Penjawat Awam Perlu Guna Saluran Tepat Untuk Utara Pendapat
tyrazalhe Jangan sekadar jadi 'hero' tanpa nama di alam maya, kata Aminuddin

SEREMBAN – Penjawat awam khususnya warga pendidik perlu menggunakan saluran yang  betul dalam mengutarakan pandangan dan pendapat, bukan sekadar menjadi  ‘hero’ tanpa nama atau jaguh siber yang gah di alam maya.
Menteri  Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun turut menegaskan  supaya warga pendidik tidak terlibat dalam memuat naik sebarang tuduhan  serta kritikan tidak berasas terhadap kerajaan yang dilemparkan pihak  tidak bertanggungjawab.
“Saya  lihat ada dalam kalangan penjawat awam menggunakan media sosial seperti  Facebook untuk menghentam kerajaan yang fakta diberikan adalah kurang  tepat… mereka boleh menegur kerajaan tetapi biarlah mengikut saluran  yang telah ditetapkan.
“Kalau nak  sampaikan pandangan tiada masalah, sebab kami bukanlah sebuah kerajaan  yang menghalang sebarang pandangan atau kritikan diberikan. Namun jika  mahu tegur biarlah fakta yang tepat kalau fakta salah memang tidak  dibenarkan sama sekali sebab ia bercanggah dengan etika sebagai penjawat  awam,” katanya.
Beliau  berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan  Cemerlang (APC) Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS) 2018 di sini,  hari ini.
Aminuddin  juga berharap penjawat awam menjaga etika dalam memberi pandangan  melalui media sosial selain memberi cadangan membina bagi memperbaiki  kelemahan kerajaan sedia ada, menggunakan saluran yang betul.
Terdahulu,  Aminuddin ketika berucap dalam majlis itu berkata beliau yakin dengan  pengurusan tertinggi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang sentiasa  bersedia menerima pandangan dan cetusan pendapat terutama memperbaiki  penyampaian perkhidmatan dalam kementerian ini.
“Setiap  pegawai dan kakitangan jabatan ini perlu lebih cakna serta mahir dan  mampu menggunakan media sosial sebagai medium interaksi yang cepat dan  berkesan dalam memenuhi kehendak semua pihak berkepentingan dan rakyat.
“Segala  pertanyaan atau aduan orang awam yang dikemukakan melalui media sosial  haruslah diambil peduli serta maklum balas perlu disegerakan,” katanya.
Pada majlis itu, Aminuddin turut menyampaikan APC JPNS 2018 kepada 187 penjawat awam di negeri ini.- Bernama
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2019/04/penjawat-awam-perlu-guna-saluran-tepat.html