Pengusaha Minyak Tidak Tahu Mengenai Sistem Subsidi
  Minderjeet Kaur

Pada  Oktober 2018, kerajaan persekutuan mengumumkan bahawa subsidi 30 sen  seliter bagi petrol RON95 akan diberikan kepada pemandu dalam kategori  B40. PETALING JAYA: Dengan hanya 2 minggu berbaki sebelum sistem subsidi  minyak dikatakan akan bermula, pengusaha stesen minyak mengadu bahawa  mereka tidak tahu apa-apa dan tiada pihak yang memberi penerangan  tentang bagaimana sistem itu akan berjalan.
 Presiden Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia, Khairul Annuar  Abdul Aziz berkata, pengusaha tidak mempunyai maklumat terperinci  mengenai sistem itu, yang akan menyaksikan pemandu berpendapatan rendah  menerima subsidi harga minyak.
 “Kami tidak tahu apa-apa. Kami tidak tahu bagaimana ia akan  dilaksanakan maupun diberi penerangan oleh mana-mana pihak. Kami bimbang  kerana sesetengah pemandu mungkin layak, sementara yang lain tidak  layak menerima subsidi,” katanya kepada FMT.
 Beliau berkata, pemandu mungkin melepaskan kemarahan mereka pada pengusaha stesen minyak sekiranya sistem itu tidak lancar.
      Pada Oktober 2018, kerajaan persekutuan mengumumkan bahawa subsidi 30  sen seliter bagi petrol RON95 akan diberikan kepada pemandu dalam  kategori B40 (kumpulan berpendapatan rendah yang mewakili 40% terbawah  masyarakat) yang memiliki kereta atau motosikal dengan kapasiti enjin  masing-masing sehingga 1,500cc dan 125cc.
 Subsisidi bersasaran itu dicadangkan bagi mengurangkan kos. Tahun  lepas, kerajaan membelanjakan RM4.9 bilion untuk subsidi minyak bagai  petrol RON95 dari bulan Januari hingga November.
Sejumlah RM2 bilion  telah diperuntukkan untuk sistem baru yang dijadualkan bermula 1 Julai  ini.
 Khairul Annuar, yang menyifatkan sistem itu sebagai “projek berskala  mega” berkata, pengusaha tidak maklum sekiranya ada projek perintis atau  percubaan yang diadakan sebelum ia dilaksanakan.
 Beliau berkata, pengusaha stesen minyak cenderung menerima sistem  yang membolehkan subsidi dibayar secara langsung ke akaun bank penerima,  bukannya dibuat melalui operator pam minyak.
 Katanya, pengusaha tidak tahu berapa lama kerajaan akan membuat  bayaran balik kepada mereka sekiranya mereka terpaksa mendahulukan kos  subsidi berkenaan.
 Pada 11 Jun lepas, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad  berkata, kerajaan masih mengumpulkan data untuk kegunaan skim bayaran  subsidi itu.
 Pada Mei, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna,  Saifuddin Nasution Ismail berkata, pelaksanaan subsidi minyak mungkin  diperkenalkan pada Julai ini kerana kerajaan berada di peringkat akhir  dalam mengenal pasti mekanisme yang sesuai.
 Saifuddin berkata, sistem datanya dipisahkan daripada data penerima Bantuan Sara Hidup (BSH).
 Terdahulu kerajaan berkata, ia mencadangkan penggunaan kad atau kupon  diskaun. Bagaimanapun menteri kemudiannya memberitahu Dewan Rakyat  bahawa bayaran langsung ke akaun bank penerima lebih praktikal.
 Katanya, pangkalan data BSH menunjukkan 90% daripada kumpulan B40  yang layak menerima subsidi berkenaan mempunyai akaun bank. Setakat  April, terdapat 4.1 juta penerima BSH.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2019/06/pengusaha-minyak-tidak-tahu-mengenai.html