Pengurus Kalah Judi Tapi Buat Laporan Palsu Hilang Rm39 800 Gaji Pekerja
                     FMT Reporters

Polis  berkata, lelaki itu menghabiskan RM39,800 yang sepatutnya digunakan untuk membayar gaji pekerja untuk berjudi di sebuah tempat perjudian  berlesen.PETALING JAYA: Pengurus sebuah syarikat pembinaan membuat laporan  polis palsu kononnya kehilangan gaji pekerja sebanyak RM39,800 dalam  kenderaannya, sedangkan wang itu habis digunakan untuk berjudi.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Aidi Sham Mohamed berkata, pihaknya  menerima laporan daripada seorang lelaki berusia 32 tahun kira-kira 9.33  malam tadi.
“Lelaki ini menyatakan pada hari sama sekitar 2.30 petang, dia sudah  mengeluarkan RM45,000 dari CIMB Bank Cyberjaya bagi tujuan membayar gaji  pekerja.
![]()
“Apabila  selesai urusan pengeluaran, pengurus ini mengatakan wang itu disimpan  dalam beg sandang dan diletakkan di bawah kerusi tempat duduk pemandu,”  katanya dalam kenyataan.                                                                                                                                         Aidi Sham berkata, lelaki itu mendakwa dia terus balik ke Port  Dickson dan ke rumah bapa saudaranya di sebuah flat di Lukut untuk  menyerahkan wang sebanyak RM4,700.
Katanya, lelaki itu memberitahu dia kemudiannya meletakkan kenderaan  dan baki wang dalam keretanya untuk singgah makan di sebuah kedai makan  di Taman Sentosa.
“Apabila selesai, dia kembali semula ke kenderaan dan mendapati duit  dan beg sandang sudah hilang, namun tiada kesan pecah cermin pada  kenderaan.”
Ketika disoal siasat lanjut oleh polis kira-kira 11.15 malam tadi,  katanya, pengurus itu didapati sengaja mengada-adakan cerita kehilangan  wang RM39,800.
                                                                                                                                                                                                                       “Pihak polis dapat mengesan tujuan lelaki itu supaya dapat melewatkan  pembayaran gaji pekerja kerana wang itu sudah habis digunakannya untuk  bermain judi di sebuah tempat perjudian berlesen.
“Pihak polis terus membuat satu laporan untuk pengadu disiasat kerana membuat keterangan dan laporan palsu.”
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang  memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda atau  kedua-duanya.
Beliau berkata, polis memandang serius perbuatan tidak  bertanggungjawab itu dan memberi amaran kepada orang ramai tidak membuat  laporan polis palsu bagi mengelakkan dikenakan tindakan undang-undang.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
https://dialograkyat.blogspot.com/2022/01/pengurus-kalah-judi-tapi-buat-laporan.html