Pemandulan Kucing Banyak Manfaatnya
Manfaat Pemandulan Kucing
Pemandulan Kucing, Banyak Manfaatnya | Kucing adalah salah satu haiwan peliharaan yang terkenal dengan sifat manjanya. Ditambah dengan kecomelan raut wajah serta keletahnya, pasti membuatkan manusia tertarik dengannya. Bagi Mai sendiri yang memelihara kucing di rumah, mereka bukan sekadar haiwan peliharaan, tetapi sudah menjadi sebahagian daripada keluarga.
Yoyen yang pandai bergaya hihi
Melalui pengalaman Mai sendiri, memelihara kucing dapat mengurangkan stress. Seronok bermain bersama mereka. Terasa bahagia apabila mereka memberi perhatian apabila nama dipanggil. Bagaikan adik-beradik sahaja. Lihat sesuatu yang comel membuatkan mood gembira dan bahagia datang, seperti terapi kepada diri.
Jika mahu kucing gembira, kita sebagai penjaga sepatutnya memberikan yang terbaik untuk mereka. Tempat tidur dan tempat bermain yang selesa, makanan yang secukupnya. Jika tidak sihat pula, bawa ke klinik untuk mendapatkan rawatan yang sepatutnya.
Tetapi ada yang terjadi sebaliknya. Terdapat segelintir pemilik kucing yang tidak bertanggungjawab, membuang kucing yang tidak sihat di tempat yang tidak sepatutnya. Ia bagaikan peribahasa habis madu, sepah dibuang. Ketika kucing dalam keadaan sihat dan cantik, semua suka. Apabila kucing sakit sehingga membuatkan pemilik berasa terbeban dengan keadaan ini, ia dibuang tanpa ada rasa simpati.
Selain itu, perkara yang sering terjadi, kucing betina dibuang disebabkan kerap melahirkan anak. Tidak kurang juga, kucing jantan yang suka ‘memancut’ di merata tempat sehingga mengakibatkan pemilik berasa tidak selesa dengan keadaan ini. Penyelesaian yang paling mudah bagi pemilik yang tidak bertanggungjawab itu, membuang kucing di tempat yang tidak layak untuk haiwan peliharaan.
Perbuatan tidak berhati perut ini jelas menunjukkan mereka mementingkan diri sendiri. Adakah mereka tidak tahu bahawa masalah kucing betina kerap melahirkan anak dan kucing jantan yang suka memancut, ada penyelesaiannya?
Pemandulan Kucing
Solusinya adalah dengan kaedah pemandulan atau neutering. Menurut laman Kitty’s Care Veterinary Clinic, pemandulan adalah proses membuang organ pembiakan kucing. Kucing jantan akan menjalani pengasian dan kucing betina akan dimandulkan dengan membuang ovari mereka.
Seperti mana pembedahan haiwan yang lain, proses ini hanya boleh dilakukan oleh doktor haiwan bertauliah seperti di Kitty’s Care Vet Setapak.
Syarat memandulkan kucing
Perkara pertama yang perlu dilihat adalah umur kucing tersebut. Kucing boleh dimandulkan sebaik sahaja ia sudah mencapai umur matang, sekitar usia 6 ke 7 bulan. Tetapi ada kucing yang telah mencapai umur matang seawal umur 4 bulan. Jika pemilik tidak pasti, serahkan sahaja pada doktor haiwan untuk mengesyorkan waktu yang sesuai untuk mandulkan kucing.
Yang kedua, kucing perlu disuntik vaksin. Jika kucing telah disuntik vaksin sebelum ini, janjitemu untuk pemandulan akan diberikan awal.
Seterusnya, kucing perlu dipuasakan lebih kurang 10 jam sebelum pembedahan untuk mengelakkan seberang komplikasi berlaku ketika pembedahan dijalankan.
Penjagaan Kucing Selepas Prosedur Pemandulan
Penting untuk pemilik kucing mengetahui cara untuk menjaga kucing setelah melalui prosedur pemandulan. Jadi, lebih baik kita membuat sedikit kajian tentang penjagaannya supaya tidak kekok untuk menjaga si comel nanti.
Seperti yang dikongsikan di laman Kitty’s Care Veterinary Clinic, selepas selesai pembedahan, doktor akan memberi kucing anda suntikan ubat tahan sakit supaya ia tidak akan rasa sakit atau ketidakselesaan. Doktor juga akan memberikan ubat tahan sakit dan anti radang untuk kucing anda makan di rumah. Selalunya kucing jantan akan sembuh dengan lebih cepat berbanding dengan kucing betina kerana prosedur pembedahannya lebih ringkas.
Kucing jantan hanya perlu makan ubat untuk satu hari sahaja manakala kucing betina perlu makan ubat untuk tiga hari. Doktor akan menerangkan kepada anda cara penjagaan kucing selepas pembedahan dan bagaimana anda boleh membantu mempercepatkan proses penyembuhan. Paling penting sekali adalah anda perlu memastikan jahitan luka kucing tidak bernanah atau bengkak.
Saya sendiri ada pengalaman menjaga dua ekor kucing betina yang pernah melalui prosedur ini. Bagi saya ia tidaklah rumit. Ketika berada di rumah, saya membiarkan kucing berehat dalam sangkar dan memakaikan kolar pada lehernya. Tanpa kolar, kucing mungkin akan menjilat kawasan sekitar luka. Jika mereka berasa tidak selesa dengan jahitan, berkemungkinan mereka akan menggigit jahitan dan akhirnya terbuka semula luka pembedahan tersebut. Apabila jahitan sudah terbuka, pemilik perlu menghantar kucing ke klinik. Jadi, untuk lebih selamat, pakaikan kolar.
Abby yang kuat tidur 😂
Kebaikan Pemandulan Kucing
Terdapat beberapa kebaikan memandulkan kucing, antaranya seperti:
1. Dapat mengelakkan penyakit seperti kanser dan penyakit senang berjangkit seperti Feline Leukimia dan Feline AIDS melalui proses mengawan ataupun gigitan dari satu kucing ke kucing yang lain.
2. Mengurangkan risiko kucing merayau. Kucing yang telah dimandulkan tidak akan keluar rumah untuk mencari pasangan dan ini dapat mengelakkan dari berlakunya perkara yang tidak diingini seperti kemanalangan.
3. Kucing jantan tidak akan memancut air kencing di dalam rumah untuk menandakan wilayah mereka dan kucing betina juga akan berhenti untuk melepaskan cairan tubuh untuk menarik kucing jantan.
Anda boleh dapatkan info selanjutnya tentang cat neutering di sini. Info yang memang lengkap tentang pemandulan kucing.
Hukum Memandulkan Haiwan
Sebenarnya masih ramai yang kurang arif tentang pemandulan haiwan peliharaan. Ada juga yang menentangnya dan mengatakan perbuatan itu menyeksa haiwan. Akibat kurang ilmu tentangnya, ramai yang telah salah anggap peranan prosedur ini.
Untuk pengetahuan semua, Majlis Fatwa JAKIM telah menyatakan bahawa pemandulan haiwan adalah HARUS dengan sebab tertentu iaitu bagi menjaga maslahat ummah. Jadi, tidak perlu ragu-ragu lagi untuk meneruskan prosedur ini untuk kucing
Teringat pula pada video yang dikongsikan di media sosial tentang pemilik kucing dan anjing yang membuang haiwan peliharaan mereka di tempat yang tidak sepatutnya tanpa rasa bersalah. Mungkin bilangan haiwan peliharaan di rumah semakin bertambah, lalu mengambil langkah tidak cerdik seperti itu
Daripada bertindak sebegitu, lebih baik lalukan proses pemandulan pada haiwan peliharaan tersebut. Haiwan tersebut dan pemiliknya pasti dapat manfaat daripadanya
Memey cantik
Kesimpulannya, proses pemandulan sama sekali tidak menyeksa haiwan. Malah memberi banyak manfaat kepada haiwan itu sendiri. Jika kita berbuat baik sesama makhluk, pasti ada ganjarannya di sisi Allah.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://www.maisarahsidi.com/2022/05/pemandulan-kucing-banyak-manfaatnya.html