahagia, bertemu lagi kita di ruangan lipatan sejarah negara bangsa kita yang semakin lama semakin pupus ditelan zaman dek kerana kelalaian kita menghayati erti kemerdekaan. Sekali lagi saya faisal 9w2wbt merakamkan setinggi tinggi penghargaan jutaan terima kasih kepada Shah Paskal kerana kesudian menerbitkan artikel ini di dalam blog yang sentiasa mendapat perhatian dari ramai pihak pihak yang cintakan tanah air dan semangat patriotisme yang tinggi di dalam jati diri tuan puan sekalian.
2. Artikel ini agak panjang saya huraikan mengikut kefahaman pembacaan saya terhadap rencana rencana yang menjadi kajian oleh pengkaji pengkaji sejarah Tanah Melayu. Artikel ini bermotifkan tentang kajian kegagalan British mempertahankan barisan hadapan Tanah Melayu ketika itu dan taktik kemaraan tentera Jepun ketika mengasak pertahanan paling utara tanah air kita. Ia sepatutnya dipertahankan selama 3 bulan tetapi Jepun hanya memerlukan 3 hari sahaja untuk menawannya.
3. 4 Disember 1941, Lt. Jen Yamashita, selaku panglima 25 pemerintahan medan tentera darat Jepun berkekuatan 25,000 anggota telah berlepas menaiki kapal dari Vietnam menuju ke Thailand. 7 Disember 1941, armada tersebut berpecah dan mendarat di Singgora dan Pattani. Semasa di Singgora, pihak polis Thailand telah berjaya menghalang pendaratan tersebut dan setelah berunding, mereka akirnya mendarat dengan selamat dan bersiap menuju ke Tanah Melayu untuk bertempur dengan sejumlah 88,000 trup termasuk 9 dan 11 Divisyen Tentera Darat India dan 8 Div Tentera Australia.
4. Tengahhari 8 Disember 1941, Singgora di pijak oleh Jepun. 6 Briged dan 15 Briged British bergerak ke Jitra untuk ambil kedudukan. Mereka telah menanam periuk api dan menggali kubu kubu yang kesemuanya di penuhi air. Maklumlah waktu tersebut merupakan musim hujan dan hujan turun sehingga 4 hari menyebabkan persiapan tempur agak terbatas.
5. British cuba melambatkan kemaraan Jepun memasuki sempadan dengan cara mengamalkan pre emptive strike iaitu memasuki kawasan Thailand dan menggempur dari kawasan Thailand. Namun Jepun melalui Detachment hadapan diketuai oleh Lt. Kol Saeki Shizuo mendapat mesej dari pasukan peninjau udara yang telah mengugurkan mesej memberitahu bahawa pasukan ‘mechanised’ British bergerak melalui Changlun menuju ke utara.
6. Pasukan British yang menuju ke Thailand adalah dari kompeni 1/8 Regiment Punjab yang merupakan pasukan simpanan sahaja! Waktu itu, British juga menghantar pasukan pengebom udara bagi mengebom pasukan Jepun yang mendarat.
Jepun tidak membalas serangan itu, hanya memastikan kesemua anggota dan peralatan selamat mendarat. Setelah semua selamat mendarat, barulah serangan dari Jepun dilakukan. Jepun telah menghantar 3 buah kereta kebal sederhana (medium tank) 1 unit kereta perisai, 2 skuadron ‘mechanised cavalry’, meriam dan 300 anggota.
7. 9 Disember 1941, Lt. Jen. Sugawara dari grup 3 Tentera Udara mengetuai 500 pesawat Jepun jenis pejuang dan pengebom yang berpangkalan di Vietnam berlepas ke Tanah Melayu. Mereka telah menyerang semua pengkalan udara British termasuk Alor Setar sehingga menyebabkan pengkalan itu terpaksa ditutup dan kesemua tentera British lari bertempiaran menyelamatkan diri.
8. Serangan ini menyebabkan bangunan terbakar dan memberikan tekanan psikologi kepada trup 11 Divisyen yang bertanggungjawab menjaga keselamatan pengkalan itu. Pesawat Mitsubishi Zero bukanlah saingan pesawat Buffalo British yang amat daif. Maka, ruang udara telah dikuasai sepenuhnya oleh Jepun.
9. Kita berbalik kepada keadaan di sempadan pula, Lt. Kol. Saeki telah memandu sendiri kereta kebal diikuti oleh 300 anggotanya dan bersama pasukan peninjau dan dengan gagah beraninya tidak sabar ingin bertempur dengan British.
10 Disember 1941, Mereka bertempur buat pertama kalinya di dalam kawasan Tanah Melayu.
10.Ketika inilah Jepun mendapat kemenangan yang pertama! Brtitish seperti biasa melarikan diri dan berundur. Hasil dari pertempuran ini, Jepun berjaya memiliki sebuah peta lengkap mengenai pertahanan British di kawasan Changlun dan Jitra.
Tetapi sebelum serangan itu, serangan udara di pengkalan Kepala Batas telah dilakukan. Sewaktu kereta kebal Saeki berada di sempadan dan bertempur, trup yang tewas berundur dalam keadaan yang amat daif dan bergerak berundur ke Changlun sementara itu trup di kawasan Perlis (sebelah kiri) juga berundur ke Kodiang. Dengan ini amatlah mudah Jepun memasuki Tanah Melayu pada 10 Disember 1941.
KUPASAN PERTAHANAN UTARA TANAH MELAYU. (KEGAGALAN OPS MATADOR)
11.British pada mulanya hanya menumpukan kekuatan pada 2 buah jalan yang menuju ke Thailand. Pada waktu itu, tumpuan pertahanan terjejas kerana musim hujan dan menyebabkan kenderaan berat gagal bergerak di atas jalan yang becak, maklumlah tiada turapan bitumen / minyak tar.
12.Oleh sebab keadaan kawasan Jitra yang rata ratanya adalah kawasan tanah rata dan sawah padi yang bertali air, menyebabkan kubu parit (Trenches) yang dikorek menjadi tidak sesuai untuk bertempur. Ia dipenuhi air!. Dinding struktur kubu parit telah di cerucuk dengan batang buluh. Tinggi dinding mencecah sehingga 6 kaki ke atas dan lebar hampir 7 kaki. Jepun telah menganggap kubu ini sebagai ‘ JITRA LINE’.
13.Jitra Line juga di perkukuhkan dengan ‘pillbox’ dan serentak dengan pembinaan ini, semua anggota sibuk dengan latihan persediaan Ops Matador. Semua ini berlaku pada awal Disember 1941. Panglima Tentera Udara British di Timur Jauh Marshall Udara Brooke-Popham telah mengizinkan Jen. A.Percivel memasuki wilayah Thailand apabila Kota Baharu diserang. Maka Panglima Pemerintah Kor, Jen. Heath diarahkan bersiap sedia menggerakkan trup Ops Matador.
14.British membuat tinjauan udara dan mendapati pendaratan besar besaran Jepun di Singgora dan Pattani. Berita ini disampaikan ke kota Baharu pada jam 0915. Pada jam 1100, barulah Percival dapat maklumat ini di markas Malaya Command setelah kembali dari menghadiri mesyuarat Majlis Perundangan Negeri Selat. Pembaca ingin tahu apa alasan Jen. Percivel?
15.“Apa yang berlaku antara 3 Corps dan 11 Indian Divisyen saya tidak tahu. Tapi saya masih mempertahankan bahawa hanya ada satu sahaja talian telefon awam yang mana kita semua menggunanya, dan khidmatnya hanya khas untuk mereka yang mempunyai keistimewaan terhad. Ia tidak dijangka berlaku, itu fasal la saya tidak dapat maklumat awal bro…” 😀
Dalam masa yang sama, 11 Div yang hendak menyerang pelabuhan Singgora diarahkan agar menyerang Jepun yang telah mendarat mudah. Ia telah memberikan impak kepada persiapan 11 Div ini.
16.11 Disember 1941 : Jam 0800 bermula serangan Jepun terhadap 1/14 Regimen Punjab dan mereka tewas. 2 penangkis kereta kebal Breda di tawan Jepun. Askar Punjab seperti biasa lari lintang pukang. Kol. Saeki memeriksa kawasan Punjab itu dan menjumpai 10 senjata berat dihala ke arah Jepun tapi tiada yang mengoperasikannya. Beliau yakin bahawa semua askar Punjab berlindung daripada hujan di kawasan pokok pokok getah di kiri kanan jalan Changlun itu.
17.Kol. Saeki bertindak bijak, mengarahkan serangan dilakukan secara berdepan melalui jalan utama dan asakan dari kiri dan kanan jalan Changlun itu. Maka bertempiaran lagi askar Punjab menyelamatkan diri di dalam keadaan hujan lebat itu.
Tragedi Jambatan Manggol.
18.British di bawah 15 Briged berundur ke Jitra. Trup 6 Briged dari Perlis juga berundur. Sesampainya di Manggol, ada sebuah jambatan merentasi sungai. Kawasan itu dijaga oleh 15 Briged dan di perintah oleh 1 Regimen Leicester. Jambatan tersebut telah dipasang bom bagi menyekat Jepun dari mara ke arah Jitra.
19.Apa yang terjadi ialah, 6 Briged telah diarah berundur ke Jitra, disinilah kesilapan paling ketara British. Pertahanan British diseberang sungai telah meletupkan jambatan itu kerana menyangka bahawa trup yang sedang mara itu ialah Jepun. Akibatnya sejumlah pengangkut anggota, empat laras meriam dan 7 meriam Breda terpaksa ditinggalkan di seberang sungai.
20.Banzaiiii………….Jepun terus mengasak sehingga petang. Mereka bertempur dengan 2/9 Jats dan mula mengasak sebelah kanan. Disamping itu, peluru cahaya dilepaskan sebagai bantuan dan tembakan bermula. Jam 2030, kereta kebal Jepun mengasak lagi dengan bantuan spotlight besar dan menumpaskan 1 peronda 1 Leicestershire. Dalam pada itu, 2 kereta kebal Jepun terbakar akibat terkena peluru meriam pasukan 125 anti kereta kebal British.
21.Markas 15 Briged menerima laporan. Dikatakan bahawa Jepun telah menduduki Bukit Jantan dan Bukit Alor. Brig Carpendale berasa terancam dan lantas tanpa merujuk kepada Panglima Div, ia meminta bantuan Brig Lay, Panglima 6 Briged agar dapat membantu dengan memberikan 2 kompeni dari 2/2 Refal Gurkha (simpanan). Mereka mengambil lokasi arah ke timur dan satu lagi 2/16 Punjab di letakkan di Kelubi untuk menyokong pertahanan belakang.
22.12 Disember 1941-Tepat jam 0300, Jepun mula menyerang kembali menerusi jalan raya utama dan mengasak sehingga ke kawasan belakang sebelah kanan kompeni 1 Leicestershire. Jepun dapat diundurkan setelah bantuan dari Bren Carrier diatur gerak kembali hampir waktu subuh. Hujan mencurah curah tidak berhenti, jam menunjukkan 0600, Jepun mengarahkan satu kompeni yang dibantu oleh kereta kebal menyerang secara berdepan di bahagian timur jalan yang memisahkan pasukan 1 Leicestershire dan 2/9 Jats. Serangan itu berjaya dan Jepun menawan pos pemerhati meriam. British menyerang balas tetapi hampa.
23.Brig Carpendale lagi sekali meminta bantuan Brig Lay 6 Briged. Ia telah diberi 1 markas briged dan 2 kompeni 1/8 Punjab. Lantas mereka diarahkan melancarkan serangan besar besaran dengan dibantu oleh meriam untuk merampas semula kedudukan tadi. Pasukan ini menyerang melalui kawasan Jats yang menyangka tembakan itu dari Jepun. Serangan balas ini gagal lagi! Jam 1000 menunjukkan tewasnya British dan pegawai pemerintah juga terbunuh.
24.Pada 12 Disember, Jeneral Murray Lyon meninjau markas Briged 15, Jam 0900 beliau diberitahu telah kehilangan 2 batalion dan kemarahannya memuncak apabila mendapati Brig Carpendale telah mengguna sepenuhnya kekuatan anggota sehingga kepada pasukan simpanan!. Trupnya keletihan yang amat sangat dan hilang semangat. Lantas Jen. Murray Lyon memohon izin Panglima Malaya Command memalui markas 3 Kor untuk berundur dari Jitra ke kawasan Gurun dan membuat pertahanan di sana.
25.Sementara itu, di pihak Jepun pula, Mejar Jen. Kawamura (Panglima Briged ke 9 Infantri telah membuat tinjauan di hadapan. Beliau memerintahkan agar pegawal hadapan Infantri yang telah bertempur berundur dan digantikan dengan Regimen 41. Arahan dikeluarkan untuk menyerang pada waktu malam di kawasan sebelah timur jalan raya itu. Regimen 11 pula diperintahkan menerang di sebelah barat serentak.
26.Jepun berjaya mengucar kacirkan pertahanan tengah British dan menumpaskan kompeni Jats di sebelah kiri sehingga memaksa kompeni Jats berundur ke tenggara kawasan. Sebelah kanan pula milik Leicestershire juga diasak. Jam menunjukkan 1430, Jepun akhirnya bertembung dengan 2/2 Gurkha di Sungai Bata. British menyerang balas melalui platun bergerak dari 2 East Surrey yang dihantar oleh 6 Briged. Tindakan ini telah menyebabkan kawasan kanan Leicestershire berjaya diselamatkan dari di kepung Jepun. Pertempuran berehat pada jam 1500.
27.Brig. Carpendale tersedar dari lamunannya, dia telah melakukan beberapa kesilapan. Pertahanan Jats dan Leicestershire dalam keadan yang amat kritikal. Arahan dikeluarkan kepada Leicestershire dan Jats. Jats ditugaskan untuk bertahan di kawasan Kelubi dan dibantu oleh kompeni Punjab di sungai Bata. Manakala Leicestershire di arahkan untuk bertahan di kawasan barat dan utara sungai itu. Tujuannya ialah untuk menyerang kawasan timur pada keesokan harinya.
Cadangan Brig. Carpendale..
28.Mencadangkan Brig.Lay agar pasukan East Surreys menyerang balas kawasan kiri dan utara Leicestershire. Ia dipersetujui oleh Jen. Murray Lyon. Kecuali…Pasukan East Surreys di tetapkan sebagai pasukan simpanan. Brig. Lay di arahkan mengundurkan dua kompeni East Surreys ke Kepala Batas untuk melindungi jambatan Sungai Kedah. Setelah Leicestershire dan 2/2 Gurkha bergabung dan berundur ke kawasan pengkalan udara.
29.Ternyata Brig.Carpendale ini lidah bercabang… lain yang dirancang, lain pula yang disuruh. Tiba tiba sahaja Brig. Carpendale membatalkan cadangannya itu. Ia bertujuan untuk Leicestershire menumpukan kepada tugas bertahan. Jam 1515, mereka diperintahkan berundur dari kawasan hutan di sepanjang Sungai Jitra ke jalan raya utama dan menuju ke selatan melalui Padang ke Sungai Bata. Disamping itu Jats juga berjaya diundurkan kecuali pertahanan kanan mereka yang gagal dihubungi.
30.Jam 1800, Jen. Murray Lyon tiba di Tanjong Pauh, beliau mendapat berita keadaan kelam kabut di jalan raya kerana dikatakan bahawa kereta kebal Jepun berjaya menyeberangi Sungai Bata. Beliau tiba di markas Divisyen jam 1830 dan satu laporan telah menantinya. Laporan mengatakan bahawa Leicestershire telah diserang dan Jats telah di tewaskan. Dikatakan juga Jepun telah menyerang 2/16 Punjab di Kelubi. Kajian beberapa pengkaji sejarah mengatakan bahawa laporan ini tidak benar sama sekali.
31.Dalam pada ketika itu, 3/16 Regimen Punjab dalam keadaan kritikal. Mereka tidak mampu bertahan lebih dari 3 hari. Jen. Murray Lyon berpendapat mereka patut diundurkan dari Jitra. Keputusan berundur itu dibuat pada malam itu juga ke seberang Sungai Kedah. Jam 1930, Panglima 11 Divisyen memohon permisi berundur dan membuat perlindungan di Gurun. Jam 2200 12 Disember, Jen. Murray Lyon memerintahkan agar 11 Divisyen berundur Ke Alor Setar.
32. Pada malam itu juga semua diarahkan berundur dari Jitra ke Alor Setar sejauh 15 batu dalam keadaan cuaca yang amat buruk melalui jalan utama. Penunduran yang amat perit ini dirasai oleh askar askar yang sudah hilang semangat dan keletihan. Tambahan pula mereka tidak terlatih dan terlalu muda.
33.Dalam pada itu juga, ada pasukan yang tidak menerima perintah berundur dan bertahan di kawasan mereka sehingga esok pagi. Mereka terpaksa bergerak dalam pasukan kecil dan banyak kehilangan kelengkapan perang. Ada yang berundur meredah sawah padi, paya, jalan kereta api ke Alor Setar dan ada juga melalui pantai Kedah.
Jepun di Jitra.
34.Disember 12, 1941. Jatuhnya Jitra. Malam 12 Disember.. serbuan Jepun terhadap jambatan Sungai Bata. Ia berjaya diusir semula oleh 2/2 Regimen Rifle Gurkha. Kemudian Gurkha ini meletupkan jambatan itu pada jam 0200 13 Disember. Kemudian mereka berundur ke pertahanan belakang oleh 2/9 Gurkha. Jam 0430, mereka semua berundur. Pasukan 2/6 Regimen Rifle Gurkha inilah yang terakhir meniggalkan Jitra.
35.Subuh berlalu, Jepun menakluki Jitra. British telah meninggalkan 50 field gun, 50 heavy machine gun, 300 trak dan kereta perisai. Peluru dan makanan juga dirampas oleh Jepun yang mencukupi untuk satu divisyen selama 3 bulan!. Manakala askar India seramai 3000 orang menyerah diri kepada Detachment Saeki.
KESIMPULAN..
Jepun telah berjaya memalukan British. British banyak berdolak dalik dalam soal pertahanan. Pembatalan Ops Matador merupakan satu kesilapan yang amat besar.
Salam dan tabik hormat saya kepada semua warga warga veteran Kedah, datuk datuk dan nenek nenek yang masih hidup yang merasai keperitan hidup di serang dan hidup pada zaman perang. Ada antara mereka yang menjadi wira wira mempertahankan tanah Kedah bersama Malay Regiment.
Artikel akan bersambung lagi nanti. Saksikan episod akan datang.. SERANGAN KAMPAR.
Sekali lagi jutaan terima kasih kepada admin Tn Hj. Shah Paskal. Sebagai memperkayakan lagi bahan bacaan Blog MOM ini. Saya buka perbincangan kepada forumer forumer sekalian…
Sekian.
Sumber:
https://www.militaryofmalaysia.net/2013/08/jitra-notatakai-battle-of-jitra/
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://peceq.blogspot.com/2020/02/perang-dunia-ke-dua-di-tanah-melayu-9735.html