Pengantin Sedang Haidh Nikah Di Dalam Masjid
SOALAN:
Adakah diharuskan pengantin perempuan yang sedang dalam haidh masuk ke dalam masjid kerana acara akad nikah yang dilangsungkan di dalam masjid?
JAWAPAN:
Perempuan yang sedang haidh dan nifas dan orang yang sedang dalam keadaan junub dan belum melakukan mandi diharamkan ke atasnya berhenti di dalam masjid. Adapun jika hanya lalu sahaja tanpa berhenti atau tanpa duduk maka tidak menjadi kesalahan.
Ini adalah berdasarkan firman Allah:
يا أيها الذين آمنوا لا تقربوا الصلاة وأنتم سكارى حتى تعلموا ما تقولون ولا جنبا إلا عابرى سبيل حتى تغتسلوا
“Wahai orang-orang yang beriman jangan kamu semua mendekati solat pada hal kamu sedang mabuk sehingga kamu mengrti apa yang kamu ucapkan dan tiada harus juga (hampiri masjid) orang yang sedang junub melainkan hanya sekadar melintasi sahaja sehingga kamu semua mandi hadas.” (An-Nisa’: 43)
Diriwayatkan dari Aisyah r.a katanya Rasulullah saw bersabda:
فإنى لا أحل المسجد لحائض ولا لجنب
“Maka sungguhnya aku tidak halalkan masjid bagi perempuan yang sedang haidh dan tidak juga bagi yang sedang junub.” (Hadith Abu Daud)
Dan diriwayatkan dari Ummu Salamah r.a sabda Rasulullah saw:
إن المسجد لا يحل لحائض ولا لجنب
“Sesungguhnya masjid tidak halal bagi perempuan yang sedang haidh dan yang junub.” (Hadith Ibnu Majah dan At-Tabarani)
Dan diriwayatkan dari Jabir r.a katanya:
كان أحدنا يمر فى المسجد جنبا مجتازا
“Adalah salah seorang kami lalu dia di dalam masjid dalam keadaan junub dengan cara melintas.” (Hadith Ibnu Abi Syaibah)
Hukum haram pada masalah ini hanyalah jika berhenti dia di dalam masjid sama ada duduk atau berdiri. Adapun hanya lalu atau melintas atau masuk kerana mengambil sesuatu atau menghantar sesuatu tanpa berhenti atau duduk adalah diharuskan.
Aisyah r.a meriwayatkan pernah Rasulullah saw menyuruh aku mengambil tikar di dalam masjid lalu aku beritahu bahawa aku sedang haidh maka Rasulullah pun bersabda:
إن حيضتك ليست فى يدك
“Sesungguhnya haidhmu itu bukannya pada tanganmu.” (Hadith Muslim)
Maksudnya darah haidh bukannya berada di tangan, oleh itu tidak mengapa wanita yang sedang haidh masuk mengambil sesuatu di dalam masjid.
Kesimpulannya pengantin perempuan sebagaimana tersebut dalam soalan tidak boleh masuk duduk di dalam masjid melainkan masuk kerana mengambil sesuatu atau menghantar sesuatu atau sekadar melintasinya sahaja.
Wallahua’lam.
Oleh: Ustaz Azhar Idrus
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media
Oh! Makan
Sumber: Oh! Media
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://www.terengganu11.com/2019/09/pengantin-sedang-haidh-nikah-di-dalam.html