Pengertian Solat 6 Panduan Lengkap Ibadah Solat
Pengertian Solat: 6 Panduan Lengkap Ibadah Solat 7
Solat ialah tujuan dan tanggungjawab antara kita sebagai hamba Allah adalah untuk mengabdikan diri kepada-Nya, menunaikan apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang serta memakmurkan bumi Allah berdasarkan syariat-Nya.
Solat merupakan satu tuntutan dalam agama Islam. Solat juga nerupakan rahmat Allah SWT dan dengan solat sahaja manusia dapat berhubung langsung dengan Allah SWT. Jadi mari kita pelajari ibadah solat yang lengkap ini untuk menambah lagi kepercayaan diri dalam solat.
Bahagian 1
Pengertian Solat
Pengertian Solat: 6 Panduan Lengkap Ibadah Solat 8
Solat yang dikehendaki oleh istilah syarak ialah “Beberapa perkataan dan perbuatan yang dimulakan dengan takbir dan disudahi dengan salam serta dengan syarat-syarat yang ditentukan”.
Solat lima waktu sehari semalam diwajibkan ke atas setiap umat Islam yang berakal lagi baligh; dan kewajipan itu tidak gugur selagi hayat dan akal masih dikandung badan.
Kanak-kanak yang telah berumur tujuh tahun hendaklah diajar dan diasuh untuk mendirikan solat lima waktu, semoga mereka akan terlatih dan menjadi kebiasaan serta cintakan solat sebagai tiang agama. Ibu bapa boleh menghukum anak-anaknya yang berumur sepuluh tahun kerana meninggalkan solat, dengan cara yang munasabah untuk tujuan mendidik dan mengasuhnya.
Syarat-syarat Wajib Solat
Syariat Allah tidak mewajibkan seseorang itu mengerjakan solat sehingga sempurna syarat-syarat berikut:
Islam– tidak diwajibkan solat ke atas orang kafir, dan tidak sah jika dilakukannya
Baligh– tidak diwajibkan solat ke atas kanak-kanak
Berakal– tidak diwajibkan solat ke atas orang yang gila
Suci daripada haidh dan nifas bagi orang perempuan. Mereka yang sedang kedatangan haidh atau nifas tidak diwajibkan solat dan juga tidak diwajibkan mengqada’nya
Sempurna pancaindera– tidak wajib ke atas mereka yang asal kejadiannya buta tuli
Sampai seruan Rasullullah S.A.W (seruan Islam)– tidak diwajibkan solat ke atas mereka yang belum sampai seruan Islam
Syarat-syarat Sah Solat
Pengertian Solat: 6 Panduan Lengkap Ibadah Solat 9
Solat seseorang itu tidak diakui oleh syarak sebagai solat yang sah kecuali disempurnakan syarat-syarat berikut semasa solat:
Suci daripada hadas kecil dan besar. Hadas kecil hendaklah disucikan dengan berwudhu’, manakala hadas besar hendaklah disucikan dengan mandi wajib.
Suci badan, pakaian dan tempat mengerjakan solat daripada segala najis yang tidak dimaafkan.
Menutup aurat. Aurat lelaki dan juga hamba perempuan di dalam solat ialah anggota badan yang di antara pusat dan lutut. Aurat perempuan di dalam solat pula sekalian badannya kecuali muka dan dua telapak tangannya.
Mengetahui dengan yakin masuk waktu bagi fardhu yang hendak didirikan.
Menghadap kiblat.
Rukun-rukun Solat
Untuk menyempurnakan pekerjaan solat telah ditentukan beberapa perkara yang menjadi tiangnya, yang tidak boleh ditinggalkan, terkenal dengan sebutan Rukun. Solat tidak sah jika tertinggal salah satu dari Rukun Solat. Rukun-rukun solat 13 perkara:
Berdiri betul bagi orang yang kuasa (boleh berdiri)
Berniat mengerjakan solat. Niat dalam hati itu ialah semasa mengucapkan Takbiratul-Ihram
Mengucap Takbiratul-Ihram “Allahu Akbar”. (Semasa inilah dipasang niat solat dalam hati)
Membaca Al-Fatihah
Ruku’ serta tama’ninah (berhenti sebentar)
I’tidal (bangun dari Ruku’) serta tama’ninah (berhenti sebentar)
Sujud dua kali serta tama’ninah (berhenti sebentar)
Duduk antara dua sujud dengan tama’ninah (berhenti sebentar)
Duduk yang akhir untuk membaca Tahiyyat Akhir
Membaca Tahiyyat Akhir
Membaca Salawat ke atas Nabi Muhammad S.A.W dalam masa membaca Tahiyyat Akhir
Memberi salam yang pertama
Tertib (mengikut susunan di atas)
Bahagian 2
Sunat-sunat Dalam Solat
Pengertian Solat: 6 Panduan Lengkap Ibadah Solat 10
Bagi menyempurnakan serta mengelokkan kaedah manusia menyembah penciptanya iaitu Allah S.W.T., selain daripada rukun-rukun yang wajib dikerjakan (seperti di atas), pekerjaan solat itu diselang-selikan dengan perbuatan atau bacaan yang disunatkan. Ini bermakna tambahan pahala solat yang banyak. Terdapat dua jenis perbuatan atau bacaan sunat jika dikerjakan.
1. Sunat Ab’ad
Sunat Ab’ad ialah amalan-amalan sunat yang dikuatkan dalam solat, jika ia tertingal maka disunatkan menggantikannya dengan Sujud Sahwi. Amalan sunat-sunat ab’ad itu ialah:
Membaca Tahiyyat Awal
Membaca Selawat dalam Tahiyyat Awal
Membaca Selawat ke atas Nabi Muhammad S.A.W ketika membaca Tahiyyat Akhir
Membaca Doa Qunut pada solat Subuh dan solat Witir pada malam 16 hingga akhir bulan Ramadan.
2. Sunat Haiat
Sunat-sunat Haiat juga telah menjadi amalan ketika mengerjakan solat. Sunat-sunat Haiat ini ialah:
1. Mengangkat kedua belah tangan sehingga ibu jari bersetentangan dengan dua telinga pada empat tempat:
Ketika Takbiratul-Ihram
Ketika hendak ruku’
Ketika i’tidal (bangun dari ruku’)
Ketika bangun berdiri sesudah membaca Tahiyyat Awal
2. Meletakkan kedua belah tangan di bawah dada ketika berdiri; tangan tangan kanan di atas memegang pergelangan tangan kiri.
3. Membaca doa Iftitah selepas Takbiratul-Ihram.
4. Membaca Ta’awuz أعوذ بالله من الشيطان الرجيم sebelum membaca Fatihah.
5. Membaca “Aamiin” آمين sesudah membaca Fatihah.
6. Membaca Surah atau ayat-ayat Al-Quran pada rakaat pertama dan kedua selepas membaca Fatihah.
7. Menguatkan suara bacaan Fatihah dan Surah atau ayat Al-Quran pada rakaat pertama dan kedua pada solat Maghrib, Isyak dan Subuh kecuali makmum.
8. Membaca Takbir pada tiap-tiap kali beralih dari satu rukun kepada satu rukun Fi’li yang lain.
9. Membaca: سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ ketika bangkit dari ruku’; Ertinya: Allah mendengar orang yang memuji-Nya, dan mengucap: رَبَّنَا وَلَكَ الْحَمْدُ setelah berdiri lurus; Ertinya: Wahai Tuhan kami, bagi-Mu segala pujian.
10. Meletakkan kedua tapak tangan pada kedua lutut ketika ruku’.
11. Membaca Tasbih ketika ruku’ dan sujud:
سُبْحَانَ رَبِّيَ الْعَظِيمِ (ketika ruku’)
سُبْحَانَ رَبِّيَ الأَعْلَى (ketika sujud)
12. Meletakkan tangan kanan di atas paha kanan dan tangan kiri di atas paha kiri ketika membaca Tahiyyat; jari kiri diluruskan dan jari kanan digenggam kecuali jari telunjuk. Jari telunjuk digerakkan sedikit ke atas ketika membaca “Illallah” إلا الله.
13. Duduk iftirasy pada sekalian duduk dalam solat iaitu menduduki tapak kaki kiri dan tapak kaki kanan ditegakkan, anak-anak jarinya mengadap kiblat kecuali duduk Tahiyyat Akhir.
14. Duduk tawarru’ iaitu duduk bersimpuh pada Tahiyyat Akhir kaki kiri dibaringkan di bawah kaki kanan, punggung didudukkan ke lantai dan kaki kanan ditegakkan, anak-anak jarinya mengadap kiblat.
15. Memberi salam yang kedua.
16. Memalingkan muka ke kanan semasa memberi salam yang pertama dan ke kiri semasa memberi salam yang kedua.
Perkara-perkara Yang Membatalkan Solat
Pengertian Solat: 6 Panduan Lengkap Ibadah Solat 11
Seseorang yang sedang solat akan batal solatnya apabila berlaku salah satu dari sebab-sebab yang berikut:
Berhadas- (hadas besar ataupun hadas keci. Misalnya keluar mani atau terkentut).
Terkena najis, kecuali najis kering yang dibuang dengan segera dengan tidak memegang atau mengangkatnya.
Membiarkan aurat terbuka. Misalnya kain terselak.
Berkata-kata dengan sengaja.
Makan dan minum walaupun sedikit.
Bergerak tiga kali berturut-turut.
Melompat atau memukul dengan kuat.
Menambah rukun solat (rukun fi’li) dengan sengaja seperti menambah sujud dan sebagainya.
Berniat memutuskan solat atau berubah fikiran hendak memutuskannya dengan sesuatu sebab; misalnya akan memutuskan solat jika hujan turun.
Berpaling ke arah lain selain kiblat, kecuali solat sunat di atas kenderaan bagi orang musafir dan solat syiddatul-khauf.
Murtad iaitu keluar dari agama Islam.
Perbezaan Di Antara Solat Lelaki Dan Solat Perempuan
Pengertian Solat: 6 Panduan Lengkap Ibadah Solat 12
Terdapat enam perkara yang berbeza ketika mengerjakan solat di antara solat lelaki dengan solat perempuan iaitu:
Perbezaan Penerangan 1. Semasa Takbiratul-IhramLelaki mengangkat kedua tangan hingga nampak ketiak dan tinggi hingga kedua ibu jari bersetentang dengan cuping telinga, manakala perempuan mengangkat kedua tangan hingga hujung jari bersetentang dengan cuping telinga.2. Semasa ruku’ dan sujud Lelaki merenggangkan kedua lengan daripada dua lambungnya, tetapi perempuan merapatkannya kedua lengan dengan kedua lambungnya.3. Semasa ruku’ dan sujud Lelaki mengangkatkan perutnya daripada dua pehanya, tetapi perempuan merapatkan perutnya dengan pehanya.4. Bacaan dalam solat Lelaki menyaringkan suara bacaan pada tempat yang nyaring, tetapi perempuan memperlahankan bacaannya ketika ada lelaki yang ajnabi (lelaki yang bukan muhrimnya) berhampiran dengannya.5. Solat berimamApabila memperingatkan sesuatu ketika solat berjemaah, ( Imam lupa sesuatu), lelaki hendaklah menguap Tasbih (Subhanallah), tetapi perempuan hendaklah menepuk tangan kanan ke atas belakang tapak tangan kiri.6. Aurat ketika solatBagi lelaki dan hamba perempuan, aurat yang wajib ditutup ialah anggota badan yang di antara pusat dan lutut; manakala bagi perempuan ialah seluruh tubuhnya kecuali muka dan dua tapak tangannya.
Solat yang penuh makna adalah solat yang sempurna dan sesuai dengan panduan yang ditentukan oleh Islam. Solat yang didirikan tanpa dengan berilmu samalh seperti bahtera tanpa nakhoda yang berlayar tanpa arah serta tujuan dan akhirnya sampai dihujung kesesatan. Maka rugilah insan yang tidak prihatin dalam membetulkan ibadah solatnya.
Semua maklumat dari dalam artikel ini telah dipetik oleh buku Panduan Lengkap Ibadah Solat dari hasil Hj. Johari Hj. Alias. Semoga info ini dapat dijadikan panduan dalam mendirikan ibadah solat dengan sempurna dan mendapat keredhaan Allah SWT, Insya Allah.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.sistemguruonline.my/2024/01/panduan-lengkap-ibadah-solat.html